KOTA BHARU, 27 Jun (Bernama) -- Satu pengalaman baru bagi rakyat Kelantan apabila sebuah syarikat menawarkan peluang menaiki helikopter mengelilingi bandar Kota Bharu pada harga berpatutan.
Teruja dengan tawaran itu, Amin Zainal Rasid, 29, telah membawa anggota keluarganya menaiki helikopter yang terdiri daripada ibunya Azmah Azhar, 64, isterinya, Siti Ainshah Masri, 24, dan anaknya Muhammad Aydeen Amrullah, dua tahun.
"Saya ternampak status dalam laman sosial Facebook mengenai tawaran dari syarikat ini (AF Jets Sdn Bhd) menawarkan orang awam naik helikopter di Kota Bharu," katanya menceritakan kesenokan dan keterujaan keluarganya ketika ditemui Bernama di Padang Perdana di sini hari ini.
"Teruja dengan tawaran ini, saya terus membawa ahli keluarga termasuk ibu bersama-sama menikmati kegembiraan agak mencabar di udara secara eksklusif," kata Amin, yang juga seorang usahawan gajet.
Beliau berkata, usaha membuka peluang seperti itu disambut baik rakyat Kelantan memandangkan harga yang ditawarkan iaitu RM160 setiap penumpang adalah murah berbanding di negeri lain.
Menurut Amin, peluang itu sangat dinanti-nantikan kerana beliau sudah banyak kali membuat tinjauan dari segi harga untuk menaiki helikopter bersama keluarga, malah selepas mendarat, beliau dan anggota keluarganya tidak berasa puas menikmati keindahan pemandangan bandar dari udara di tempat sendiri.
"Rasanya selepas ini saya akan buat permintaan untuk melihat pemandangan lebih jauh, mungkin ke Machang dan kami sanggup bayar lebih daripada ini," katanya yang tinggal di Kampung Baung Bayam di sini.
Bagi Azmah, beliau agak gerun pada mulanya untuk menaiki helikopter tetapi menyatakan kegembiraannya sebaik melihat bandar Kota Bharu dari udara.
"Rasa dekat sangat kita dengan bandar, sebelum ini kalau naik kapal terbang biasa, kita lihat pemandangan tu jauh sangat, cumanya semasa membelok di udara, rasa gayat macam naik roller coaster.
"Semasa di udara, rasa mahu cepat turun, tetapi apabila sudah mendarat, rasa sekejap pula dan belum puas merasai pengalaman ini," katanya yang juga pesara guru.
Dalam pada itu, Pengasas AF Jets Sdn Bhd, Amrul Nizar Anuar berkata pihaknya datang ke Kelantan sebagai menyokong usaha penganjuran Kelantan International Bike Week 2019 yang diadakan bermula hari ini hingga Sabtu ini.
"Sebelum ini program ini tak pernah ada kelainan, jadi kita buat kelainan dengan membawa tiga pesawat, dua helikopter jenis Robinson R44, Mosquito XE 285 dan kapal terbang jenis Long EZ yang dibawa untuk persembahan pembukaan.
"Kita bercadang selepas ini, sesuai dengan tema antarabangsa, kita boleh buat Kelantan Event Week dengan bawa kenderaan lain selain motosikal, kita boleh juga bawa kenderaan udara dan laut kerana semua itu ada peminatnya yang tersendiri untuk menarik lebih ramai pengunjung," katanya.
Menyentuh sambutan tempahan dan pendaftaran terbuka penumpang menaiki helikopter mengelilingi Kota Bharu, Amrul Nizar berkata ramai orang Kelantan teruja dan membuat tempahan di Facebook.
"Kami hanya adakan promosi dua minggu dan dalam tempoh itu, hampir 200 orang Kelantan buat tempahan, malah kami gembira kerana hari ini ramai yang datang secara pendaftaran terbuka.
"Kita pernah beri sokongan pada program di Kuala Lumpur dan Langkawi dengan tawaran harga lebih RM400 setiap penumpang, manakala di Shah Alam RM199," katanya yang mempunyai 13 kapal terbang dan helikopter secara keseluruhan.
Katanya, tawaran berkenaan diberikan kerana melihat kesungguhan orang Kelantan yang sangat menghargai pesawat udara.
"...bagi saya, jiwa dan minat orang Kelantan sangat unik kerana mereka menghargai kapal terbang dan helikopter.
"Jadi, dengan adanya aktiviti berkait dengan penerbangan, elok juga bawa kanak-kanak kerana dengan usia itu, mereka mudah ingat dan mungkin boleh berkerjaya dalam industri penerbangan apabila dewasa kelak," katanya.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment