Showing posts with label syed saddiq. Show all posts
Showing posts with label syed saddiq. Show all posts

Saturday, October 20, 2018

ABIM KEKAL RELEVAN SELAMA 47 TAHUN

NILAI, 20 Okt (Bernama) — Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) belia disaran untuk mencontohi model pergerakan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), yang bukan sahaja menjadi suara lantang anak muda tetapi juga kekal relevan selama 47 tahun sejak penubuhannya.

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata ABIM ialah antara pertubuhan yang mengangkat dan menerajui gerakan Islam yang progresif dan moderate, selain berjaya melahirkan ramai pemimpin yang disegani di Malaysia.

“ABIM telah mendapat penarafan lima bintang dari Kementerian Belia dan Sukan dan kita memang mahu memberi penghargaan menerusi bantuan kewangan kepada pertubuhan itu.

“Sebagai menteri, saya bertanggungjawab untuk memberi apa sahaja bantuan dan dalam masa sama menjadikan pertubuhan ini sebagai contoh kepada NGO belia yang lain,” katanya kepada media selepas Majlis Makan Malam Relawan Malaysia di sini malam ini.

Syed Saddiq berkata ABIM perlu sentiasa komited menjadi benteng dan gerakan utama mempertahankan nasib anak muda, walaupun landskap politik di negara akan sentiasa berubah

Wednesday, September 19, 2018

REMAJA 18 TAHUN LAYAK MENGUNDI PADA PRU AKAN DATANG



PUTRAJAYA, 19 Sept (Bernama) -- Kabinet bersetuju untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi menurunkan umur kelayakan mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun, kata Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Katanya bagi mendapatkan persetujuan dua pertiga Dewan Rakyat untuk meluluskan pindaan tersebut, beliau akan bertemu dengan semua anggota parlimen dalam kalangan belia tanpa mengira parti politik untuk menubuhkan Kaukus Belia.

"Melaui Kaukus Belia, anggota parlimen muda setiap parti akan berbincang bukan sahaja usul undi 18 tetapi juga berkaitan isu anak muda lain kerana walaupun mereka di sebelah pembangkang, kita perlu dapatkan input mereka dalam hal ini," katanya pada sidang media selepas mesyuarat pascakabinet, di sini hari ini.

Syed Saddiq berkata beliau juga akan menubuhkan sebuah jawatankuasa yang dianggotai ketua-ketua pemuda semua parti politik di negara ini untuk membincangkan usul tersebut.

"Kita perlukan sokongan daripada mereka dan saya agak yakin khususnya apabila mereka mewakili anak muda, undi 18 ini diidam-idamkan oleh anak-anak muda Malaysia sejak dahulu lagi,” katanya yang berharap perbezaan politik tidak akan menghalang mereka bersatu dalam usaha memperkasa anak muda di negara ini.

Monday, August 13, 2018

DR NUR ILLYANI BERHAK BERSUARA KATA SYED SADDIQ



KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hari ini tampil mempertahankan doktor perubatan, Dr Nur Ilyani Mohamed Nawawi berikutan ‘surat terbuka’ yang ditulisnya kepada aktivis sosial, Marina Mahathir, baru-baru ini.

Syed Saddiq berkata, beliau sendiri akan bangkit bersuara dan menentang sebarang tindakan yang akan dikenakan kepada doktor perubatan tersebut sekiranya ada.

“Kalau ada tindakan disiplin terhadap pegawai perubatan tersebut, saya sendiri akan bersuara dan menentangnya.

“Tetapi setakat ini saya dimaklumkan tidak ada sebarang tindakan disiplin diambil keatasnya, cuma sekadar aduan,” katanya dalam sidang media Majlis Kepimpinan Majlis Belia Malaysia di Kuala Lumpur, hari ini.

Doktor yang bertugas di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) itu dikatakan bakal berdepan tindakan tatatertib selepas diadukan pihak tertentu kepada Biro Pengaduan Awam (BPA).

Ia susulan tindakan doktor berkenaan menulis 'surat terbuka' di Facebooknya pada 6 Ogos lalu mengenai pandangannya terhadap isu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Antara lain Dr Nur Ilyani menulis : "Saya adalah seorang doktor perubatan dan saya tidak mengiktiraf perlakuan seks bebas apatah lagi songsang".

"Adakah anda bersetuju kini golongan yang mendominasi carta penghidap HIV adalah di kalangan komuniti LGBT?

"Sehingga kini walaupun pesakit yang hadir mendapatkan rawatan dari saya tergolong dari kalangan LGBT, saya tetap melayan mereka sebagai pesakit dan memberikan rawatan yang terbaik buat mereka.

"Apatah lagi jika mereka berada di hujung usia. Maka, hak apakah yang anda sedang perjuangkan?" tulisnya.

Pandangan doktor itu menerima kritikan sesetengah pihak, antaranya Dekan Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Prof Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman yang mengingatkan beliau agar memenuhi ikrar sebagai seorang pengamal perubatan.

Susulan itu, Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menjelaskan prinsip kementerian itu tidak mendiskriminasi hak mana-mana golongan termasuk LGBT.


Selain itu, PAS semalam turut menggesa kerajaan khususnya KKM supaya tidak mengenakan sebarang tindakan tatatertib atau pentadbiran ke atas Dr Nur Ilyani.

Sebuah petisyen turut diwujudkan bagi menyatakan kebersamaan terhadap doktor berkenaan.

Mengulas lanjut, Syed Saddiq yang juga Ketua Pemuda Parti Peribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) berkata doktor berkenaan berhak menyuarakan pandangannya mengenai isu itu kerana Malaysia mendukung hak kebebasan bersuara.

“Bagi saya setiap pihak berhak untuk menyuarakan pandangan mereka, kalau kita bersetuju kita boleh bersetuju tetapi jika kita tidak bersetuju kita boleh bersetuju untuk tidak bersetuju.

“Tetapi, saya tidak setuju sama sekali kalau tindakan disiplin diambil ke atasnya.

“Kerana beliau berhak memberikan pandangannya dan itu pandangan peribadi beliau dan pada masa yang sama jika tindakan diambil ke atasnya, maksudnya kita sedang menyekat suara dan pandangan beliau,”tegas Syed Saddiq.