Showing posts with label sprm. Show all posts
Showing posts with label sprm. Show all posts

Monday, October 22, 2018

HORMATI APA YANG DILAKUKAN SPRM




 
KUALA LUMPUR, 22 Okt (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak wajar dipersalahkan dalam siri siasatan dan penahanan pemimpin UMNO sejak kebelakangan ini.

Ketua UMNO Bahagian Padang Rengas Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata beliau menghormati dan mempercayai kebebasan SPRM dalam melakukan siasatan dan meminta supaya orang ramai tidak mempersoalkan tindakan badan bebas itu.

“Menurut saya, apa yang SPRM lakukan itu kita perlu hormati. Sekiranya ada yang mahu membela diri mereka boleh ke mahkamah, jangan salahkan SPRM.

“Kena ingat dulu saya Menteri (Menteri di Jabatan Perdana Menteri) yang menjaga SPRM dari tahun 2004 sehingga 2013. Saya yakin dan percaya tentang kebebasan mereka,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.

Selain bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut terbabit dengan siasatan oleh SPRM baru-baru ini.

Nazri yang juga Anggota Parlimen Padang Rengas berkata beliau menyokong cadangan pengisytiharan harta anggota Kabinet dan anggota Parlimen kepada SPRM.

“Sekiranya itu yang diputuskan kerajaan kita akur la dan itu sudah cukup, tidak perlu libatkan anak atau keluarga mereka,” katanya.

-- BERNAMA

Tuesday, June 26, 2018

SPRM TAK PANGGIL PUN, PERGI JUGA. MACAM MACAM CARA CARI PUBLISITI MENJELANG PEMILIHAN UMNO



PUTRAJAYA, 26 Jun (Bernama) -- Bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said hari ini memberi keterangan secara sukarela bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung syarikat pelaburan strategik 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beliau tiba di SPRM kira-kira 9.30 pagi menaiki kereta Audi dan ditemani oleh seorang lelaki yang merupakan anggota keluarganya.

Pada Mei lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal itu bersedia memberi keterangan berhubung kes yang dikaitkan dengan dakwaan salah laku melibatkan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.

1MDB bermula sebagai Pihak Berkuasa Pelaburan Terengganu (TIA), iaitu sebuah tabung kekayaan berdaulat yang bertujuan memberi pembangunan ekonomi kepada negeri Terengganu untuk jangka masa panjang dan melestarikan sosio-ekonomi rakyat negeri itu secara amnya.

Ia ditubuhkan pada 2008 dan kemudiannya bertukar taraf kepada koperasi perbadanan diberi nama 1MDB pada Januari 2009.

Tuesday, May 22, 2018

BAHRI KEMBALI BERTUGAS UNTUK NEGARA



KUALA LUMPUR:Bekas  Pengarah Bahagian Operasi Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (BOK SPRM), Datuk Bahri Mohammad Zin melapor diri di ibu pejabat SPRM, Putrajaya, hari ini.

Beliau melapor diri selepas dipanggil Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad Rabu minggu lepas untuk menyertai semula suruhanjaya itu.

Katanya, tawaran itu diterima sebagai amanah dan tanggungjawab kepada negara.

"Saya diminta membantu menyambung semula penyiasatan kertas siasatan kes SRC International (SRC) Sdn Bhd yang sudah selesai sebelum saya memohon untuk bersara awal.

"Mohon kerjasama orang ramai menyalur sebarang maklumat berkaitan individu yang menerima sebahagian wang haram yang dilencongkan daripada dana SRC yang tidak terkira berapa jumlahnya," katanya.

Beliau yang memegang jawatan Pengarah Bahagian Operasi Khas sejak 16 Jun 2014 bersara awal berkuat kuasa 30 Disember 2016 berikutan keengganan Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali untuk mengeluarkan izin mendakwa ke atas sasaran kes berkenaan.

Bahri memainkan peranan utama dalam siasatan kes SRC, bekas anak syarikat 1MDB, memilih bersara awal walaupun boleh terus bertugas 2 tahun lagi.

Unit BOK kemudiannya ditukar kepada bahagian siasatan khas dengan gred penjawat awan diturunkan ke C.

Saturday, May 12, 2018

BERSIHKAN SPRM TERLEBIH DAHULU CADANG BAHRI

KUALA LUMPUR: Bekas Pengarah Operasi Khas SPRM, Datuk Bahri Mohd Zin mahu kerajaan Pakatan Harapan membersihkan dahulu SPRM sebelum SPRM diarah membersihkan negara.

Katanya, kalau tukang cuci berserabut macam mana dia nak cuci keadaan sekeliling.

"Makin kotor adalah,"katanya kepada blog ini melalui whastaspp.

Beliau gembira dengan kejatuhan kerajaan pusat BN yang telah menganaiyai ramai orang.

"Saya hanya mengadu kepada Allah setiap malam ketika tahajud dan saya yakin usaha siasatan saya akan bangkit semula pada suatu hari nanti,"katanya mengulas kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mahu siasatan menyeluruh mengenai 1MDB.

Beliau yakin Dr Mahathir ikhlas mahu menghapuskan rasuah yang sudah menjadi barah dalam jabatan kerajaan.

"Saya tetap dengan pendirian saya bahawa kamu ada kuasa tetapi saya ada Allah,"katanya lagi yang pernah diarah tukar dari SPRM ke Jabatan Perdana Menteri dalam tempoh 24 jam pada 7 Ogos 2015.

Namun demikian arahan pertukaran  itu yang ditandatangani oleh Ketua Pengarah JPA, Tan Sri Zabidi dibatalkan serta merta oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa yang bergegas pulang dari luar negara.

Bahri menyiasat kes SRC yang mendapat pinjaman dari KWAP yang skop siasatannya dikecilkan terbatas kepada kes yang melibatkan saksi-saksi dalam negara sahaja kerana terpaksa dipercepatkan kerana beliau telah menjangkakan  gangguan dari sasaran  yang menggunakan PDRM yang secara membuta tuli  sentiasa mengikut telunjuk pihak berkuasa.

"RM43 juta telah masuk ke akaun sasaran dan siasatan  menemui bukti  dan saksi saksi yang mencukupi untuk menuduh sasaran di mahkamah," katanya.

Katanya lagi, beliau benar-benar bersendirian kerana Ketua Pesuruhjaya Tan Sri Abu Kassaim dimasukkan ke hospital dan nombor dua pula Datuk Shukri berada di Amerika Syarikat.

"Di situlah timbulnya slogan tauhid "kamu ada kuasa aku ada Allah" kerana saya bersendirian dan diganggu semahunya oleh sang penguasa," katanya lagi.

Beliau berharap siasatan SRC dibuka semula oleh kerajaan baharu. Beliau yang dilamar oleh beberapa parti politik supaya bertanding dalam PRU baru baru ini menolak tawaran tersebut kerana beliau amat takut untuk menerima amanah di dalam bidang yang beliau bukan pakar dan beliau amat mempercayai satu kerugian kepada negara selama ini kerana melantik para kroni memegang jawatan yang mereka jahil dan bukan pakar dalam bidang tersebut.

"Saya berharap kerajaan baru ini tidak sesekali melantik mana-mana manusia di suatu tempat yang dia bukan ahli dalam bidang berkenaan. Itu mengarut,"tegasnya lagi.

Saturday, March 31, 2018

SEMUA CALON BN TERENGGANU LEPASI SARINGAN SPRM

KUALA NERUS, 29 Mac (Bernama) -- Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman mengesahkan semua senarai nama calon yang dipilih telah melepasi saringan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau berkata senarai nama calon yang akan bertanding pada pilihanraya umum ke 14 (PRU14) di Terengganu telah pun dihantar kepada Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Setakat ini, semua nama calon yang dihantar Badan Perhubungan UMNO Terengganu telah lulus saringan SPRM...tiada masalah. Cuma senarai calonnya (muktamad) kena tunggu pengumuman Presiden," katanya.

Ahmad Razif yang juga Pengerusi BN negeri turut memaklumkan bahawa manifesto BN Terengganu telah siap dan sedia untuk diumumkan.

"Kita tunggu selepas majlis pengumuman manifesto BN peringkat pusat, kemudian barulah kita mengumum manifesto untuk negeri," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Mahabbah IKIM FM & Universiti Sultan Zainal Abidin 2018: 'Untukmu Al Aqsa dan Rohingya' di perkarangan masjid universiti di sini.

Beliau bagaimanapun enggan memperincikan manifesto BN Terengganu untuk pilihanraya umum kali ini namun memberi jaminan ia tetap memberi fokus kepada kesejahteraan rakyat merangkumi semua aspek.

Pada PRU13, BN Terengganu menyenaraikan 18 perkara dalam manifestonya antaranya membina 10,000 unit rumah mampu milik, memberi peluang kepada rakyat memiliki tapak rumah atau tapak pertanian dan pajakan tanah individu dinaikkan daripada 30 tahun kepada 60 tahun.

BN Terengganu juga berjanji untuk membina tiga lagi sekolah menengah Imtiaz, masing-masing di Setiu, Marang dan Kuala Nerus bagi menjadikan satu daerah satu Imtiaz.

Sekolah Menengah Imtiaz ditubuhkan hasil kerjasama Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH).

Ahmad Razif berkata kesemua perkara dalam manifesto PRU13 telah pun dilaksanakan BN Terengganu.

Monday, November 20, 2017

TERENGGANU CATAT SAHABAT GERAH TERTINGGI

KUALA NERUS, 20 Nov (Bernama) -- Terengganu merekodkan pendaftaran tertinggi untuk program Sahabat Gerakan Revolusi Anti Rasuah (Gerah), iaitu seramai 11,000 orang setakat hari ini.

Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu Mohd Zaki Hassan berkata pihaknya hanya menyasarkan pendaftaran 10,000 Sahabat Gerah ketika ia dilancarkan pada Ogos lalu.

"Namun kita sudah mencapai sasaran itu lebih awal dari masa yang ditetapkan pada 31 Dis tahun ini. Bagi saya, ini adalah bukti komitmen tinggi daripada rakyat Terengganu dalam membantu SPRM membanteras rasuah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis lafaz dan menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) kakitangan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) oleh Naib Canselor UniSZA Profesor Datuk Dr Ahmad Zubaidi Abdul Latif dan 1,100 kakitangan UniSZA termasuk pensyarah dan petugas pentadbiran, di sini hari ini.

UniSZA adalah universiti kedua yang melaksanakan IBR di negeri ini selepas Universiti Teknologi Mara (UiTM) Terengganu.