Thursday, August 8, 2019

NAJIB ARAH BLOGGER SERANG AHMAD HUSNI

KUALA LUMPUR, 8 Ogos (Bernama) -- Bekas Menteri Kewangan II Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengarahkan seorang blogger supaya menyerang beliau bersama anaknya, sekitar hujung 2016, susulan ucapan beliau berhubung 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Dewan Rakyat.

Saksi ke-56 pendakwaan itu berkata serangan berkenaan bermula dengan blogger, Raja Petra Kamaruddin didakwa membocorkan minit mesyuarat Majlis Ekonomi yang dihadiri oleh anaknya, Khalid Ahmad Husni, di catatan Facebook yang mendakwa Ahmad Husni marah dengan Najib apabila anaknya tidak mendapat projek konsesi lebuhraya bernilai RM2.7 bilion.

Pendedahan itu dibuat oleh Ahmad Husni dalam testimoni beliau semasa pemeriksaan balas oleh peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada hari ke-50 perbicaraan Najib, yang berhadapan dengan tujuh pertuduhan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd (SRC) berjumlah RM42 juta.

Antara lain Ahmad Husni berkata Najib juga berada di belakang tuduhan gangguan seksual yang dihadapinya pada 2016.

Muhammad Shafee: Bila anda dapat idea bahawa Najib ada di belakang tuduhan gangguan seksual terhadap anda

Ahmad Husni: Selepas bercakap di Parlimen pada 2016 (merujuk kepada insiden semasa persidangan Dewan Rakyat semasa beliau menuntut penjelasan berhubung pelaburan USD1 bilion (RM4.17 bilion) unit dalam Aabar Investment PJS Ltd).

Muhammad Shafee: Kemudian Najib tampil dengan idea ini

Ahmad Husni: Ia bukan sekadar idea, saya tahu.

"Selepas insiden itu, saya berada di rumah sebelum setiausaha sulit Najib, Tan Sri Shukry Mohd Salleh datang dan berjumpa dengan saya sekitar pukul 10 malam. Shukry beritahu saya sukar untuk jumpa rumah saya, tapi oleh kerana arahan Najib, dia tetap perlu datang dan jumpa saya.

"Saya diberitahu Shukry bahawa Najib hendak bertemu dengan saya malam itu, tapi saya beritahu yang saya sangat letih.. dia beritahu saya bahawa Najib telah menghubungi Raja Petra (Kamaruddin) dan esok dia (Raja Petra) akan serang saya," katanya.

Semasa ditanya oleh Muhammad Shafee sekiranya beliau berjumpa dengan Najib untuk mengesahkan kebenaran perkara itu, Husni menjawab “Tidak”, dan menambah ada stu lagi insiden berhubung dengan serangan itu.

"Catatan Facebook oleh Raja Petra kemudiannya dilaporkan oleh Utusan yang merujuk kepada seorang bekas menteri terbabit dalam skandal. Saya hantar mesej kepada Najib, tanya dia “Apa ini”.

Beliau berkata Najib menjawab “Bincang dengan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz (Ahli Parlimen Padang Rengas) dan kemudiannya keesokkan harinya serangan itu terhenti.

Bekas Ahli Parlimen Tambun itu kemudiannya menceritakan pertemuannya dengan Nazri di Hotel Shangri-La.

"Nazri beritahu saya apa jua yang berlaku kepada Najib bukan dalam kawalan mereka, kerana kita hanya mahu UMNO dan Barisan Nasional (BN) kekal,” katanya.

Ahmad Husni juga tidak bersetuju dengan soalan Muhammad Shafee yang menyarankan bahawa ekoran serangan itu, beliau sedih dan marah dengan Najib.

"Saya tidak marah. Saya hidup untuk Umno, malah setiap hari saya berdoa agar tuhan bukakan pintu hati Najib untuk melihat kebenaran. Saya tidak pernah marah dengan Najib kerana dia hanya manusia biasa,” katanya dan menambah susulan tulisan Raja Petra, anaknya diberhentikan oleh syarikat berkenaan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung esok pada pukul 10 pagi.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment