Monday, February 13, 2017

UMT SEDIAKAN PENEMPATAN SEMENTARA UNTUK MANGSA HAKISAN PANTAI

KUALA NERUS, 13 Feb (Bernama) -- Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menyediakan penempatan sementara di kampus universiti itu kepada penduduk tiga kampung yang terjejas dengan hakisan pantai di Mengabang Telipot di sini.


Naib Canselor UMT Prof Datuk Dr Nor Aieni Mokhtar berkata penempatan itu boleh memuatkan 60 hingga 70 orang sebelum mereka berpindah ke kawasan penempatan yang lebih baik.

"Dari segi konteks cuaca, keadaan angin kencang yang membawa ombak besar ini akan berterusan hingga bulan Mac dan penduduk harus berwaspada dan berpindah serta merta jika perlu," katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di perkampungan tersebut, semalam.

Tiga kampung berkenaan iaitu Kampung Kolam, Kampung Gelam dan Kampung Tengah di Mengabang Telipot mengalami masalah hakisan ombak pada setiap musim tengkujuh sehingga merosakkan rumah penduduk yang terletak berhampiran pantai.

Dalam pada itu, Nor Aieni berkata beberapa kajian UMT sebelum ini mendapati masalah hakisan di kawasan pantai perkampungan berkenaan semakin serius dan mengancam keselamatan penduduk.

Katanya kajian mendapati kawasan perkampungan itu sudah tidak selamat diduduki kerana garisan pantai semakin mengecil setiap kali tiba musim tengkujuh sekaligus menjejaskan rumah penduduk yang terletak berdekatan pantai.

Sementara itu, Mohd Yahya Muda, 54, ketika ditemui di rumahnya berkata hakisan yang melanda kawasan rumahnya kini semakin kritikal dan tahun ini merupakan yang paling teruk.

"Selama lebih 10 tahun saya dan keluarga tinggal di sini, tahun ini kali pertama hakisan tersebut menyebabkan tandas belakang rumah saya musnah teruk dan kini tidak dapat digunakan lagi.

"Mungkin saya dan keluarga terpaksa juga mencari penempatan sementara jika kawasan rumah ini tidak lagi selamat diduduki," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment