Friday, September 7, 2018

SIAPA NYANYUK: LIM KIT SIANG ATAU HANIF OMAR?




KUALA LUMPUR:Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang memberi tempoh selama 48 jam kepada bekas ketua polis negara, Tan Sri Hanif Omar untuk membuktikan beliau mencadangkan supaya semenanjung Malaysia dibahagi dua dengan Pantai Barat diserahkan kepada kaum Cina.

Lim berkata, dakwaan Hanif bahawa beliau membuat kenyataan itu selepas berlaku rusuhan kaum pada 1969 hanya sekadar rekaan bekas ketua polis itu dan merupakan agenda untuk memburukkan beliau dan DAP.

"Saya minta supaya Hanif memetik bab dan rangkap, tarikh dan masa, di mana saya membuat cadangan mengarut seumpama itu. Jika maklumat itu diklasifikasikan sebagai rahsia rasmi, maka ia harus dinyahkan daripada status itu.

"Saya memberi Hanif tempoh selama dua hari untuk memberi respons terhadap cabaran ini atau rakyat Malaysia akan membuat kesimpulan bahawa beliau sudah nyanyuk atau mempunyai agenda tersembunyi untuk memburuk-burukkan saya dan DAP dengan penipuan sebegitu.

"Saya akan mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang selepas tamat tempoh dua hari tersebut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Anggota Parlimen Iskandar Puteri itu menegaskan beliau tidak berada di Kuala Lumpur antara 10 Mei 1969 sehingga pada hari penahanannya.

Menurut Lim, beliau merupakan pemimpin politik yang paling banyak dimomokkan sepanjang separuh abad lalu termasuk dituduh menjadi komunis, dalang rusuhan 13 Mei, anti-Melayu dan anti-Islam.

"Namun semua pembohongan, kepalsuan dan tindakan memburuk-burukkan ini tidak terbanding dengan cerita temberang Hanif yang mendakwa kononnya saya mahu Malaysia terbahagi kepada dua bahagian selepas PRU Mei 1969," katanya.

Lim menjawab laporan sebuah akhbar yang memetik Hanif sebagai berkata bahawa beliau terpaksa memenjarakan Lim demi menjaga keharmonian negara selepas berlaku rusuhan kaum pada 13 Mei 1969.

Bagaimanapun, Hanif  tidak secara khusus menamakan Lim sebagai individu yang mencadangkan agar semenanjung Malaysia dibahagi dua selepas tragedi hitam itu.

“Masa itu Parti Perikatan bentuk Barisan Nasional sebab pada masa itu negara kita hampir hancur. DAP pula minta Malaya dibahagi kepada dua.

“Pantai Timur kepada Melayu dan Pantai Barat kepada Cina. Jadi jawapan saya macam mana? Saya masukkan Lim Kit Siang dalam penjara.

“Dua tahun dia dalam tu. Itu cara dia, cara Hanif ambil tindakan semasa menjadi ketua polis negara,” ujar Hanif seperti dilapor Sinar Harian.

Lim dalam kenyataannya mempersoalkan dari sumber mana Hanif mendapat maklumat tersebut.

Kata Lim, Hanif bukan ketua polis negara ketika beliau ditahan buat pertama kali di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 18 Mei 1969.

Hanif berkhidmat sebagai ketua polis negara dari tahun 1974 hingga 1994, manakala Lim dibebaskan pada tahun 1970. BN pula hanya dibentuk pada tahun 1973.

"Ini kali pertama saya dengar bahawa beliau adalah orang yang bertanggungjawab terhadap penahanan saya mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960.

"Ini juga adalah kali pertama saya mendengar mengenai cadangan untuk memisahkan Semenanjung Malaysia kepada dua bahagian.

"Jika saya pernah membuat cadangan sebegitu, ia tidak akan terperap lama sehingga separuh hampir abad, kerana sudah pasti akan digunakan oleh musuh saya untuk memburuk-burukkan saya," kata Lim.

No comments:

Post a Comment