Wednesday, September 19, 2018

REMAJA 18 TAHUN LAYAK MENGUNDI PADA PRU AKAN DATANG



PUTRAJAYA, 19 Sept (Bernama) -- Kabinet bersetuju untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi menurunkan umur kelayakan mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun, kata Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Katanya bagi mendapatkan persetujuan dua pertiga Dewan Rakyat untuk meluluskan pindaan tersebut, beliau akan bertemu dengan semua anggota parlimen dalam kalangan belia tanpa mengira parti politik untuk menubuhkan Kaukus Belia.

"Melaui Kaukus Belia, anggota parlimen muda setiap parti akan berbincang bukan sahaja usul undi 18 tetapi juga berkaitan isu anak muda lain kerana walaupun mereka di sebelah pembangkang, kita perlu dapatkan input mereka dalam hal ini," katanya pada sidang media selepas mesyuarat pascakabinet, di sini hari ini.

Syed Saddiq berkata beliau juga akan menubuhkan sebuah jawatankuasa yang dianggotai ketua-ketua pemuda semua parti politik di negara ini untuk membincangkan usul tersebut.

"Kita perlukan sokongan daripada mereka dan saya agak yakin khususnya apabila mereka mewakili anak muda, undi 18 ini diidam-idamkan oleh anak-anak muda Malaysia sejak dahulu lagi,” katanya yang berharap perbezaan politik tidak akan menghalang mereka bersatu dalam usaha memperkasa anak muda di negara ini.

No comments:

Post a Comment