Tuesday, February 28, 2017

TERENGGANU STPM TEMPAT PERTAMA TIGA TAHUN BERTURUT TURUT


DUNGUN, 28 Feb (Bernama) -- Anak yatim, Nik Nur Maizatul Izzati Nik Ali, adalah antara 15 pelajar terbaik Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang memperoleh A Penuh dalam empat subjek dengan Purata Nilai Gred Kumulatif 4.0 di Terengganu.

Beliau berkata kejayaannya itu dicapai hasil kesungguhannya untuk berusaha mengubah nasib keluarganya selepas kematian bapanya pada 2012.

"Ibu menasihatkan supaya saya mengubah nasib keluarga, keluar dari kepompong kemiskinan...motivasi guru-guru sekolah juga adalah kekuatan untuk melakukan yang terbaik dalam peperiksaan ini," katanya kepada pemberita selepas majlis pengumuman keputusan STPM di sini, Selasa.

Nik Nur Maizatul Izzati, 20, berkata sejak kematian bapanya, beliau dan tiga adiknya bergantung kepada enam abang mereka untuk menanggung perbelanjaan harian.

"Kesemua abang saya hanya berkerja biasa di kampung dan ada yang jadi mekanik. Mereka masing-masing menghulurkan sumbangan bagi perbelanjaan keluarga," katanya yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Payong, Hulu Besut.

Gadis itu berkata memandangkan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diperolehnya adalah sekadar 4A 5B, beliau nekad cemerlang dalam STPM agar dapat ke universiti awam seperti rakan-rakannya.

Sebagai anak sulung perempuan dalam keluarga, Nik Nur Maizatul Izzati memilih tidak tinggal di asrama kerana mahu membantu ibunya melakukan kerja-kerja rumah.

"Setiap hari, saya bangun jam 4 pagi untuk solat tahajud, mengulang kaji pelajaran sebelum menghantar tiga adik saya ke sekolah. Selepas itu, barulah saya ke sekolah pula," katanya yang berharap melanjutkan pengajian ke Universiti Sains Malaysia dalam bidang pendidikan.

Sementara itu, Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata kerajaan negeri Terengganu sangat berbangga dengan pencapaian cemerlang semua calon STPM hingga menempatkan Terengganu di tempat pertama buat kali ketiga berturut-turut.

"Sehubungan itu, kerajaan negeri bersetuju menghadiahkan sebuah komputer riba kepada semua 15 pelajar yang memperoleh A Penuh dan 55 pelajar yang mendapat semua A akan diberi baucer pembelian tablet.

"Hadiah berjumlah RM100,000 itu diharap dapat menyuntik semangat supaya lebih cemerlang di peringkat universiti kelak," katanya sambil memberitahu kerajaan negeri akan memberi insentif lain kepada Pejabat Pendidikan Daerah dan sekolah-sekolah yang cemerlang.

Selain itu, kerajaan negeri juga akan memberi insentif kepada Siti Zubaidah Ismail yang dipilih sebagai pelajar terbaik kebangsaan, katanya selepas menyampaikan hadiah kecemerlangan itu di sini, Selasa.

Mengulas lanjut, Ahmad Razif berkata kerajaan negeri melalui Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu akan memperkasa pendidikan peringkat prauniversiti dengan menambah lebih banyak sekolah di luar bandar kerana ia merupakan peluang kedua buat pelajar yang tidak cemerlang dalam SPM.

Sementara itu, Siti Zubaidah juga dari SMK Bukit Payong, ketika dihubungi Bernama berkata kesusahan bapanya sebagai penoreh getah dan memperoleh pendapatan rendah menjadikannya bersemangat untuk mengubah masa depan mereka.

Keputusan cemerlang itu adalah hasil fokusnya semasa guru mengajar di kelas dan kekerapannya mengulang kaji pelajaran di rumah, katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment