Thursday, January 11, 2018

AYAH MAUT SELEPAS CUBA MENYELAMATKAN ANAK BONGSU



KUALA TERENGGANU 11 Jan (Bernama) -- Pengorbanan bapa membawa ke liang lahad.

Tragedi kebakaran sebuah rumah jenis kembar dua tingkat (semi D) di Kuala Ibai, dekat sini pagi tadi mengorbankan Timbalan Ketua Cawangan UMNO Kuala Ibai, Ahmad Fakhrurazi Shafie, 45, selepas cuba menyelamatkan anak lelaki bongsunya, Muhammad Aqil Harith, 3, dalam kebakaran tersebut.

Ibu mangsa, Tengku Maznah Tengku Sulong, 73, berkata beliau yang duduk berdekatan pada mulanya tidak menyedari kejadian tersebut yang dikatakan berlaku pada kira-kira 8.30 pagi.

Katanya beliau hanya menyedari kejadian itu apabila dimaklumkan oleh seorang cucunya bahawa mangsa pengsan selepas selamatkan Muhammad Aqil.

"Anak saudara arwah yang paling besar beritahu saya 'Acik' (mangsa) pengsan dan bila saya pergi tengok arwah dah habis umur (meninggal dunia).

"Anak lelaki arwah yang paling kecil duduk atas dada arwah iaitu semasa arwah lari keluar dia memeluk anaknya sebelum arwah jatuh dan terus tidak sedarkan diri," katanya ketika ditemui media di kediamannya di sini.

Difahamkan ketika kejadian arwah hanya tinggal berdua bersama anak bongsunya manakala isteri mangsa, Tengku Mastura Tengku Ahmad, 38, yang sedang mengandung empat bulan sudah keluar bekerja dan tiga lagi anaknya sudah ke sekolah.

Menurutnya lagi arwah akan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Gong Pauh, petang ini.

Sementara itu, anak saudara arwah Ahmad Syahir Azizi Ahmad Zulfa, 18, berkata beliau dalam perjalanan ke tempat kerja di kawasan berdekatan, melihat asap tebal tetapi beranggapan bahawa ada orang membakar sampah.

"Bila saya masuk dalam rumah tempat saya kerja saya dengar cermin tingkap pecah dan asap keluar.

"Saya terus keluar pergi tengok dan melihat arwah yang dalam keadaan pucat sudah terbaring dengan anaknya...saya cuba sedarkan arwah berulang kali tetapi gagal. Saya difahamkan arwah disahkan meninggal dunia sebaik pasukan perubatan tiba untuk memberi rawatan kecemasan," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Azlimin Mat Noor, berkata pihaknya menerima panggilan 8.45 pagi sebelum 18 anggota bersama dua jentera dihantar ke lokasi kejadian.

Beliau berkata, api marak membakar kediaman ketika pasukan penyelamat tiba.

"Kami mengambil 10 minit untuk mengawal kebakaran daripada merebak ke rumah bersebelahan dan dianggarkan kebakaran tersebut melibatkan kemusnahan 50 peratus rumah itu, manakala punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya.

Menurut Azlimin lagi kebakaran tersebut hanya melibatkan ruangan bawah rumah berkenaan, tetapi kesan bahang panas kebakaran tersebut sampai ke tingkat atas rumah, katanya.

-- BERNAMA



No comments:

Post a Comment