Showing posts with label kemaman. Show all posts
Showing posts with label kemaman. Show all posts

Sunday, May 13, 2018

AHMAD SAID BIMBANG MASA DEPAN PENDUDUK KEMAMAN

KEMAMAN, 13 Mei (Bernama) -- Bekas menteri besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said berkata UMNO kini berada dalam keadaan tenat dan sebahagian besar anggotanya merasakan parti tersebut telah berada di penghujung jalan dan sukar untuk bangkit semula selepas rakyat menolak Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Beliau berkata pengunduran Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi BN dianggap terlewat kerana bekas perdana menteri itu sebenarnya sudah maklum kemerosotan sokongan rakyat terhadap BN sebelum PRU14.

"Pengunduran Najib dari parti adalah satu tindakan yang agak lewat kerana kita dapati setelah beliau melihat suasana politik di Malaysia ketika itu beliau sepatutnya mengambil keputusan mengundurkan diri lebih awal sebelum pilihan raya.

"Sebab Tun Dr Mahathir Mohamad (Perdana Menteri kini) telah mengeluarkan kenyataan sekiranya Najib tidak mengundurkan diri bermakna BN akan kalah dan kita nampak itu yang berlaku," katanya kepada pemberita ketika mengulas pengunduran Najib dari parti di kediamannya di Telok Kalong, di sini hari ini.

"Bila ada tanda-tanda penentangan dan orang tak perlukan sepatutnya biar kita berundur lebih awal... sekarang nasi dah jadi bubur bukan mudah untuk bangkit kembali setelah apa yang berlaku," katanya yang juga Ketua UMNO Bahagian Kemaman.


Ahmad berkata UMNO Bahagian Kemaman bimbang mengenai masa depan penduduk Kemaman terutama penyokong-penyokong BN apabila beliau sahaja menang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal, pada PRU14, 9 Mei lalu.

Katanya, beliau kini memikirkan daripada mana sumber atau peruntukan yang dapat diberikan kepada rakyat Kemaman selepas BN kini bukan lagi kerajaan yang memerintah.

"Dulu pada tahun 1999 kita kalah pada kerajaan negeri (PAS) tetapi kerajaan pusat masih kita (BN) yang memerintah dan kerajaan pusat masih menyalurkan peruntukan dan sebagainya (kepada rakyat Terengganu dan Kemaman).

"Tapi hari ini kita kalah dengan kerajaan negeri dan kerajaan pusat (Pakatan Harapan) ... di mana tempat untuk kita bergantung untuk mendapatkan peruntukan," katanya.

Thursday, August 17, 2017

KESATUAN RAKYAT BANTU PERTAHAN NEGARA

KEMAMAN, 17 Ogos (Bernama) -- Kemerdekaan negara bukan sahaja perlu dipertahankan menerusi kekuatan angkatan tentera tetapi kesatuan rakyat turut membantu dalam mempertahankan negara daripada pelbagai ancaman.

Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Raja Mohamed Affendi Raja Mohamed Noor berkata selain harus meletakkan kepercayaan penuh kepada angkatan tentera dalam memerangi musuh namun rakyat di negara ini juga perlu menjiwai semangat kemerdekaan dalam diri masing-masing.

"Di pihak tentera kita telah membuktikan kesetiaan dalam mempertahankan negara daripada pelbagai anasir yang mengancam keselamatan negara (dari segi kekuatan anggota dan aset-aset yang dimiliki).

"Namun kekuatan dan kemerdekaan negara bukan bergantung kepada angkatan tentera semata-mata tetapi keutuhan dan kesatuan rakyat dalam menjiwai semangat kemerdekaan juga penting dalam mencapai matlamat itu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program Semarak Merdeka Parlimen Kemaman di Padang Astaka di sini hari ini.

Monday, January 23, 2017

KEMAMAN BUKA PUSAT PEMINDAHAN BANJIR UNTUK PESAKIT BERISIKO TINGGI

KEMAMAN, 23 Jan (Bernama) -- Pengurusan Bencana Daerah Kemaman menubuhkan Pusat Pemindahan Transit Khas Mangsa Banjir untuk menempatkan mangsa banjir yang berisiko tinggi.

