Friday, January 12, 2018

NGO DISERU BERI SUMBANGAN KEPADA TABUNG DARUL IMAN


KUALA TERENGGANU, 12 Jan (Bernama) -- Kerajaan negeri menyeru lebih banyak badan bukan kerajaan (NGO) tampil menghulur sumbangan kepada Tabung Darul Iman (TDI) yang memerlukan hampir RM6 juta dana luaran untuk terus beroperasi setiap tahun.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata sebelum ini, tabung itu yang bertujuan meringankan penderitaan rakyat yang memerlukan perhatian segera, terutamanya yang berdepan musibah dan penyakit kritikal hanya memerlukan RM500,000 sebulan atau RM6 juta sahaja setahun.

"Namun jumlah penerima manfaat tabung ini semakin meningkat setiap tahun dan ketika ini, antara RM800,000 hingga RM1 juta diperlukan setiap bulan iaitu RM12 juta setahun.

"Kerajaan negeri menyumbang sebanyak RM3 juta manakala syarikat berkaitan kerajaan (GLC) juga menyumbang RM3 juta...jadi kita perlukan lagi RM6 juta sumbangan daripada pihak luar untuk terus membantu rakyat yang kesusahan," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Karnival Jom Sihat anjuran Terengganu Chinese Chamber Commerce & Industries dengan kerjasama Kelab Lions Kuala Terengganu di sini hari ini.

TDI yang ditubuhkan pada Januari 2016 merupakan gabungan tiga tabung sedia ada iaitu Tabung Darul Iman, Tabung Bantuan Penyakit Kronik dan Dana Kebajikan Sosial Perubatan bertujuan memudahkan urusan mengurus serta menyelaras bantuan dengan lebih sistematik dan efisyen tanpa sebarang pertindihan antara ketiga-tiga tabung tersebut.

Mengulas lanjut, Ahmad Razif berkata kerajaan negeri telah melakukan pelbagai alternatif untuk mencari dana tambahan kepada TDI termasuk mengalakkan mana-mana kakitangan kerajaan membuat pemotongan gaji untuk tabung tersebut.

"Selain itu, kita juga meminta mana-mana syarikat berkaitan seperti kilang lampin pakai buang, kilang yang membuat peralatan perubatan untuk bersama membantu dalam menyediakan dana berbentuk barangan kepada tabung ini.

"Malah, orang ramai yang mempunyai barang perubatan seperti tongkat atau kerusi roda yang masih dalam keadaan elok juga boleh turut menyumbang kepada TDI ini agar lebih ramai golongan memerlukan menerima manfaatnya," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment