Showing posts with label mahdzir khalid. Show all posts
Showing posts with label mahdzir khalid. Show all posts

Saturday, November 24, 2018

SIAPA KETUAI UMNO TERENGGANU PADA 1 JANUARI 2019 MASIH RAHSIA



JERTEH : Naib Presiden Umno Mahdzir Khalid hari ini mengumumkan beliau enggan terus menjadi pengerusi badan perhubungan parti itu untuk Terengganu.

Kata bekas menteri terbabit mulai tahun depan jawatan pengerusi Umno Terengganu akan disandang oleh orang lain yang terdiri daripada anak tempatan.

Mahdzir ialah anggota parlimen Padang Terap, Kedah.

Beliau memenangi jawatan naib presiden Umno dalam pemilihan yang diadakan beberapa bulan lalu.

Selain Madhzir, dua lagi naib presiden Umno ialah Mohamed Khaled Nordin dan Ismail Sabri Yaakob.

Pemilihan itu dibuat selepas Umno gagal mendapat mandat untuk terus menjadi kerajaan pusat pada pilihan raya umum (PRU) lalu.

Pada PRU ke-14 itu Umno hanya berjaya mengekalkan kuasa di Perlis dan Pahang, manakala PAS pula mempertahankan Kelantan selain mengambil alih pentadbiran Terengganu.


Mohamed Khaled ialah bekas menteri besar Johor namun diberi tanggungjawab menjadi pengerusi perhubungan Umno Perlis oleh presiden parti Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ismail Sabri pula diberi kepercayaan mengetuai Umno Selangor.

Dipetik Sinar Online Mahdzir berkata nama pengganti beliau akan diketahui ramai tidak lama lagi.

"Nama pengganti akan diumumkan dalam masa terdekat selepas surat pelantikan ditandatangani presiden parti," katanya.

Terdahulu Mahdzir mempengerusikan untuk kali terakhir mesyuarat Umno Terengganu di Kem Seri Keluang di Jertih.

Untuk rekod pada awal Ogos lalu Mahdzir pernah menyatakan hasratnya melepaskan jawatan berkenaan.

Kata Mahdzir tugas mengetuai Umno Terengganu lebih sesuai dipikul oleh orang tempatan yang lebih memahami suasana setempat.

“Saya tidak berhasrat jadi pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu negeri untuk tempoh yang lama.

"Saya cadang (serahkan jawatan) dalam masa terdekat ini, kita boleh serah kepada mereka yang lebih layak dan sesuai untuk teruskan perjuangan parti,” katanya dipetik Utusan Online.

Untuk rekod Umno Terengganu pernah bergolak dengan masalah dalaman membabitkan beberapa pemimpin parti terbabit.

Saturday, July 14, 2018

APA SALAHNYA MAHDZIR KHALID JADI PENGERUSI PERHUBUNGAN UMNO TERENGGANU?

KUALA TERENGGANU: Ramai ahli Umno Terengganu marah apabila pucuk pimpinan Umno melantik Datuk Seri Mahdzir Khalid sebagai Pengerusi Perhubungan Umno Terengganu yang baharu.

Bagi saya, apa salahnya melantik beliau kerana beliau adalah Naib Presiden Umno. Dua orang lagi naib presiden Umno turut dilantik Pengerusi Perhubungan Perlis (Datuk Seri Khalid Nordin) dan Pengerusi Perhubungan Selangor (Datuk Seri Ismail Shabery Yaacob).

Saya percaya perlantikan ini bersifat sementara kerana Mahdzir Khalid mahu menyatukan lapan orang ketua bahagian di Terengganu. Yang nak sangat jadi pengerusi perhubungan ialah Ketua Umno Bahagian Kemaman, Datuk Seri Ahmad Said dan Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Wan Hisham Wan Salleh.

Untuk mengelak perebutan kuasa di antara dua ketua bahagian ini maka Umno melantik orang Kedah sebagai pengerusi perhubungan Umno Terengganu. Saya yakin bekas Menteri Pendidikan itu mampu menyatukan semua ketua bahagian di Terengganu dalam masa terdekat.

Kalau jawatan itu diberi kepada Ahmad Said, ramai ketua bahagian tidak bersetuju kerana semasa beliau jadi pengerusi Umno Terengganu dahulu BN hanya mampu menang 17 kerusi sahaja pada PRU 2013. Maka lebih elok buat sementara dua tahun ini dalam memulihkan semula imej Umno yang tercemar jawatan ini diberi kepada orang luar.

Melantik orang luar sebagai pengerusi perhubungan Umno Terengganu bukan perkara baharu. Pak Lah sewaktu TPM pernah dilantik pengerusi perhubungan Umno Terengganu. Begitu juga Datuk Seri Hishamuddin Hussein. Oleh itu apa salahnya Mahdzir Khalid memulihkan semula Umno Terengganu dalam tempoh lima tahun ini.

Tahniah kepada Mahdzir Khalid. Semoga beliau dapat menjalankan tugasnya dengan adil dan saksama kepada semua ahli Umno Terengganu.

Wednesday, June 13, 2018

KEPUTUSAN GPS PERLU DIHORMATI

ALOR SETAR, 12 Jun ( Bernama) -- Keputusan empat parti komponen Barisan Nasional (BN) di Sarawak untuk meninggalkan gabungan berkenaan bagi membentuk pakatan baharu dinamakan Gabungan Parti Sarawak (GPS) perlu dihormati.

Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata anggota UMNO serta BN tidak perlu bersedih kerana masih ramai anggota yang tetap setia bersama gabungan berkenaan.

"Atas sifat sebuah negeri yang besar dan tentunya nak dominasi politik sendiri kita hormati mereka. Apa yang penting bagi kita ialah kita perlu terus maju dengan parti kita dan mereka dengan blok baharu mereka," katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa Badan Perhubungan UMNO Kedah bersama kepimpinan UMNO bahagian seluruh negeri di sini hari ini.

Pengerusi BN Sarawak yang juga Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg hari ini mengumumkan PBB, Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Demokratik Progresif (PDP) dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) sebulat suara keluar daripada BN dan akan mewujudkan GPS.

Abang Johari yang juga Ketua Menteri Sarawak berkata keputusan itu diambil susulan pertimbangan dan penilaian perkembangan politik semasa dalam negara selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Wednesday, April 25, 2018

BUKTIKAN KESETIAAN KEPADA PARTI WALAUPUN TIDAK TERCALON

PADANG TERAP, 25 April (Bernama) -- Individu yang tidak dicalonkan bagi mewakili Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) perlu membuktikan prinsip kesetiaan atau wala' mereka kepada parti.

Timbalan Pengerusi BN negeri Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata individu tersebut tidak perlu merajuk apabila tidak terpilih sebaliknya perlu bekerja keras untuk membantu jentera parti dan memastikan kemenangan berpihak kepada BN.

"Masa ini, mereka perlu buktikan kesetiaan terhadap parti dengan membantu calon yang terpilih untuk mencapai kemenangan kerana kemenangan ini untuk semua anggota parti dan bukan semata-mata untuk calon tersebut.

Merajuk itu lumrah tetapi kena sedar tempat sedikit tetapi yang hendak bertanding itu ramai. Jadi, hormati keputusan yang telah dibuat oleh pucuk pimpinan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perjumpaan Perdana Veteran UMNO, di sini hari ini.

Beliau berharap tiada individu yang cuba untuk melakukan sabotaj dan khianat kepada parti pada pilihan raya umum kali ini hingga menyebabkan kesukaran kepada calon BN yang bertanding.

Sementara itu, Mahdzir yang juga anggota Majlis Tertinggi UMNO berkata dakwaan Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan membeli calon Pakatan Harapan adalah kerana dia tidak yakin dengan calon-calonnya sendiri.

"Dia (Dr Mahathir) memang dari dulu suka buat kenyataan awal. Dia tidak yakin dengan calon sendiri dan tahu mereka ini tiada di hati pengundi sebab itu buat tuduhan sana sini pada pihak lawan hanya untuk tutup kelemahan mereka," katanya.

-- BERNAMA

Thursday, April 12, 2018

PH AKAN GUNAKAN PELBAGAI CARA UNTUK JAYAKAN MALAYSIAN MALAYSIA

PADANG TERAP, 12 April ( Bernama) -- Pakatan Harapan (PH) yang diterajui DAP akan menggunakan pelbagai cara demi menjayakan Gagasan Malaysian Malaysia yang diperjuangkan parti itu selama ini.

Anggota Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, disebabkan itu, DAP sanggup membuat pengorbanan yang besar untuk menggunakan logo PKR dalam pilihan raya umum ( PRU) ke-14 walaupun mendapat kritikan daripada sebahagian ahli DAP di akar umbi.

"Untuk menjayakan Gagasan Malaysian Malaysia, saya tengok DAP akan guna apa cara sekalipun untuk membolehkan orang Melayu menyokong gagasan yang dibawa DAP yang berpaksikan kesamarataan.

"Malah kita sudah lihat ramai pemimpin Melayu sudah diperdayakan oleh DAP demi menjayakan gagasan itu," katanya pada Majlis Perasmian Dewan Seri Merbau, Sekolah Menengah Kebangsaan Lubok Merbau, di sini, hari ini.

Beliau bagaimanapun yakin orang Melayu dan bumiputera sudah mulai sedar sandiwara yang dimainkan parti itu dan tidak akan menyokong parti yang akan menjejaskan hak-hak keistimewaan orang Melayu dan agama Islam..

Friday, February 23, 2018

MAHATHIR DAHULU PUN UMUM PROJEK JUGA DEKAT PRU

LANGKAWI, 23 Feb (Bernama) -- Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Mahdzir Khalid hari ini menempelak kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad yang mempersoalkan pengumuman projek-projek pembangunan di Langkawi oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, baru-baru ini.

Beliau menegaskan bekas perdana menteri itu turut berbuat perkara sama termasuk setiap kali menjelang pilihan raya umum (PRU) semasa menerajui tampuk pemerintahan negara.

"Kalau Tun Mahathir kata ini janji (pilihan raya) untuk orang Langkawi, saya ingat masa dia jadi perdana menteri dulupun dia buat macam itu juga," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pejabat Pendidikan Daerah di sini.

Mahdzir berkata apabila ada bajet sudah tentu Najib selaku perdana menteri akan umumkan projek untuk manfaat rakyat.

"Sebenarnya kerajaan dari dulu sampai sekarang ini (apabila) hendak membuat (laksana) sesuatu (projek) tidak menunggu pilihan raya. Bila sahaja ada peruntukan (terus) kerajaan akan buat - tak timbul soal ini kira dah dekat dengan (pilihan raya umum), (baru) nak umum," katanya.

Mahdzir yang juga menteri pendidikan dalam rangka lawatan kerja sehari di pulau peranginan ini berkata tahap pembangunan yang dicapai di Langkawi masa kini tidak mungkin akan dapat dikecapi sekiranya setiap projek pembangunan kerajaan dilaksanakan hanya apabila dekat pilihan raya.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau berkata kementeriannya sedang dalam proses mengenal pasti dua buah sekolah di sini untuk menjadi perintis bagi memulakan transaksi tanpa tunai.

Katanya proses transaksi tanpa tunai itu untuk menerapkan kesedaran tentang Revolusi Perindustrian Peringkat Keempat (IR 4.0) dalam kalangan pelajar dan pendidik.

Beliau turut mengumumkan peruntukan penyelenggaraan RM2.5 juta untuk sekolah-sekolah seliaan kementerian di daerah ini, lebih 400 unit katil untuk asrama Kolej Vokasional, penambahbaikan kuarters guru dan peruntukan bilik mesyuarat Pejabat Pendidikan Daerah di sini.

-- BERNAMA