Monday, August 13, 2018

DR NUR ILLYANI BERHAK BERSUARA KATA SYED SADDIQ



KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hari ini tampil mempertahankan doktor perubatan, Dr Nur Ilyani Mohamed Nawawi berikutan ‘surat terbuka’ yang ditulisnya kepada aktivis sosial, Marina Mahathir, baru-baru ini.

Syed Saddiq berkata, beliau sendiri akan bangkit bersuara dan menentang sebarang tindakan yang akan dikenakan kepada doktor perubatan tersebut sekiranya ada.

“Kalau ada tindakan disiplin terhadap pegawai perubatan tersebut, saya sendiri akan bersuara dan menentangnya.

“Tetapi setakat ini saya dimaklumkan tidak ada sebarang tindakan disiplin diambil keatasnya, cuma sekadar aduan,” katanya dalam sidang media Majlis Kepimpinan Majlis Belia Malaysia di Kuala Lumpur, hari ini.

Doktor yang bertugas di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) itu dikatakan bakal berdepan tindakan tatatertib selepas diadukan pihak tertentu kepada Biro Pengaduan Awam (BPA).

Ia susulan tindakan doktor berkenaan menulis 'surat terbuka' di Facebooknya pada 6 Ogos lalu mengenai pandangannya terhadap isu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Antara lain Dr Nur Ilyani menulis : "Saya adalah seorang doktor perubatan dan saya tidak mengiktiraf perlakuan seks bebas apatah lagi songsang".

"Adakah anda bersetuju kini golongan yang mendominasi carta penghidap HIV adalah di kalangan komuniti LGBT?

"Sehingga kini walaupun pesakit yang hadir mendapatkan rawatan dari saya tergolong dari kalangan LGBT, saya tetap melayan mereka sebagai pesakit dan memberikan rawatan yang terbaik buat mereka.

"Apatah lagi jika mereka berada di hujung usia. Maka, hak apakah yang anda sedang perjuangkan?" tulisnya.

Pandangan doktor itu menerima kritikan sesetengah pihak, antaranya Dekan Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Prof Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman yang mengingatkan beliau agar memenuhi ikrar sebagai seorang pengamal perubatan.

Susulan itu, Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menjelaskan prinsip kementerian itu tidak mendiskriminasi hak mana-mana golongan termasuk LGBT.


Selain itu, PAS semalam turut menggesa kerajaan khususnya KKM supaya tidak mengenakan sebarang tindakan tatatertib atau pentadbiran ke atas Dr Nur Ilyani.

Sebuah petisyen turut diwujudkan bagi menyatakan kebersamaan terhadap doktor berkenaan.

Mengulas lanjut, Syed Saddiq yang juga Ketua Pemuda Parti Peribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) berkata doktor berkenaan berhak menyuarakan pandangannya mengenai isu itu kerana Malaysia mendukung hak kebebasan bersuara.

“Bagi saya setiap pihak berhak untuk menyuarakan pandangan mereka, kalau kita bersetuju kita boleh bersetuju tetapi jika kita tidak bersetuju kita boleh bersetuju untuk tidak bersetuju.

“Tetapi, saya tidak setuju sama sekali kalau tindakan disiplin diambil ke atasnya.

“Kerana beliau berhak memberikan pandangannya dan itu pandangan peribadi beliau dan pada masa yang sama jika tindakan diambil ke atasnya, maksudnya kita sedang menyekat suara dan pandangan beliau,”tegas Syed Saddiq.


No comments:

Post a Comment