Monday, September 10, 2018

PENEMBAK BEKAS ADUN ALOR LIMBAT DITEMBAK MATI



KEMAMAN, 10 September (Bernama) -- Polis hari ini berjaya menembak mati seorang penjenayah yang amat dikehendaki bagi 12 kes jenayah berat termasuk kes pembunuhan bekas Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Limbat, Alias Abdullah pada 2015.

Suspek, Syukri Muhamad Abiah, 37, yang berasal dari Pasir Putih, Kelantan, maut dalam kejadian tembak-menembak dengan sepasukan anggota polis di Felda Neram Satu dalam satu serbuan kira-kira jam 4.30 pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Fazlisyam Abd Majid berkata lelaki itu meninggal dunia di lokasi kejadian selepas terkena tembakan di bahagian dada kanan dan kepala.

"Serbuan dilakukan oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Terengganu di sebuah rumah separuh siap selepas usaha menjejaki suspek dijalankan selama tiga tahun.

"Polis terpaksa menembak balas untuk mempertahankan diri. Pemeriksaan selepas itu mendapati suspek tidak sedarkan diri dan kemudiannya meninggal dunia akibat ditembak," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman, hari ini.

Turut hadir, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim (gambar) .

Polis turut menemui sepucuk pistol semi automatik jenis Norinco, sebutir peluru dan sebilah parang milik suspek di tempat kejadian.

Fazlisyam berkata suspek adalah penjenayah yang amat dikehendaki bagi siasatan kes bunuh dan culik di tiga negeri iaitu Terengganu, Kelantan dan Pahang dan polis percaya susulan tumpasnya penjenayah itu, pihaknya telah dapat menyelesaikan beberapa kes pembunuhan di tiga negeri berkenaan.

Polis juga tidak menolak kemungkinan suspek turut bertindak sebagai pembunuh upahan.

Suspek mempunyai isteri dan tiga orang anak serta pernah ditangkap beberapa kali kerana jenayah kekerasan dan dipenjarakan pada 2001 kerana mendatangkan kecederaan parah kepada mangsa.

"Kita percaya suspek mempunyai ramai rakan yang membantunya menyembunyikan diri daripada polis," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment