Monday, May 14, 2018

KERAJAAN PAS AKAN TERUS TUNTUT ROYALTI MINYAK


KUALA TERENGGANU, 14 Mei (Bernama) -- Menteri Besar Terengganu Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengharapkan teguran daripada semua pihak dalam menjalankan tanggungjawap yang diamanahkan.

Ahmad Samsuri, 48, yang merupakan Menteri Besar ke-15 menganggap permulaan tugasnya hari ini bukan sahaja untuk kebaikan di dunia tetapi juga di akhirat.

"Perasaan saya bercampur baur, ada rasa gembira, teruja untuk memulakan tugas sebagai Menteri Besar namun sudah tentu ada perasaan takut tidak dapat melaksanakan amanah ini dengan sempurna kerana kita perlu menjawabnya di akhirat kelak," katanya

"Sekiranya kami laksanakan dengan baik dan betul, maka ikutlah, namun sekiranya kami lakukan kesilapan dan kesalahan, maka tegurlah supaya kami boleh jalankan kewajipan dengan sempurna.

"Ini kerana apa yang paling penting ialah rakyat sebagai penerima objektif paling besar dalam pentadbiran kerajaan negeri," katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat hajat bersama kakitangan Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Samsuri berkata kerajaan negeri akan terus menuntut royalti minyak daripada kerajaan pusat kerana ia penting untuk pembangunan negeri.

Katanya, isu tersebut sudah lama diperjuangkan oleh PAS bukan sahaja di peringkat kepimpinan negeri malah di peringkat pusat.

"Tuntutan terhadap royalti minyak adalah antara komitmen berterusan yang akan terus diperjuangkan oleh kerajaan negeri. Persoalan royalti adalah persoalan penting kepada negeri Terengganu.

"Tetapi kami akan lakukan dengan cara berhemah dan akan adakan perbincangan lebih lanjut selepas ini," katanya.

Mengenai lantikan pegawai kerajaan negeri, Ahmad Samsuri berkata ia akan dibincangkan kemudian selepas menilai dari pelbagai sudut dan keperluan.

Sementara itu, lantikan exco dan portfolio kerajaan negeri akan ditentukan Rabu ini selepas mendapat perkenan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin.

-- BERNAMA

Sunday, May 13, 2018

AHMAD SAID BIMBANG MASA DEPAN PENDUDUK KEMAMAN

KEMAMAN, 13 Mei (Bernama) -- Bekas menteri besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said berkata UMNO kini berada dalam keadaan tenat dan sebahagian besar anggotanya merasakan parti tersebut telah berada di penghujung jalan dan sukar untuk bangkit semula selepas rakyat menolak Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Beliau berkata pengunduran Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi BN dianggap terlewat kerana bekas perdana menteri itu sebenarnya sudah maklum kemerosotan sokongan rakyat terhadap BN sebelum PRU14.

"Pengunduran Najib dari parti adalah satu tindakan yang agak lewat kerana kita dapati setelah beliau melihat suasana politik di Malaysia ketika itu beliau sepatutnya mengambil keputusan mengundurkan diri lebih awal sebelum pilihan raya.

"Sebab Tun Dr Mahathir Mohamad (Perdana Menteri kini) telah mengeluarkan kenyataan sekiranya Najib tidak mengundurkan diri bermakna BN akan kalah dan kita nampak itu yang berlaku," katanya kepada pemberita ketika mengulas pengunduran Najib dari parti di kediamannya di Telok Kalong, di sini hari ini.

"Bila ada tanda-tanda penentangan dan orang tak perlukan sepatutnya biar kita berundur lebih awal... sekarang nasi dah jadi bubur bukan mudah untuk bangkit kembali setelah apa yang berlaku," katanya yang juga Ketua UMNO Bahagian Kemaman.


Ahmad berkata UMNO Bahagian Kemaman bimbang mengenai masa depan penduduk Kemaman terutama penyokong-penyokong BN apabila beliau sahaja menang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal, pada PRU14, 9 Mei lalu.

Katanya, beliau kini memikirkan daripada mana sumber atau peruntukan yang dapat diberikan kepada rakyat Kemaman selepas BN kini bukan lagi kerajaan yang memerintah.

"Dulu pada tahun 1999 kita kalah pada kerajaan negeri (PAS) tetapi kerajaan pusat masih kita (BN) yang memerintah dan kerajaan pusat masih menyalurkan peruntukan dan sebagainya (kepada rakyat Terengganu dan Kemaman).

"Tapi hari ini kita kalah dengan kerajaan negeri dan kerajaan pusat (Pakatan Harapan) ... di mana tempat untuk kita bergantung untuk mendapatkan peruntukan," katanya.

Saturday, May 12, 2018

BERSIHKAN SPRM TERLEBIH DAHULU CADANG BAHRI

KUALA LUMPUR: Bekas Pengarah Operasi Khas SPRM, Datuk Bahri Mohd Zin mahu kerajaan Pakatan Harapan membersihkan dahulu SPRM sebelum SPRM diarah membersihkan negara.

Katanya, kalau tukang cuci berserabut macam mana dia nak cuci keadaan sekeliling.

"Makin kotor adalah,"katanya kepada blog ini melalui whastaspp.

Beliau gembira dengan kejatuhan kerajaan pusat BN yang telah menganaiyai ramai orang.

"Saya hanya mengadu kepada Allah setiap malam ketika tahajud dan saya yakin usaha siasatan saya akan bangkit semula pada suatu hari nanti,"katanya mengulas kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mahu siasatan menyeluruh mengenai 1MDB.

Beliau yakin Dr Mahathir ikhlas mahu menghapuskan rasuah yang sudah menjadi barah dalam jabatan kerajaan.

"Saya tetap dengan pendirian saya bahawa kamu ada kuasa tetapi saya ada Allah,"katanya lagi yang pernah diarah tukar dari SPRM ke Jabatan Perdana Menteri dalam tempoh 24 jam pada 7 Ogos 2015.

Namun demikian arahan pertukaran  itu yang ditandatangani oleh Ketua Pengarah JPA, Tan Sri Zabidi dibatalkan serta merta oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa yang bergegas pulang dari luar negara.

Bahri menyiasat kes SRC yang mendapat pinjaman dari KWAP yang skop siasatannya dikecilkan terbatas kepada kes yang melibatkan saksi-saksi dalam negara sahaja kerana terpaksa dipercepatkan kerana beliau telah menjangkakan  gangguan dari sasaran  yang menggunakan PDRM yang secara membuta tuli  sentiasa mengikut telunjuk pihak berkuasa.

"RM43 juta telah masuk ke akaun sasaran dan siasatan  menemui bukti  dan saksi saksi yang mencukupi untuk menuduh sasaran di mahkamah," katanya.

Katanya lagi, beliau benar-benar bersendirian kerana Ketua Pesuruhjaya Tan Sri Abu Kassaim dimasukkan ke hospital dan nombor dua pula Datuk Shukri berada di Amerika Syarikat.

"Di situlah timbulnya slogan tauhid "kamu ada kuasa aku ada Allah" kerana saya bersendirian dan diganggu semahunya oleh sang penguasa," katanya lagi.

Beliau berharap siasatan SRC dibuka semula oleh kerajaan baharu. Beliau yang dilamar oleh beberapa parti politik supaya bertanding dalam PRU baru baru ini menolak tawaran tersebut kerana beliau amat takut untuk menerima amanah di dalam bidang yang beliau bukan pakar dan beliau amat mempercayai satu kerugian kepada negara selama ini kerana melantik para kroni memegang jawatan yang mereka jahil dan bukan pakar dalam bidang tersebut.

"Saya berharap kerajaan baru ini tidak sesekali melantik mana-mana manusia di suatu tempat yang dia bukan ahli dalam bidang berkenaan. Itu mengarut,"tegasnya lagi.

Friday, May 11, 2018

MB TERENGGANU PERTAMA YANG ADA PhD




MARANG, 11 Mei (Bernama) -- Menteri Besar Terengganu Dr Ahmad Samsuri Mokhtar memohon semua pihak agar menegur membantu dan membimbingnya serta barisan exco kerajaan negeri yang baharu, sekiranya tersilap dalam melaksanakan amanah memimpin negeri.









Beliau berkata kemenangan PAS di Terengganu pada Pilihan Raya Umum ke-14 baru-baru ini hanyalah langkah pertama dalam pergerakan parti itu manakala langkah yang lebih besar adalah bagaimana untuk mengisi kemenangan tersebut, sesuai dengan amanah dan perintah Allah serta Nabi Muhammad saw.




"Matlamat kita, untuk bertemu dengan Allah dalam keadaan kita redha kepada Allah dan begitulah Allah redha dengan kita. Saya sendiri datang sebagai orang kampung, tidak pernah terfikir akan diberi amanah tersangat berat ini.




"Saya pernah menjadi setiausaha cawangan parti di negeri yang PAS tidak kuat, sebab itulah bimbingan dan panduan daripada semua sangat-sangat diperlukan," katanya dalam ucapan sulungnya selepas Kuliah Dhuha Masjid Rusila di sini, hari ini.




Beliau telah mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Terengganu yang baharu, malam tadi.




Ahmad Samsuri, 48, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang, memenangi PRU14 dengan 13,851 undi mengalahkan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Nik Dir Nik Wan Ku, yang meraih 7,823 undi dan calon PKR Zarawi Sulong (729 undi).




Beliau merupakan Setiausaha Politik Presiden PAS sejak 2008 dan Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, selain bekas pensyarah Universiti Putra Malaysia (UPM) dan pakar aeroangkasa.




Beliau berkata jawatan Menteri Besar, Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), Anggota Dewan Negara, ADUN dan ketua parti pada pelbagai peringkat adalah amanah berat yang tidak mampu dipikul tanpa kerjasama dan bantuan daripada semua.




"Kita harus letak strategi, cara, kaedah yang sesuai dengan amanah yang diperintahkan Allah dan dengan itu ada beberapa perkara yang ingin dilaksanakan, selain memenuhi manifesto PAS yang dirangka," katanya.




Ahmad Shamsuri berkata antaranya adalah membina hidup rakyat dengan membangun jati diri, berkhidmat tanpa mengira kaum, agama, fahaman politik dan latar belakang berkonsepkan adil untuk semua, mencari jalan penyelesaian atas kelemahan salah urus pentadbiran lepas dan perkongsian ekonomi dengan rakyat.




"Kita ingin membawa Terengganu sebagai model yang bersih, maju dan berkat serta sejahtera. Akhirnya, kita akan terus memperjuangkan untuk mendapatkan kembali royalti minyak Terengganu dan hasil daripada telaga minyak Bertam yang ditiadakan daripada kewangan kerajaan negeri sebelum ini," katanya.




-- BERNAMA




SALLEH AKUR DENGAN KEPUTUSAN PRU

KUALA LUMPUR, 11 Mei (Bernama) -- Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak menyifatkan kekalahannya dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) sebagai sesuatu 'yang tidak mudah untuk diterima dan pastinya sangat menginsafkan'.

Dalam catatan di blognya hari ini beliau juga berkata ia juga membuatkan seseorang itu untuk bermuhasabah dan terus bertenang ketika berdepan dengan kekalahan.

"Pada 9 Mei 2018, rakyat telah bersuara dan kita harus mematuhi kehendak rakyat dalam semangat 'suara rakyat adalah suara keramat'," catat beliau.

Salleh juga berkata dalam politik tidak ada kuasa yang lebih hebat daripada kehendak rakyat, dan mereka (calon pilihan raya) harus terima apa jua keputusan.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang mengizinkan beliau untuk berkhidmat kepada negara sebagai Menteri Komunikasi dan Multi Media.

Pada 9 Mei lalu, Dr Salleh selaku calon BN bagi parlimen Kota Belud kalah kepada calon Warisan, Isnarasiah Munirah Majilis dengan majoriti 4,263 undi. Salleh mendapat 19,167 undi manakala Isnarasiah mendapat 23,429 undi. Dalam pertandingan empat penjuru itu, calon PAS, Awang Laiman Ikin mendapat 1,410 undi manakala calon Harapan,Miasin@Ainaduddin Mion mendapat 2,092 undi.

Yang peliknya semua calon BN di bawah parlimen Kota Belud menang di Tempasuk, Kadamaian dan Usukan. Malah jika undi BN di ketiga tiga DUN dicampur semua dapat 23,337 undi. Ini bermakna ada pengundi yang mengundi BN di peringkat DUN tetapi tidak undi BN di peringkat parlimen yang mana Salleh tidak mendapat 4,170 undi dari jumlah undi tiga DUN.

Salleh adalah penyokong kuat Datuk Seri Najib Tun Razak maka ada juga pengundi BN yang terpengaruh dengan kempen Warisan yang mahu melihat kekalahan Salleh dengan memberi undi kepada BN di peringkat DUN tetapi mengundi Warisan sekutu Tun Dr Mahathir Mohamad di peringkat parlimen.

Jika semua pengundi di peringkat DUN mengundi Salleh ini bermakna Salleh kalah 92 undi sahaja kepada calon Warisan tersebut.

Wednesday, May 9, 2018

TERENGGANU MOLEK DAH TAPI CALON YANG DOK MOLEK

KUALA TERENGGANU, 10 Mei -- PAS berjaya membentuk kerajaan negeri di Terengganu apabila memenangi 22 daripada 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU 14) semalam.

Dua puluh dua DUN yang dimenangi ialah Air Putih; Kemasik; Chukai; Sura; Rantau Abang; Paka; Bukit Payong; Pengkalan Berangan; Rhu Rendang; Alor Limbat; Ajil; Manir, Kuala Berang; Wakaf Mempelam, Bandar, Ladang, Batu Buruk, Tepuh, Buluh Gading, Bukit Tunggal, Kota Putera dan Jabi.

Barisan Nasional pula menang baki 10 kerusi di Kijal, Langkap, Telemong, Hulu Besut, Kuala Besut, Jerteh, Batu Rakit, Seberang Takir, Permaisuri dan Bukit Besi.

PKR yang bertanding di semua 32 kawasan DUN pula gagal memenangi walau satu kerusi malah kehilangan DUN Bandar yang dimenangi sebelum ini kepada PAS.

PRU kali ini bukan sahaja menyaksikan keputusan luar jangka terhadap calon popular di negeri ini tetapi juga di beberapa kawasan DUN yang dikuasai BN buat sekian lama, turut dirampas PAS.

Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang bertanding di kerusi Parlimen Kemaman tewas kepada Che Alias Hamid dengan majoriti 2,163 manakala malah satu lagi kerusi parlimen, Setiu jatuh ke tangan PAS apabila calon BN, Datuk Mohamad Jidin Shafie kalah pada Shaharizukirnain Abd Kadir dengan majoriti 2,802 undi.

DUN Ajil dan DUN Air Putih yang menjadi kubu kuat BN sejak beberapa penggal juga terlepas ke tangan PAS.

Kenapa BN Terengganu tewas? Bagi saya, Terengganu molek dah tapi calon-calon BN yang tak molek. Faktor calon mengekalkan 17 muka lama pemenang PRU 2013 punca utama rakyat menolak BN. Yang memberi kemenangan kepada PAS bukan kerana PAS kuat tetapi ahli Umno yang muak dan meluat dengan calon BN yang sama. Ahli Umno yang memangkah PAS.

Senario yang sama berlaku pada tahun 1999. Orang Umno mengundi PAS pada PRU tersebut menyebabkan PAS menang tetapi mereka kembali semula menyokong BN pada PRU 2004 yang menyebabkan kerajaan PAS tumbang.

Dapatkah mereka menjatuhkan kerajaan PAS pada PRU 2023? Bagi saya Umno Terengganu perlu menukar semua ketua bahagian kerana ahli Umno sudah muak dengan pemimpin yang sama. Mereka tidak ambil ikhtibar kekalahan BN pada tahun 1999 dahulu mengulangi kesilapan yang sama mementingkan kroni. Maka Umno perlu berubah jika mahu menumbangkan PAS lima tahun akan datang.

Tuesday, May 8, 2018

ZAHARI MAT TETAP KEMPEN UNTUK BN WALAUPUN TIDAK TERPILIH CALON




JERTEH: Tidak terpilih sebagai calon bagi DUN Hulu Besut tidak mematahkan semangat Zahari Mat,34,  untuk berkempen memenangkan penyandang jawatan, Nawi Mohamad.

"Saya masih muda dan bagi saya tak kesah tidak dicalonkan asalkan BN menang besar di Hulu Besut," katanya kepada todayterengganu.

Beliau turut berkempen dari PDM ke PDM untuk mempastikan Ketua Umno Bahagian Besut itu dipilih semula sebagai wakil rakyat Hulu Besut.

Zahari Mat amat popular di Hulu Besut tetapi oleh kerana pucuk pimpinan membuat keputusan mengekalkan semua calon yang menang pada PRU13 maka nama beliau tercicir.

"Bagi saya jadi calon tidak penting. Yang penting saya terus berkhidmat untuk penduduk Hulu Besut,"katanya lagi.

Nawi Mohamad pernah membuat kenyataan akhbar bahawa jika beliau tidak terpilih sebagai calon beliau tetap berkempen untuk BN.

Pada PRU 2013, Nawi menang dengan majoriti 1,574 undi mengalahkan calon PAS, Solahuddin.

Zahari yakin BN dapat mengekalkan lima kerusi di Besut empat DUN dan parlimen Besut pada 9 Mei esok.