Wednesday, January 24, 2018

ANAK JATI TERENGGANU TERAJUI TUBE KEBANGSAAN


KUALA TERENGGANU, 24 Jan (Bernama) -- Amir Hakimin Che Razali dari Terengganu dilantik sebagai presiden pertama Persatuan Tunas Usahawan Nasional (Pertunas), yang menggabungkan 11 persatuan yang menyertai Tunas Usahawan Belia Bumiputera (Tube).

Pelantikan itu dibuat hasil persetujuan kesemua 11 presiden persatuan itu pada mesyuarat yang diadakan semalam, katanya kepada Bernama hari ini.

Amir Hakimin, 27, yang juga Presiden Persatuan Tunas Usahawan Terengganu (Patut) berkata penubuhan Tube Nasional penting bagi memudahkan proses pemantauan kemajuan anggota, pengurusan dan penyampaian bantuan kewangan untuk memastikan kejayaan usahawan belia.

Beliau berkata usahawan belia perlu melibatkan diri dalam ekonomi digital supaya selari dengan keperluan dan penerimaan pasaran semasa dunia selain mengekalkan ikatan antara alumni sejak Tube diperkenalkan SME Corp Malaysia pada 2014.

"Dalam perniagaan, hubungan erat antara rakan adalah penting dan penubuhan Tube Nasional membolehkan mereka mengekalkan hubungan dan menggalakkan perkongsian pengalaman antara peserta baharu dan alumni TUBE.

Beliau berkata seramai 1,516 usahawan belia Terengganu adalah antara 30,000 orang yang memohon menyertai Tube di seluruh negara tahun ini.

"Pada masa ini, seramai 4,433 usahawaan sudah pun menyertai Tube di seluruh negara," katanya.

Mengulas lanjut, Amir Hakimin berkata perkembangan positif itu menunjukkan golongan belia kini cenderung memilih bidang keusahawanan sebagai kerjaya pilihan utama berbanding pekerjaan 'makan gaji'.

"Selain pulangan yang lumayan, bidang keusahawanan juga menawarkan waktu fleksibel kepada mereka untuk berniaga mengikut keselesaan mereka. Perkara ini penting kerana peluang pekerjaan di sektor awam atau swasta secara relatifnya semakin mengecil dan berkurangan berbanding jumlah graduan institusi pengajian tinggi awam dan swasta.

"Kita juga mahu mereka meletakkan usaha dan minat dalam bidang perniagaan, sekali gus mencipta peluang pekerjaan kepada orang lain yang selari dengan hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak supaya golongan belia mengubah minda menjadi usahawan," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment