Saturday, January 20, 2018

52 PROGRAM CTU MANFAATKAN 163,000 PENGGUNA

HULU TERENGGANU, 20 Jan (Bernama) -- Sebanyak 52 Program 'Menghubung Menyatu' (CTU), yang bakal memanfaatkan 163,000 pengguna dan penduduk terutama di kawasan luar bandar, dilaksanakan di seluruh negara sepanjang tahun ini.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Jailani Johari berkata pelaksanaan program Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) itu telah memanfaatkan hampir 403,000 orang selepas 78 program CTU diadakan sehingga kini.

"Sepanjang program CTU, sebanyak 38 menara telekomunikasi dibina di seluruh negara dan insya-Allah, kemudahan itu akan dibina di beberapa tempat lain dalam masa terdekat.

"Di Hulu Terengganu sahaja, sebanyak dua program CTU diadakan di Kampung Basung di Dewan Undangan Negeri (DUN) Telemong dan hari ini di Kampung Landas di DUN Ajil," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program CTU di Kuala Berang dekat sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) Tan Sri Sharifah Zarah Syed Ahmad dan Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Tugas-Tugas Khas negeri Ghazali Taib.

Jailani yang juga Anggota Parlimen Hulu Terengganu turut menyampaikan sumbangan KKMM sebanyak RM10,000 masing-masing kepada 40 pemilik rumah daif di seluruh daerah Hulu Terengganu.

"Bagi program membaik pulih rumah itu, kami bekerjasama dengan Tentera Udara Diraja Malaysia. Mereka yang dipilih terdiri daripada golongan asnaf yang kurang berkemampuan," katanya.

Selain itu, sumbangan wang tunai dan barangan keperluan turut diberikan kepada 200 anak yatim dan ibu tunggal bagi meringankan beban mereka.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment