Friday, September 21, 2018

AKIBAT ENGGAN LETAK JAWATAN MAKA UMNO TERIMA PADAHNYA

PEKAN, 21 Sept (Bernama) -- Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mempersoalkan kepercayaan dan kesetiaan anggota Parlimen UMNO yang meninggalkan parti dalam keadaan parti sedang diuji.

Beliau berkata mereka, selaku pemimpin yang diberi kepercayaan dalam UMNO, seharusnya setia kepada perti dan meneruskan perjuangan yang didukung selama ini.

"Kita mesti setia pada parti walau dalam apa jua keadaan yang menimpa... sama ada kita berkuasa atau tidak berkuasa. Apatah lagi dalam saat ini, yang mana parti amat memerlukan kita," kata Anggota Parlimen Pekan itu semasa ditemui pada Program Bubur Asyura dan Santai Bersama Peneroka di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri Chini di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas pengumuman dua Anggota Parlimen UMNO iaitu Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Datuk Seri Anifah Aman keluar parti baru-baru ini.

Mustapa yang merupakan Anggota Parlimen Jeli bertindak melepaskan semua jawatan dalam parti termasuk sebagai Anggota Majlis Tertinggi UMNO, pada Selasa lalu, atas alasan lagi tidak sealiran dengan parti.

Anifah selaku Anggota Parlimen Kimanis pula mengesahkan meninggalkan parti kurang 24 jam selepas Mustapa dengan berkata keputusan itu dibuat kerana mendakwa kerajaan sebelum ini gagal memperjuangkan hak rakyat Sabah dalam Perjanjian Malaysia 1963.

Ulasan saya, Najib tak perlu cakap banyak mempersoalkan kesetiaan Tok Pa dan Anifah yang keluar dari Umno. Mereka kena fikir masa depan mereka. Soal mereka diugut SPRM atau tidak, tidak timbul kerana mereka lihat Umno sukar bangkit lagi pada PRU akan datang.

Isu perkauman yang diperjuangkan Umno sudah tidak relevan lagi dalam politik Malaysia. Maka tindakan mereka meninggalkan Umno sudah dijangka. Inilah akibat Najib enggan letak jawatan apabila isu 1MDB meletup. Jika beliau letak jawatan maka Umno tidak terima padah seperti ini.

Memang sedih nasib Umno kerana jasanya amat besar kepada bukan sahaja orang Melayu malah kepada semua rakyat Malaysia. Tetapi apa kan daya, nasi sudah menjadi bubur. Lima tahun lagi dengan pengundi baru hampir 1 juta dengan remaja berusia 18 tahun, maka sukar BN menumbangkan kerajaan PH. Ahli parlimen Umno kena fikir juga soal survival hidup mereka. Maka perkara seperti ini sudah dijangka apabila BN tewas pada PRU lalu. Puncanya kerana Najib enggan berundur dari awal. Salah siapa sekarang?

No comments:

Post a Comment