Monday, January 15, 2018

PROJEK PEMBANGUNAN SEBERANG TAKIR SIAP TAHUN 2020



KUALA NERUS, 15 Jan (Bernama) -- Seluruh projek pembangunan di kawasan Seberang Takir termasuk Projek Aquapolitan di Kampung Seberang Pok Abu bagi membantu menaik taraf hidup nelayan di sini akan siap selewat-lewatnya tahun 2020.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, untuk projek Aquapolitan yang merangkumi pembinaan masjid baharu dan 200 unit rumah teres bagi golongan nelayan telah dijalankan dan dijangka siap tahun depan.

"Masjid bernilai kira-kira RM22 juta dan menempatkan 1,500 jemaah dalam satu-satu masa itu dijangka siap pada Ogos tahun depan dan apabila siap nanti ia akan menjadi satu lagi mercu tanda Seberang Takir di samping jambatan 'drawbridge' yang kini sedang dibina di kawasan Kuala Terengganu City Centre (KTCC).

"Semua pembinaan ini akan memberi impak pembangunan yang pesat kepada Bandaraya Kuala Terengganu yang secara tidak langsung meningkatkan sektor pelancongan dan membantu meningkatkan ekonomi rakyat dan peniaga tempatan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat tapak binaan masjid dan rumah nelayan di Kampung Tanjung Harapan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Razif yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir berkata bagi melengkapkan lagi pembangunan prasarana di situ sebuah asrama bagi menempatkan atlet akan dibina di kawasan itu dalam masa terdekat.

"Pembinaan semula bumbung Stadium Sultan Mizan, Gong Badak juga akan dijalankan dan kini kami dalam tempoh melantik kontraktor bagi kerja-kerja pembinaan semula bumbung berkenaan.

"Selain itu, reka bentuk bumbung juga telah diubah daripada reka bentuk asal ..sebelum bina baru kami akan perkemas dulu struktur bumbung...bagi lebih kukuh..selepas itu baru bina bumbung dengan kos kira-kira RM100 juta," katanya.

Dalam pada itu bagi menyelesaikan masalah pemilikan kediaman dalam kalangan rakyat negeri ini, kerajaan negeri juga akan melancarkan projek pembinaan 1,000 unit rumah mampu milik (RMM) bernilai RM40,000 setiap unit dan 10,000 unit rumah RMM bernilai RM68,000 seunit.

"Bagi rumah yang berharga RM40,000 seunit, kerajaan negeri akan menanggung subsidi separuh daripada harga rumah, manakala rakyat hanya perlu membayar separuh lagi menerusi ansuran bulanan tanpa faedah.

"Bagi RMM berharga RM68,000 pula, kami sasar ia akan dibina sekurang-kurangnya 300 unit di setiap DUN dan jenis rumah bergantung kepada kedudukan tanah, jika di bandar mungkin akan dibuat rumah bertingkat dan di kawasan luar bandar mungkin akan dibuat jenis teres," katanya.




-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment