Thursday, February 23, 2017

LORI LEBIHI HAD MUATAN SEBABKAN KERAJAAN BAIKI JALAN RM900 RIBU SETIAP TAHUN




HULU TERENGGANU, 23 Feb (Bernama) -- Kerajaan Terengganu membelanjakan kira-kira RM900,000 setiap tahun bagi membaiki kerosakan jalan Hulu Terengganu-Gua Musang disebabkan lori mengangkut bijih besi melebihi had muatan, kata Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian dan Perdagangan negeri Datuk Tengku Putera Tengku Awang.

Katanya jalan yang sepatutnya memberi keselesaan kepada pengguna jalan raya untuk bergerak antara Kelantan, Terengganu dan Perak itu dimanfaatkan sepenuhnya oleh pengusaha bijih besi di Gua Musang, Kelantan.

"Jabatan Pengangkutan Jalan Raya telah menetapkan had muatan lori hanya 40 tan pada satu-satu masa, namun kebanyakannya dikesan membawa muatan antara 90 hingga 100 tan.

"Muatan yang berlebihan ini menghasilkan gegaran yang memberi kesan kepada lereng-lereng bukit yang akhirnya boleh menyebabkan runtuhan tanah, sama ada yang berskala kecil, sederhana atau besar," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Katanya walaupun operasi penguatkuasaan sering dilaksanakan terhadap lori-lori terbabit, hukuman ringan yang dikenakan menyebabkan pengusaha bijih besi tidak serik.

"Justeru kita berharap denda maksimum dapat dikenakan kepada pengusaha bijih berkenaan agar mereka serik dan tidak lagi mengangkut bijih besi melebihi muatan ketika melalui jalan berkenaan," katanya.

Tengku Putera berkata jalan sepanjang 70 kilometer itu dibuka 10 tahun lalu dan sepatutnya berperanan sebagai jalan pintas yang menghubungkan Kelantan-Terengganu-Perak.

"Satu kerugian apabila jalan ini sepatutnya menjadi laluan utama bagi memajukan sektor sosioekonomi masyarakat setempat. Jalan ini merupakan pintu masuk ke Tasik Kenyir iaitu satu tarikan pelancongan utama di negeri ini.

"Namun disebabkan ia sering rosak, tidak ramai pengguna memilih laluan ini sebaliknya mereka lebih rela menggunakan laluan jauh terutama pengunjung dari atau ke Kelantan, Perak dan Kuala Lumpur dan ini mempengaruhi kedatangan pengunjung ke Tasik Kenyir," katanya.

Terdahulu Tengku Putera menghadiri Program Salam Qaseh Sempadan Hulu Terengganu-Kelantan Selatan di Pusat Konservasi Gajah Sungai Deka yang dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan dan Sumber Manusia negeri Datuk Rozi Mamat.

Turut hadir Anggota Dewan Undangan Negeri Kelantan kawasan Paloh Datuk Norzula Mat Diah.

Program sehari itu bertujuan mencari penyelesaian kepada masalah tersebut yang membelenggu penduduk sekitar dan pengguna jalan raya sejak sekian lama.

Sementara itu, Norzula berkata kerajaan Kelantan pimpinan PAS tidak melaksanakan sebarang penguatkuasaan terhadap pengusaha bijih besi di Gua Musang.

"Ini menyebabkan mereka bermaharajalela dan tidak bertanggungjawab atas kerosakan yang berlaku di sepanjang laluan berkenaan," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment