Sunday, September 16, 2018

MB HARGAI KERAJAAN PUSAT CARI JALAN SALURKAN ROYALTI KEPADA TERENGGANU



KUALA NERUS, 16 Sept (Bernama) – Kerajaan Terengganu tidak menganggap tempoh enam bulan yang diambil oleh kerajaan pusat untuk memperhalusi kaedah pembayaran 20 peratus royalti kepada negeri pengeluar minyak sebagai satu usaha melengahkan janji manifesto.

Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata beliau amat menghargai usaha kerajaan pusat mencari jalan bagi menyalurkan 20 peratus royalti kepada negeri yang terlibat sepertimana yang dinyatakan dalam manifesto Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 lalu.

"Kita hargai apa yang mereka cuba buat. Tinggal lagi sebelum daripada tempoh kajian, perjanjian sedia ada berjumlah lima peratus yang diterima oleh kerajaan negeri Terengganu sebelum ini yang tidak kurang daripada RM1 bilion hingga RM2 bilion setiap tahun mestilah berjalan seperti biasa.

"Jadi kita menjangkakan tentulah sekiranya kajian yang baru dibuat, keputusan akhir jumlahnya mestilah tidak berkurangan daripada yang diterima sekian lama iaitu sejak 1974.

"Kalau tidak, apa makna sebuah janji manifesto oleh kerajaan baharu jika jumlah yang diterima lebih kecil daripada yang diterima sebelum ini," katanya ketika ditemui pemberita pada Muktamar Tahunan PAS Ke-64 di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri di sini, hari ini.

Ahmad Samsuri berkata kerajaan negeri berpendirian bahawa tugas mengkaji kaedah pembayaran royalti itu tertakluk kepada bidang kuasa kerajaan pusat dan tidak perlu dipertikaikan.

"Saya bersangka baik bahawa itu adalah hasrat mereka untuk membuat pertimbangan baharu. Dia orang nak ambil masa setahun nak kaji pun tak apa yang penting yang lepas tu (bayaran sebelum ini) harus berjalan seperti biasa.

"Kita sedang menunggu akhir bulan ini atau awal bulan depan untuk menerima wang royalti sebanyak lima peratus mengikut perjanjian seperti yang diterima sebelum ini," katanya.

Menurutnya lagi, kerajaan negeri juga sudah menerima minit mesyuarat Majlis Kewangan Negara yang mengiktiraf bahawa penerimaan yang bersangkutan dengan hasil minyak dinamakan sebagai wang royalti dan bukannya wang ihsan yang disalurkan terus kepada akaun negeri.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment