Monday, February 6, 2017

RAKYAT TAK PERLU BIMBANG MENGENAI KESIHATAN MB

KUALA LUMPUR, 6 Feb (Bernama) -- Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman yang terjatuh dari kuda semasa menjalani sesi latihan di sebuah pusat ekuestrian di sini semalam, dimasukkan ke hospital untuk pemerhatian.

Beliau sedang menjalani latihan di bawah pengawasan seorang jurulatih pada kira-kira 10.30 pagi, apabila tiba-tiba pitam dan jatuh, kata Ahmad Razif kepada Bernama ketika ditemui di sebuah hospital swasta di sini.

Doktor menasihati beliau agar berehat bagi tempoh dua hingga tiga hari, katanya, dan menambah rakyat negeri itu tidak perlu bimbang mengenai kesihatannya.

Sementara itu, Pejabat Menteri Besar Terengganu menangguhkan semua program melibatkan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman ke satu tarikh yang akan diberitahu kemudian.

Menurutnya, ini berikutan menteri besar memerlukan pengawasan doktor sekurang-kurangnya untuk tempoh 24 jam selepas terjatuh kuda dalam sesi latihan di sebuah pusat ekuestrian di ibu negara semalam.

"Marilah sama-sama kita berdoa semoga Allah SWT akan mengurniakan kesembuhan dan semoga Yang Amat Berhormat (Ahmad Razif) pulih segera," menurut Pejabat Menteri Besar dalam kenyataan di sini.

Sementara itu, menurut kenyataan di Facebook Pegawai Khas kepada Ahmad Razif, Ahmad Fauzan Abd Kadir, menteri besar kini di rawat di sebuah hospital swasta di ibu negara dan berada dalam keadaan stabil.

"Tiada perkara serius berlaku ke atas Menteri Besar Terengganu. Beliau sedang dirawat di bawah pengawasan doktor di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur. Keadaan beliau adalah baik. Terima kasih atas doa anda semua," menurut kenyataan itu.

Ahmad Razif dimasukkan ke hospital tersebut pada kira-kira 11 pagi semalam selepas terjatuh kuda ketika sedang menjalani latihan di sebuah pusat ekuestrian di ibu negara.



No comments:

Post a Comment