Tuesday, September 25, 2018
UMNO PUSAT BERI KUASA AUTONOMI KEPADA UMNO SABAH
KOTA KINABALU, 25 Sep(Bernama) -- UMNO Sabah menyambut baik pemberian kuasa autonomi yang telah diberikan oleh UMNO Pusat, kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Hajiji Noor.
Beliau berkata pemberian itu merupakan satu sejarah kepada UMNO Sabah dan secara langsung akan “melokalkan" UMNO di negeri ini.
"Ini juga adalah hasil perjuangan UMNO Sabah dan selaras dengan usaha bagi "penjenamaan semula" atau "mencipta semula " UMNO Sabah," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman itu berkata autonomi itu penting demi kepentingan masa depan UMNO di Semenanjung dan UMNO di Sabah.
“Ia juga mengelak UMNO Sabah daripada terus dimanipulasi sebagai “parti import” atau “parti Malaya” oleh pihak lawan di peringkat negeri," katanya.
Hajiji berkata melalui autonomi itu, UMNO Sabah akan menentukan halatuju sendiri termasuk soal memilih kepimpinan UMNO Sabah dan mahu rakan blok pembangkang faham perubahan yang berlaku dalam perjuangan UMNO Sabah melalui kuasa yang diberikan.
Beliau berkata UMNO Sabah akan menentukan teras perjuangan sendiri yang bersesuaian dengan sentimen di Sabah yang lebih cenderung dirujuk dengan identiti bangsa masing-masing berbanding perkataan 'Melayu'.
"Dengan autonomi ini UMNO Sabah mempunyai asas perjuangan tambahan sendiri yang bersesuaian dengan sentimen di Sabah iaitu perjuangan hak dan kepentingan anak negeri, bumiputera dan negeri Sabah," katanya.
Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini berkata beliau akan menyentuh perkara itu dalam ucapan dasarnya pada Perhimpunan Agung UMNO pada 29 September ini sebelum dibincangkan di peringkat Majlis Tertinggi UMNO untuk diperakui.
Katanya perkara berkenaan juga akan dibawa ke Perhimpunan Agung Khas UMNO bagi membolehkan pindaan perlembagaan parti berhubung permintaan UMNO Sabah untuk diberi autonomi berkenaan.
-- BERNAMA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment