Friday, August 31, 2018

DUA WAU PUYUH GERGASI MERIAHKAN SAMBUTAN HARI KEBANGSAAN




TUMPAT, 31 Ogos ( Bernama) – Dua wau puyuh ‘gergasi’ yang berbentuk bendera Jalur Gemilang yang dihasilkan oleh penduduk Kampung Sireh, Kota Bharu menyemarakkan lagi sambutan Hari Kebangsaan ke-61 hari ini di Pantai Geting, di sini.

Sebuah wau bersaiz panjang 3.96 meter dan lebar juga 3.96 meter manakala sebuah lagi 5.49 meter panjang dan lebar juga 5.49 meter, rangkanya diperbuat menggunakan buluh betung dan batang pinang mengambil masa sebulan untuk disiapkan.

Wau yang masing-masing seberat 10 kilogram dan 20 kilogram itu memerlukan seramai 26 orang untuk menaikkan wau itu ke udara dengan mengambil masa kira-kira 15 minit dan hanya bertahan di udara tidak sampai seminit disebabkan cuaca yang kurang baik.

Selain dua wau gergasi berkenaan yang menjadi tumpuan kira-kira 2,000 penonton, terdapat kira-kira 40 wau puyuh yang bersaiz sederhana berjaya dinaikkan.

Ketua Kelab Gabungan Wau Kampung Sireh, Mohd Nafaqis Razlan, 28, berkata wau ‘gergasi’ yang dihasilkan itu berbentuk bendera Jalur Gemilang bagi menzahirkan semangat cintakan negara sempena Hari Kebangsaan.

Beliau berkata penyertaan turut melibatkan peminat wau dari beberapa kampung di Kota Bharu dan Pasir Mas yang sama-sama memeriahkan sambutan tersebut.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment