Showing posts with label setia. Show all posts
Showing posts with label setia. Show all posts

Wednesday, April 25, 2018

BUKTIKAN KESETIAAN KEPADA PARTI WALAUPUN TIDAK TERCALON

PADANG TERAP, 25 April (Bernama) -- Individu yang tidak dicalonkan bagi mewakili Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) perlu membuktikan prinsip kesetiaan atau wala' mereka kepada parti.

Timbalan Pengerusi BN negeri Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata individu tersebut tidak perlu merajuk apabila tidak terpilih sebaliknya perlu bekerja keras untuk membantu jentera parti dan memastikan kemenangan berpihak kepada BN.

"Masa ini, mereka perlu buktikan kesetiaan terhadap parti dengan membantu calon yang terpilih untuk mencapai kemenangan kerana kemenangan ini untuk semua anggota parti dan bukan semata-mata untuk calon tersebut.

Merajuk itu lumrah tetapi kena sedar tempat sedikit tetapi yang hendak bertanding itu ramai. Jadi, hormati keputusan yang telah dibuat oleh pucuk pimpinan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perjumpaan Perdana Veteran UMNO, di sini hari ini.

Beliau berharap tiada individu yang cuba untuk melakukan sabotaj dan khianat kepada parti pada pilihan raya umum kali ini hingga menyebabkan kesukaran kepada calon BN yang bertanding.

Sementara itu, Mahdzir yang juga anggota Majlis Tertinggi UMNO berkata dakwaan Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan membeli calon Pakatan Harapan adalah kerana dia tidak yakin dengan calon-calonnya sendiri.

"Dia (Dr Mahathir) memang dari dulu suka buat kenyataan awal. Dia tidak yakin dengan calon sendiri dan tahu mereka ini tiada di hati pengundi sebab itu buat tuduhan sana sini pada pihak lawan hanya untuk tutup kelemahan mereka," katanya.

-- BERNAMA

Sunday, November 12, 2017

SHAFIE TETAP ABANG TAPI SAYA TETAP SETIA KEPADA UMNO

LAHAD DATU, 12 Nov (Bernama) -- Ketua UMNO Bahagian Silam Datuk Mohd Yusof Apdal menolak andaian pihak tertentu bahawa beliau lebih mementingkan politik berbanding ikatan kekeluargaan iaitu hubungan adik dan abang dengan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Yusof menegaskan hubungan persaudaraan dan perjuangan politik merupakan dua perkara berbeza dan tidak sepatutnya dimanipulasi dengan cara menjadikannya sebagai isu besar.

"Dia (Shafie) tetap abang saya, prinsip perjuangan politik kami berbeza dan saya memilih untuk terus setia pada UMNO," katanya yang juga anggota Dewan Undangan Negeri Lahad Datu ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Menurutnya ideologi politik adalah hak individu dan beliau memilih untuk kekal dan bersama dalam perjuangan UMNO dan Barisan Nasional kerana yakin parti keramat itu konsisten menjaga kebajikan rakyat dan membangunkan negara.

Dalam pada itu, Yusof terus mengingatkan anggota UMNO di bahagian Silam agar tidak terpengaruh dengan dakwaan pihak tertentu yang sengaja menggunakan isu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk melemahkan perjuangan UMNO Silam.

"Anggota UMNO dan pengundi perlu melihat perkara ini dari sudut yang positif dan mengaitkan dengan perjuangan politik parti."

"Kita harus merapatkan barisan dan mengetepikan semua perkara yang boleh mengganggu perjalanan persiapan menghadapi pilihan raya umum ke-14 (PRU14)," katanya.

Sementara itu, Yusof berkata beliau akan terus menggalas tanggungjawab dan komited melaksanakan tugas sebagai wakil rakyat di kawasan itu walaupun baru selesai menjalani rawatan kesihatan.

"Penting bagi saya untuk memastikan rakyat terus yakin terhadap UMNO dan BN kerana kerajaan sedia ada ini telah banyak berbakti kepada rakyat," katanya.

-- BERNAMA