Wednesday, February 8, 2017

LPT2 BINA TIGA STESEN MINYAK BAHARU

KEMAMAN,8 Feb (Bernama) -- Tiga stesen minyak bakal beroperasi sepenuhnya di beberapa laluan di Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) tidak lama lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Insfrastruktur, Kemudahan Awam, Tenaga dan Teknologi Hijau negeri Rosli Othman berkata dua stesen minyak akan dibina di Paka manakala satu lagi berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (RnR) Perasing.

"Setakat ini pihak pemaju telah bersetuju untuk pembinaan stesen minyak berkenaan dalam waktu terdekat. Sekurang-kurangnya tahun ini dan kerja-kerja pengambilan tanah juga telah selesai dilakukan," katanya kepada pemberita selepas sesi dialog bersama peniaga di kawasan RnR Perasing di sini, hari ini.

Ketika ini LPT2 hanya mempunyai stesen minyak mini di Hentian Kijal.

Tambah Rosli, bagi stesen minyak di Paka, pembinaan akan dilakukan di sebelah kiri dan kanan jalan menghala ke Kuala Terengganu dan Kuantan.

Sesi dialog bersama 18 peniaga di RnR Perasing dilakukan berikutan masalah ketiadaan pengunjung di kawasan itu hingga mengakibatkan mereka mengalami kerugian.

-- BERNAMA

Tuesday, February 7, 2017

SUAMI ISTERI RUGI RM300,000 JUAL PRODUK TANPA KELULUSAN KKM



KUALA TERENGGANU, 7 Feb (Bernama) -- Gara-gara ingin mengaut keuntungan lebih, sepasang suami isteri menanggung kerugian bernilai lebih RM300,000 apabila lebih 3,000 kotak produk kecantikan yang dijual mereka menerusi online, dirampas dalam serbuan di premis pasangan itu di Jalan Pasir Panjang, dekat sini, dua hari lepas.

Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Mohamad Omar berkata pasukan Cawangan Penguatkuasa Farmasi, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) merampas produk itu selepas mengesan pasangan yang berumur 35 dan 20-an itu menjual dan mengeluarkan sendiri produk kecantikan tidak berdaftar yang merupakan kesalahan di bawah Akta Jualan Dadah 1952.

"Difahamkan pasangan berkenaan menjual produk tersebut dengan harga RM80 satu botol, sedangkan modal yang diperlukan hanya RM10 untuk sebotol produk tersebut," katanya kepada pemberita dalam sidang media di sini Selasa.

Dalam serbuan berasingan pada 11 Jan lalu, seorang wanita berumur 20-an turut berputih mata apabila pelbagai produk kecantikan yang dijual di premisnya di Gong Badak, di sini bernilai RM20,000 turut dirampas di bawah akta sama kerana mengeluarkan sendiri produk kesihatan yang tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi.

Katanya, untuk kedua-dua kes ini pihak Cawangan Penguatkuasa Farmasi JKNT terlebih dahulu melakukan pemantauan selama dua bulan ke atas produk yang dirampas termasuk penjualannya yang dilakukan secara online di media sosial seperti Facebook dan Instagram.

"Kedua-dua suspek boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Jualan Dadah 1952 dan denda yang diperuntukkan adalah tidak melebihi RM25,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama dan RM50,000 atau lima tahun penjara bagi kesalahan berikutnya," katanya.

Sehubungan itu JKNT mengingatkan semua pengguna agar membeli dan menggunakan produk kesihatan dan kosmetik yang berdaftar dan bernotifikasi serta tidak terpengaruh dengan testimoni di laman sosial yang tidak diketahui kesahihannya.

"Ini kerana keluaran yang tidak berdaftar dengan pihak Berkuasa Kawalan Dadah adalah tidak selamat untuk digunakan kerana kualiti, keselamatan dan keberkesanannya tidak terjamin," katanya.

Beliau berkata kebanyakan produk yang tidak berdaftar ini mempunyai bahan campuran palsu seperti ubat perangsang seksual sildenafil, agen pelansing sibutramine dan steroid yang boleh memudaratkan kesihatan.

"Sementara produk kosmetik yang bernotifikasi pula kebanyakan mengandungi bahan-bahan terlarang seperti hidrokuinon, tretonin dan merkuri yang boleh menghakis lapisan luar kulit dan mendedahkan pengguna kepada risiko kanser kulit," katanya.



-- BERNAMA









Monday, February 6, 2017

RAKYAT TAK PERLU BIMBANG MENGENAI KESIHATAN MB

KUALA LUMPUR, 6 Feb (Bernama) -- Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman yang terjatuh dari kuda semasa menjalani sesi latihan di sebuah pusat ekuestrian di sini semalam, dimasukkan ke hospital untuk pemerhatian.

Beliau sedang menjalani latihan di bawah pengawasan seorang jurulatih pada kira-kira 10.30 pagi, apabila tiba-tiba pitam dan jatuh, kata Ahmad Razif kepada Bernama ketika ditemui di sebuah hospital swasta di sini.

Doktor menasihati beliau agar berehat bagi tempoh dua hingga tiga hari, katanya, dan menambah rakyat negeri itu tidak perlu bimbang mengenai kesihatannya.

Sementara itu, Pejabat Menteri Besar Terengganu menangguhkan semua program melibatkan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman ke satu tarikh yang akan diberitahu kemudian.

Menurutnya, ini berikutan menteri besar memerlukan pengawasan doktor sekurang-kurangnya untuk tempoh 24 jam selepas terjatuh kuda dalam sesi latihan di sebuah pusat ekuestrian di ibu negara semalam.

"Marilah sama-sama kita berdoa semoga Allah SWT akan mengurniakan kesembuhan dan semoga Yang Amat Berhormat (Ahmad Razif) pulih segera," menurut Pejabat Menteri Besar dalam kenyataan di sini.

Sementara itu, menurut kenyataan di Facebook Pegawai Khas kepada Ahmad Razif, Ahmad Fauzan Abd Kadir, menteri besar kini di rawat di sebuah hospital swasta di ibu negara dan berada dalam keadaan stabil.

"Tiada perkara serius berlaku ke atas Menteri Besar Terengganu. Beliau sedang dirawat di bawah pengawasan doktor di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur. Keadaan beliau adalah baik. Terima kasih atas doa anda semua," menurut kenyataan itu.

Ahmad Razif dimasukkan ke hospital tersebut pada kira-kira 11 pagi semalam selepas terjatuh kuda ketika sedang menjalani latihan di sebuah pusat ekuestrian di ibu negara.



Sunday, February 5, 2017

TERENGGANU HARGAI PERANAN MEDIA TANGKIS TOHMAHAN

KUALA TERENGGANU, 2 Feb (Bernama) -- Peranan media dalam menyebarkan kefahaman dan memberi penjelasan tepat mengenai sesuatu isu mampu menangkis pelbagai tohmahan daripada pihak tidak bertanggungjawab, kata Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman.

Beliau berkata banyak isu dibangkitkan pihak tidak bertanggungjawab yang mempunyai agenda tertentu terutama menjelang pilihan raya umum.

"Jika nak diikutkan sejak dulu lagi, apa sahaja pembangunan yang kita buat pasti ada sahaja yang membangkang, namun sekarang kita lihat mereka yang membangkang dulu turut menikmati kemudahan hasil pembangunan yang dijalankan kerajaan.

"Namun, saya sangat berterima kasih atas hubungan baik yang terjalin antara media dan kerajaan negeri selama ini kerana banyak penjelasan diberi kepada rakyat mengenai isu-isu tersebut yang akhirnya dapat memberi mereka kefahaman yang sangat jelas dan tidak lagi terpengaruh dengan tohmahan tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis ramah mesra bersama media di Seri Iman, kediaman rasmi Menteri Besar malam tadi yang dihadiri lebih 150 pengamal media dari pelbagai agensi.

Mengulas lanjut, Ahmad Razif berkata kerajaan negeri juga sangat menghargai peranan media dalam menyampaikan berita dan maklumat pantas mengenai bencana banjir yang berlaku baru-baru ini.

"Laporan tepat dan pantas ini sangat penting bagi membolehkan kesemua mangsa banjir dibantu sewajarnya walaupun pada masa sama media terpaksa berkorban masa dan tenaga untuk menjalankan tugas mereka.

"Peranan media dalam penganjuran Visit Beautiful Terengganu 2017 tahun ini juga diharap mampu melonjakkan lagi sektor pelancongan negeri yang secara tidak langsung memberi banyak manfaat kepada rakyat dalam ekonomi setempat.