Pengerusinya, Rosman Roslan berkata pusat pemindahan khas yang dibuka di Dewan Sekolah Menengah Agama Al Falah, Chukai itu dapat menempatkan sekurang-kurangnya 30 pesakit dalam satu-satu masa.

"Pusat ini kita buka sejak Sabtu lalu untuk menempatkan mangsa banjir yang juga pesakit berisiko tinggi dan memerlukan rawatan seperti ibu mengandung, ibu berpantang dan pesakit yang lumpuh.

"Pusat ini dilengkai dengan tilam, katil, meja serta kerusi dan konsepnya seperti bilik rawatan di hospital," katanya kepada Bernama di sini semalam.


Rosman berkata pusat tersebut juga dipantau oleh Pejabat Kesihatan Daerah Kemaman dan juga agensi lain yang turut terlibat dalam pengurusan bencana daerah tersebut.

"Di sini, doktor dan jururawat akan datang untuk merawat pesakit dan pusat ini juga sekurang-kurangnya dapat memberi keselesaan kepada pesakit dan mengurangkan kesesakan di hospital.

"Kita telah kenal pasti pesakit yang juga mangsa banjir yang terlibat lebih awal dan mereka juga dipindahkan lebih awal sebelum air naik mendadak di kawasan rumah mereka bagi memudahkan kerja-kerja pemindahan," katanya.

Beliau berkata penubuhan pusat itu merupakan transformasi menerusi Model Kemaman Siapsiaga dalam memastikan mangsa banjir khususnya pesakit berada dalam keadaan selesa di pusat pemindahan.

Seorang mangsa banjir, Hasnida Hashim, 32, dari Kampung Seberang Tayor yang baru sahaja melahirkan anak 10 hari lalu bersyukur apabila ditempatkan di pusat yang sangat selesa untuk ibu berpantang sepertinya.

"Rumah saya tidak dinaiki air, tetapi kawasan kampung saya dinaiki air dan memang tak ada jalan nak keluar kalau banjir, saya agak risau kerana bayi saya, Hanan Sofiya demam kuning.

"Jadi, jururawat telah menelefon dan beritahu agar saya berpindah, mereka yang datang dan bantu saya berpindah ke pusat pemindahan khas ini," katanya.

Sebaik tiba di pusat pemindahan khas itu, Hasnida seakan tidak percaya kerana pusat itu dilengkapi kemudahan yang sangat selesa seperti di hospital.

"Semuanya lengkap di sini, saya hanya bawa kelengkapan diri dan bayi sahaja. Makanan untuk ibu berpantang pun disediakan, memang sangat selesa, saya bersyukur dan berterima kasih," katanya.

Hasnida berkata bayi perempuannya itu turut menerima rawatan pemeriksaan rutin dua hari sekali di pusat pemindahan khas itu.

-- BERNAMA

Friday, October 7, 2016

GRUP WHATSAPP PERTAMA DI MALAYSIA YANG BUAT MAJLIS MAKAN MALAM

Grup whatsapp Kemaman Kiter baru sahaja berusia satu bulan tetapi grup whatsapp ini telah berjaya mengumpulkan  seramai 196 orang ahli. Ia diuruskan oleh bekas pengerusi tetap Umno Bahagian Kemaman (2000-2004), Mat Dalam Awang yang telah menentang ketua Umno Bahagian, Datuk Seri Ahmad Said pada tahun 2013.

Grup whatsapp tersebut telah dinaungi bekas naib ketua Umno Bahagian (2000-2008), Datuk Mohamed Rahim Husin, seorang ahli perniagaan yang berjaya di Kuala Lumpur. Malam tadi seramai 180 orang ahli grup whatsapp tersebut telah berkumpul beramah mesra sesama mereka dalam majlis silaratul rahim di Hotel Legend, Cherating.

Datuk Rahim telah mengarahkan admin grup whatsapp tersebut, Mat Dalam,  mengadakan majlis suaikenal dengan ahli-ahli grup whatsapp Kemaman Kiter. Beberapa orang telah berucap di majlis tersebut yang mewakili DUN masing-masing. Norzilam Mohamed, bekas Pengarah BTN Terengganu yang mewakili DUN Air Putih mencadangkan supaya Kemaman Kiter menganjurkan kursus kepada golongan pemuda di seluruh daerah Kemaman supaya mereka tahu mengenai perlembagaan negara dan isu semasa.

Beliau berkata kursus ini hemdaklah diadakan oleh pihak swasta dan bukannya oleh BTN kerana mereka alergik mendengar nama BTN. Che Ku Maznah Che Ku Awang yang mewakili DUN Chukai meminta Kemaman Kiter menggariskan hala tuju grup tersebut supaya mereka yang tiada jawatan di peringkat cawangan dan bahagian dapat membantu BN apabila tiba pilihanraya umum.

Mizani Mohamad yang mewakili DUN Kemasik meminta ATRA memainkan peranan yang lebih berkesan membantu setiap Peti Daerah Mengundi (PDM).  Kamaruddin Ali yang mewakili DUN Kijal meminta semua ahli grup memberi sokongan kepada Menteri Besar, Ahmad Razif Abdul Rahman. Beliau berkata semua ahli grup Kemaman Kiter jangan dengar khabar khabar angin yang mahu MB ditukar setiap bulan. Haji Mohamad Awang yang mewakili veteran mahu Umno Bahagian Kemaman tidak meminggirkan golongan veteran kerana golongan veteran sentiasa bersedia membantu calon-calon BN pada PRU yang akan datang.

Haji Ayob Mamat yang mewakili Kesatuan Wartawan Terengganu (KAWAT) mahu ahli grup whatsapp Kemaman Kiter bekerja kuat memenangkan BN pada PRU yang akan datang. Katanya, KAWAT sedia membantu calon-calon BN dengan menyediakan wartawan yang pandai berkempen untuk calon-calon BN. Beliau berkata jika BN Terengganu tumbang kali ini, ia akan lebih teruk dari sejarah pahit 1999.

Khairul yang mewakili cybertrooper Umno mahu ahli-ahli grup memberi info yang terkini supaya mereka dapat keluarkan dalam Facebook Siasah yang kini mendapat 11,000 penonton setiap posting walaupun Facebook itu baru seminggu dilacarkan.

Majlis itu juga turut diserikan dengan penceramah undangan, Shahbudin Embun yang juga bekas Naib Ketua Umno Bahagian Batu dan ahli sahabat penyokong Datuk Seri Zahid Hamidi. Dalam ceramahnya itu beliau mengajak ahli Umno Kemaman mengekalkan kerajaan BN Terengganu dengan memberi kemenangan besar  dengan majoriti dua pertiga sebagai tanda sokongan kepada MB, Ahmad Razif.

Dalam ucapan penutup, Datuk Rahim mahu ahli grup whatsapp bersatu supaya Kemaman lebih maju di masa akan datang. Katanya, kita sepatutnya membandingkan Kemaman dengan kawasan parlimen lain yang mana ahli parlimen mereka membawa pelbagai pembangunan di kawasan mereka sedangkan Kemaman yang merupakan bandar minyak amat ketinggalan dari segi pembangunan seperti hospital baru, terminal bas yang baru serta pasar yang baru.

Datuk Rahim menjelaskan visi Kemaman Kiter yang mahu membantu MB kerana ketua Umno Bahagian yang tidak selari dengan MB. Maka sokongan kepada MB perlu diberi walaupun Kemaman Kiter dianggotai oleh bekas ketua cawangan, bekas ahli jawatankuasa pemuda, wanita, puteri bahagian. Beliau sedia membantu Kemaman Kiter dari segi kewangan kerana beliau mahu Kemaman Kiter menjadi satu grup yang boleh membantu MB. Beliau berharap tidak ada pihak yang perlu bimbang kerana Kemaman Kiter akan memberi sokongan penuh kepada calon-calon BN yang dipilih oleh PM dan MB.

Dengan terungkai motif penubuhan grup whatsapp Kemaman Kiter, maka jelas bahawa Datuk Rahim tiada agenda politik. Sebaliknya beliau mahu membantu Kemaman supaya ia menjadi maju seperti kawasan parlimen yang lain. Syabas kepada Datuk Rahim dan Mat Dalam yang berjaya mengadakan majlis silatulrahim dengan ahli-ahli grup whatsapp Kemaman Kiter. Saya rasa ini adalah grup whatsapp yang pertama di negara ini yang berjaya mengadakan majlis seumpama ini di hotel.