Showing posts with label royalti minyak. Show all posts
Showing posts with label royalti minyak. Show all posts

Saturday, December 22, 2018

JANGAN GUNA WANG ROYALTI MINYAK UNTUK PARTI



DUNGUN, 22 Dis ( Bernama) -- Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu akan menjadi mata dan telinga kerajaan pusat Pakatan Harapan (PH) dalam memastikan kerajaan Terengganu tidak menyalahguna wang royalti minyak yang disalurkan kerajaan pusat untuk tujuan selain kebajikan rakyat.

Pengerusinya, Senator Datuk Razali Idris berkata pihaknya tidak akan akan teragak-agak untuk mendesak kerajaan pusat supaya mengguna pakai kaedah lain bagi pembayaran royalti negeri sekiranya terdapat unsur-unsur penyelewengan dalam tadbir urus wang berkenaan.

"Setakat ini kerajaan pusat telah menyalurkan sebanyak RM450 juta wang royalti kepada negeri Terengganu yang dibayar sebanyak tiga kali iaitu yang terakhir pada awal bulan ini.

"Kita bimbang wang ini akan digunakan untuk perjalanan parti kerana pada muktamar tahunan PAS September lalu di Kuala Nerus ada permintaan daripada beberapa individu yang meminta supaya kerajaan negeri membantu parti di negeri lain menggunakan wang royalti rakyat Terengganu," katanya selepas menyampaikan bantuan persekolahan kepada 1,000 orang pelajar sekolah di sini, hari ini.

Turut hadir, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu yang juga Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Wan Saiful Wan Jan.

Dalam perkembangan lain, Wan Saiful berkata Bersatu Terengganu turut menyasarkan pertambahan ahli sehingga 50,000 orang pada tahun hadapan.

"Sehingga September tahun ini seramai 5,800 orang telah mendaftar sebagai ahli PPBM di seluruh negeri dan jumlah ini dijangka meningkat sehingga ke 50,000 pada tahun hadapan.

"Kita percaya sasaran ini dapat dicapai berdasarkan peningkatan jumlah ahli yang mendadak iaitu daripada 1,000 orang pada empat bulan pertama tahun ini kepada 5,800 ahli sehingga September lalu.

"Ini pastinya kerana keyakinan rakyat terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang berjaya memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 dan membentuk kerajaan (PRU) pada Mei lalu," katanya.

-- BERNAMA

Sunday, September 16, 2018

MB HARGAI KERAJAAN PUSAT CARI JALAN SALURKAN ROYALTI KEPADA TERENGGANU



KUALA NERUS, 16 Sept (Bernama) – Kerajaan Terengganu tidak menganggap tempoh enam bulan yang diambil oleh kerajaan pusat untuk memperhalusi kaedah pembayaran 20 peratus royalti kepada negeri pengeluar minyak sebagai satu usaha melengahkan janji manifesto.

Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata beliau amat menghargai usaha kerajaan pusat mencari jalan bagi menyalurkan 20 peratus royalti kepada negeri yang terlibat sepertimana yang dinyatakan dalam manifesto Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 lalu.

"Kita hargai apa yang mereka cuba buat. Tinggal lagi sebelum daripada tempoh kajian, perjanjian sedia ada berjumlah lima peratus yang diterima oleh kerajaan negeri Terengganu sebelum ini yang tidak kurang daripada RM1 bilion hingga RM2 bilion setiap tahun mestilah berjalan seperti biasa.

"Jadi kita menjangkakan tentulah sekiranya kajian yang baru dibuat, keputusan akhir jumlahnya mestilah tidak berkurangan daripada yang diterima sekian lama iaitu sejak 1974.

"Kalau tidak, apa makna sebuah janji manifesto oleh kerajaan baharu jika jumlah yang diterima lebih kecil daripada yang diterima sebelum ini," katanya ketika ditemui pemberita pada Muktamar Tahunan PAS Ke-64 di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri di sini, hari ini.

Ahmad Samsuri berkata kerajaan negeri berpendirian bahawa tugas mengkaji kaedah pembayaran royalti itu tertakluk kepada bidang kuasa kerajaan pusat dan tidak perlu dipertikaikan.

"Saya bersangka baik bahawa itu adalah hasrat mereka untuk membuat pertimbangan baharu. Dia orang nak ambil masa setahun nak kaji pun tak apa yang penting yang lepas tu (bayaran sebelum ini) harus berjalan seperti biasa.

"Kita sedang menunggu akhir bulan ini atau awal bulan depan untuk menerima wang royalti sebanyak lima peratus mengikut perjanjian seperti yang diterima sebelum ini," katanya.

Menurutnya lagi, kerajaan negeri juga sudah menerima minit mesyuarat Majlis Kewangan Negara yang mengiktiraf bahawa penerimaan yang bersangkutan dengan hasil minyak dinamakan sebagai wang royalti dan bukannya wang ihsan yang disalurkan terus kepada akaun negeri.

-- BERNAMA