Sunday, September 30, 2018

ISA ADA PELUANG SEIMBANG DENGAN ANWAR



PORT DICKSON: Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, antara lima calon bebas dalam pertembungan tujuh penjuru pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson bulan depan, berkata beliau mempunyai peluang seimbang dengan calon Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menang.

Ahli politik veteran berusia 69 tahun itu berkata sebagai orang lama di Port Dickson, beliau juga mempunyai ramai penyokong tersendiri.

"Walaupun saya sudah keluar Umno tapi mereka sokong saya dan yang bukan Umno juga sokong saya. Saya bertanding kerana mahu membela nasib rakyat dan seterusnya membawa pembangunan di Port Dickson," katanya kepada pemberita selepas pengumuman calon PRK Port Dickson hari ini.

Selain Mohd Isa, calon bebas lain ialah Mohd Saiful Bukhari Azlan, Lau Seck Yan, Chan Keng Leong (lebih dikenali sebagai Stevie Chan) dan Kan Chee Yuen. Turut bertanding calon PAS Mohd Nazari Mokhtar.

Mohd Nazari, 57, seorang pesara tentera pula yakin pengalaman dan perkhidmatannya selama 27 tahun sebagai anggota Tentera Udara Diraja Malaysia menjadi kelebihan buatnya dalam PRK itu.

"Rata-rata pengundi di PD adalah masyarakat Melayu dan ramai veteran tentera... saya tahu keperluan serta kehendak pengundi di sini, InsyaAllah kita ada peluang besar untuk menang," katanya.

Mohd Saiful Bukhari, yang merupakan bekas pembantu peribadi Anwar, menegaskan beliau bertanding bukan atas faktor dendam terhadap bekas majikannya itu.

"Tiada sebarang dendam terhadapnya malah saya menghormati semua calon yang bertanding," katanya yang pernah dikaitkan dalam kes mahkamah dengan Anwar.

“Tujuan saya bertanding ialah supaya saya boleh bergerak ke hadapan dan tema kempen saya ialah 'maju ke hadapan, kekalkan kestabilan", kata Mohd Saiful Bukhari.

Bekas pensyarah Lau, 51, satu-satunya calon wanita dalam PRK itu, berkata beliau bertanding untuk mewakili suara rakyat.

“Saya di sini untuk betrkhidmat, orang lain muingkin ada kepentingan politik, tetapi saya mengutamakan kepentingan rakyat dan negara,” katanya.

Sementara itu, personaliti media sosial Stevie Chan, 51, berkata beliau mahu memberi khidmat cemerlang kepada masyarakat bagi memenuhi kehendak dan keperluan yang masih belum dikotakan pemimpin terdahulu.

"Saya akan selesaikan isu tempatan dahulu terutama dalam menambah pendapatan selain membuka peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan. Saya juga akan berusaha menarik lebih ramai pelabur ke Port Dickson," katanya.

Pemilik syarikat perunding, Kan, 45, berkata beliau bertanding bukan untuk melawan kerajaan malah berbuat demikian untuk membantu kerajaan membawa perubahan kepada rakyat.

"Bagi saya kemajuan dan profesional amat penting dalam sesebuah kerajaan lebih-lebih lagi setelah kerajaan Pakatan Harapan menang Pilihan Raya Umum ke-14 baru-baru ini yang membolehkannya membawa perubahan kepada negara," katanya.

- Bernama

No comments:

Post a Comment