Thursday, September 27, 2018
HAKIM TEGUR PIHAK PERTIKAI BIDANG KUASA MAHKAMAH SYARIAH
KUALA TERENGGANU, 27 Sept (Bernama) -- Hakim Syarie Terengganu Rosdi Harun menegur segelintir pihak yang dilihat mempertikaikan bidang kuasa dan hukuman yang dijatuhkan terhadap pesalah syariah di negeri ini oleh Mahkamah Syariah Terengganu.
Teguran itu disuarakan pada awal prosiding jatuh hukum terhadap seorang ibu tunggal berumur 30 tahun yang mengaku bersalah atas kesalahan persediaan melacurkan diri di sebuah hotel di sini 17 Sept lalu.
Mengambil contoh kes sebatan yang dijatuhkan terhadap dua wanita di Mahkamah Tinggi Syariah Terenganu 3 Sept lalu terhadap dua wanita yang didapati bersalah melakukan hubungan sejenis, beliau berkata hukuman yang dijatuhkan adalah bersifat untuk mendidik dan memberi peringatan kepada pesalah dan juga masyarakat Islam.
“Negara kita adalah negara yang berdaulat dan negara yang bertamadun serta mempunyai peraturan. Begitu juga Mahkamah Syariah adalah berdaulat dan hukuman yang dijalankan terhadap pesalah dijalankan mengikut Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) yang telah dipersetujui oleh pemerintah.
“Apa yang menyedihkan dewasa ini ada pihak yang menulis mengenai perkara itu (hukuman syariah) tetapi yang tiada ilmu pun nak tulis juga dan menegur mengenai bidang kuasa Mahkamah (Syariah),” katanya dalam nada sebak.
Rosdi juga kesal dengan pihak yang tidak mempunyai pengetahuan yang betul mengenai cara pelaksanaan hukuman sebatan yang dijalankan hingga menimbulkan polemik kepada masyarakat di negara ini khususnya yang disebarkan melalui media sosial.
Jelasnya, mereka tidak melihat sendiri cara sebatan mengikut syariat Islam itu dijalankan sedangkan ia berbeza dengan sebatan di Mahkamah Sivil hingga salah faham ini menyebabkan ada pihak membuat kenyataan untuk ‘menghapuskan' Mahkamah Syariah.
Justeru katanya bagi mengelak perkara itu berulang, pihak mahkamah tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang jika terdapat lagi tohmahan dilemparkan terhadap pihak Mahkamah Syariah (khususnya di Terengganu) susulan hukuman yang dijatuhkan terhadap ibu tunggal itu hari ini atau mana-mana kes berkaitan selepas ini.
“Untuk kali ini sekiranya terdapat tulisan atau perkara yang menghiris hati saya jika perlu kita tidak ragu-ragu akan bawa ia ke muka pengadilan untuk prosiding atas kes menghina mahkamah,” katanya.
Sebelum ini pelbagai spekulasi dan kecaman timbul terhadap pihak Mahkamah Syariah Terengganu ekoran pelaksanaan hukuman sebat terhadap dua wanita itu yang dijalankan di hadapan kira-kira 100 orang awam.
Kes itu mendapat perhatian ramai termasuk NGO berkaitan hak asasi manusia dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) yang mendakwa ia menghina, merendahkan dan seolah-olah suatu usaha tindakan memalukan wanita-wanita itu dan keluarga mereka.
-- BERNAMA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment