Thursday, September 20, 2018

DAPATKAH ORANG NEGERI SEMBILAN TERIMA ANWAR PADA 13 OKTOBER?

PUTRAJAYA, 20 Sept (Bernama) -- Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen P132 Port Dickson, Negeri Sembilan diadakan pada Sabtu, 13 Okt.

SPR juga menetapkan hari penamaan calon bagi pilihan raya kecil Parlimen itu pada 29 Sept (Sabtu) manakala hari pengundian awal pada Selasa, 9 Okt.

Timbalan Pengerusi SPR Tan Sri Othman Mahmood yang mengumumkan perkara itu pada sidang media hari ini, berkata tempoh berkempen bagi PRK berkenaan ialah selama 14 hari.

"PRK Port Dickson melibatkan peruntukan RM3.6 juta kerana ia melibatkan kawasan yang luas dan Parlimen Port Dickson melibatkan lima Dewan Undangan Negeri di bawahnya,” katanya selepas mesyuarat khas berkaitan urusan PRK Parlimen Port Dickson di ibu pejabat SPR di sini.

Othman berkata SPR meletakkan sasaran 70 peratus daripada 75,700 pengundi berdaftar di kawasan Parlimen Port Dickson keluar mengundi pada PRK itu nanti.

Ini adalah PRK keempat selepas PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, DUN Seri Setia dan DUN Balakong selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) 9 Mei lepas.

Kerusi Parlimen Port Dickson dikosongkan oleh penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, untuk membolehkan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat. Anwar baru-baru ini juga menang tanpa bertanding jawatan presiden PKR.

Dalam PRU14, Danyal Balagopal memenangi kerusi itu dengan majoriti selesa 17,710 undi mengalahkan calon Barisan Nasional Datuk V.S. Mogan dan Mahfuz Roslan daripada PAS.

Othman berkata permohonan undi pos luar negara dan dalam negara dibuka pada hari ini dan ditutup pada 29 Sept.

Beliau berkata SPR akan menggunakan Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson sebagai Pusat Penamaan Calon dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi.

Menurutnya SPR telah melantik Khairy Maamor sebagai Pegawai Pengurus Pilihan Raya Kecil Port Dickson dan beliau akan dibantu oleh sembilan Penolong Pegawai Pengurus.

“SPR juga bersetuju menubuhkan lima Pasukan Penguatkuasaan Kempen Pilihan Raya untuk memantau semua aktiviti kempen pilihan raya sepanjang tempoh rasmi berkempen,” katanya.

Bagi PRK itu, seramai 1,403 petugas dilantik untuk mengendalikan proses pilihan raya kecil dengan 39 buah pusat mengundi yang mengandungi 171 saluran akan digunakan berbanding 145 saluran mengundi dibuka pada PRU14, katanya.

No comments:

Post a Comment