"Saya berharap agar semangat ini akan kekal berterusan dan jalinan baik antara media bersama kerajaan negeri membawa lebih banyak kecemerlangan pada masa akan datang," katanya.

-- BERNAMA

Saturday, February 4, 2017

KK BANTU AYUB YANG KEMALANGAN

KUALA TERENGGANU: Grup whatsapp Kemaman Kite telah memberi sumbangan kepada seorang OKU, Ayub Abdul Aziz, 25 tahun, yang terjatuh dari Hilux di Chukai minggu lepas.

Sumbangan telah disampaikan oleh admin KK, Mat Dalam Awang kepada emak Ayub, Aishah Mat Ali di Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini tiga hari lepas.

Sumbangan itu dikutip daripada 256 orang ahli grup whatsapp tersebut.

"Jumlahnya tidak banyak mana tetapi ia adalah sebagai tanda perihatin KK kepada Ayub yang sedang koma di hospital," kata Mat Dalam.

Ayub yang koma selama lima hari akhirnya sedar seperti biasa selepas menjalani pembedahan di kepalanya. KK yang dinaungi oleh Datuk Rahim Husin yang kini menunaikan umrah di Mekah sekali lagi memberi khidmat sosial kepada penduduk Kemaman.



Friday, February 3, 2017

RATING TERTINGGI BAGI BULAN JANUARI 2017

Sekali lagi program grup whatsapp Kemaman Kite menjuarai rating tertinggi bagi bulan Januari 2017 dengan posting KK raikan pertukaran Rosman ke UPEN dengan 86 hits. 10 rating tertinggi bagi bulan Januari 2017 ialah:-

1. KK raikan pertukaran Rosman ke UPEN (28 Januari)
2. Pegawai Perikanan lemas di pantai Chendering (29 Januari)
3.Kehadiran TPM ceriakan mangsa banjir (1 Januari)
4. Razali tak ada pengaruh pun (4 Januari)
5.Rawatan tradisional untuk pulihkan Liya (17 Januari)
6.Betapa cerdiknya ADUN PKR (3 Januari)
7. Tahun Visit Beautiful Terengganu tidak terjejas walaupun banjir (5 Januari)
8.Ku Li tinjau masjid baharu Gua Musang (21 Januari)
9. Epic tandatangani MOU dengan CMC Engineering (16 Januari)
10. Kemaman buka pusat pemindahan banjir untuk pesakit berisiko tinggi (23 Januari)

Thursday, February 2, 2017

ANAK KEMAMAN JUARA SILAT ANTARABANGSA

KEMAMAN:  Muhammad Shahmiel Ashraf Zulkhairi, 17 tahun, anak Kemaman menjuarai kejohanan silat dalam Karnival  Tempur Seni Bela Diri Antarabangsa 2017 yang diadakan di Besut, Terengganu minggu lepas.

Karnival itu disertai oleh kelab-kelab  silat seluruh Malaysia dan kelab silat dari Thailand. Manakala negara lain seperti Indonesia. Brunei, Filipna tidak hadir kerana mereka bimbang terperangkap dengan banjir.

Anak kelahiran Kemasik ini sedang belajar di tingkatan lima di Sekolah Menengah Chukai di sini. Beliau yang meminati silat olahraga sejak di tingkatan satu lagi mendapat dorongan daripada Cikgu Nisfu Jusoh.

Di Besut minggu lepas, beliau menang pingat emas putra D mengalahkan pesilat dari Thailand. Beliau juga diumumkan sebagai pesilat terbaik. Sehingga ini beliau telah menyertai lima pertandingan silat.

Ayahnya Zulkhairi yang berasal dari Kemasek bekerja sendiri manakala ibunya pengusaha kantin di Sekolah Menengah Badrul Alam Shah, Kemasik.

Shahmiel yang juga anak ketiga dari lima adik beradik bercita cita menjadi seorang usahawan dan beliau berharap dapat mewakili negara dalam silat olahraga.

"Terima kasih kepada ayah saya yang banyak beri sokongan untuk saya teruskan menceburi bidang silat olahraga," katanya yang mengucapkan penghargaan kepada Cikgu Nisfu dan jurulatihnya.