Showing posts with label projek. Show all posts
Showing posts with label projek. Show all posts

Tuesday, July 3, 2018

ENAM PROJEK DI BAWAH BN LIBATKAN KOS LEBIH RM3.2 BILION

KUALA TERENGGANU, 3 Julai (Bernama) -- Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu hari ini diberitahu terdapat enam projek yang dilaksanakan kerajaan negeri terdahulu dengan konsep kerjasama awam swasta (PPP) melibatkan kos lebih RM3.2 bilion.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh berkata terdapat dua kaedah pembayaran dalam enam projek PPP iaitu pembayaran tertangguh dan kaedah bayaran berjadual yang telah dibayar bermula dari 2016 hingga 2032.

"Projek tersebut ialah Loji Rawatan Air di Bukit Sah, Kemaman dengan kos RM686.87 juta yang perlu dibayar dalam tempoh enam tahun, Skim Bekalan Air Kuala Terengganu Utara (RM1.3 bilion - 13 tahun), Pusat Pentadbiran Daerah Kuala Nerus (RM600 juta - lapan tahun enam bulan).

"Muara Sungai Terengganu (RM90.24 juta - lima tahun), asrama atlet Majlis Sukan Negeri (RM95.49 juta - lima tahun) dan pembangunan Bandar Baru Kijal fasa dua di Kemaman (RM250 juta - lima tahun)," katanya ketika menjawab soalan Hishamuddin Abdul Karim (PAS-Tepoh) pada persidangan DUN di sini hari ini.

Menjawab soalan tambahan Hishamuddin mengenai jumlah bayaran tahunan pula, Dr Mamad berkata bayaran pada 2016 dan 2017 ialah sebanyak RM70 juta setahun manakala pada tahun ini, jumlah yang perlu dibayar ialah sebanyak RM101.2 juta.

"Seterusnya pada 2019, kerajaan negeri perlu bayar RM290.8 juta, 2020 (RM348.1 juta), 2021 (RM382.2 juta), 2022 (RM371.4 juta), 2023 (RM339.6 juta), 2024 (RM248.1 juta) manakala tahun 2025 hingga 2031, jumlah perlu dibayar ialah RM761.6 juta dalam tempoh tujuh tahun dan bayaran terakhir pada 2032 ialah sebanyak RM45.3 juta," katanya.

Dr Mamad juga menegaskan kerajaan negeri akan meneruskan projek menggunakan konsep itu pada masa akan datang terutama yang melibatkan keperluan mendesak rakyat seperti menaik taraf loji rawatan air.

"Bagaimanapun, sudah tentu kajian perlu dibuat mengenai kemampuan kewangan negeri agar kita tiada masalah dalam proses pembayaran semula seperti yang ditetapkan," katanya.

-- BERNAMA

Friday, February 23, 2018

MAHATHIR DAHULU PUN UMUM PROJEK JUGA DEKAT PRU

LANGKAWI, 23 Feb (Bernama) -- Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Mahdzir Khalid hari ini menempelak kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad yang mempersoalkan pengumuman projek-projek pembangunan di Langkawi oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, baru-baru ini.

Beliau menegaskan bekas perdana menteri itu turut berbuat perkara sama termasuk setiap kali menjelang pilihan raya umum (PRU) semasa menerajui tampuk pemerintahan negara.

"Kalau Tun Mahathir kata ini janji (pilihan raya) untuk orang Langkawi, saya ingat masa dia jadi perdana menteri dulupun dia buat macam itu juga," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pejabat Pendidikan Daerah di sini.

Mahdzir berkata apabila ada bajet sudah tentu Najib selaku perdana menteri akan umumkan projek untuk manfaat rakyat.

"Sebenarnya kerajaan dari dulu sampai sekarang ini (apabila) hendak membuat (laksana) sesuatu (projek) tidak menunggu pilihan raya. Bila sahaja ada peruntukan (terus) kerajaan akan buat - tak timbul soal ini kira dah dekat dengan (pilihan raya umum), (baru) nak umum," katanya.

Mahdzir yang juga menteri pendidikan dalam rangka lawatan kerja sehari di pulau peranginan ini berkata tahap pembangunan yang dicapai di Langkawi masa kini tidak mungkin akan dapat dikecapi sekiranya setiap projek pembangunan kerajaan dilaksanakan hanya apabila dekat pilihan raya.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau berkata kementeriannya sedang dalam proses mengenal pasti dua buah sekolah di sini untuk menjadi perintis bagi memulakan transaksi tanpa tunai.

Katanya proses transaksi tanpa tunai itu untuk menerapkan kesedaran tentang Revolusi Perindustrian Peringkat Keempat (IR 4.0) dalam kalangan pelajar dan pendidik.

Beliau turut mengumumkan peruntukan penyelenggaraan RM2.5 juta untuk sekolah-sekolah seliaan kementerian di daerah ini, lebih 400 unit katil untuk asrama Kolej Vokasional, penambahbaikan kuarters guru dan peruntukan bilik mesyuarat Pejabat Pendidikan Daerah di sini.

-- BERNAMA

Monday, October 10, 2016

PROJEK RM4.2 BILION DITANDATANGANI



KERAJAAN negeri Terengganu semalam menyempurnakan dua perjanjian pembangunan bagi memacu pertumbuhan ekonomi Terengganu.

Dua projek yang telah dikenalpasti semasa kerajaan negeri menganjurkan makmal Transformasi Ekonomi Negeri Terengganu dengan kerjasama PEMANDU pada september tahun lalu (2015).


Projek yang diberi tersebut telah pun berada di Terengganu iaitu Terengganu Key Ecinomic Areas 2 (TKEA 2) iaitu Pelancongan dan Terengganu Key Economic Areas 3 (TKEA 3) iaitu Bioteknologi.

Untuk TKEA 3, Taman Industri Biopolimer Kerteh telah pun beroperasi dengan Fasa 1 dan 2 yang mana melibatkan keluasan tanah 130 hektar dan dua pelabur sedang beroperasi disini iaitu CJ Cheiljedang Corporation ( CJ Bio) dari Korea Selatan dan Arkema dari Perancis.

Menurut Menteri Besar Ahmad Razif Abd Rahman, Kerajaan negeri dan ECERDC sedang memurtamadkan lagi satu pelaburan RM 840 juta bagi pengeluaran Bio Lubricant dan pengeluaran sarung tangangetah sentetik yang bernilai RM 970 juta dikawasan itu.

” Projek itu juga telah dikenal pasti semasa makmal Transformasi Ekonomi Negeri Terengganu yang lalu,

“Manakala hari ini perjanjian fasa 3 Taman Industri Biopolimer melibatkan keluasan tanah 237 hektar lagi dan akan dilaksanakan oleh ECERDC dengan anggaran kos pembangunan infrasktur sebanyak RM 251 juta,

“Perjanjian ini juga akan mewujudkan sebuah badan pengurusan yang akan menjadi “Park Manager” kepada taman perindustrian ini, katanya dalam ucapan semalam.


Tambahnya, bagi memastikan taman perindustrian itu dapat diuruskan dengan baik dan menjadi ianya lebih menarik dan taman perindustrian pertama di Terengganu mempunyai park manager.

Selain itu, Kuala Terengganu City Centre akan melibatkan pembangunan bercampur diatas tanah kerajaan seluas 3.80 hektar dikawasan tambakan muara sungai Terengganu.

Katanya komponen utama pembangunan di kawsan itu seperti hotel, service apartment, shop office home office (SOHO), shopping mall dan theme park.

“Pembangunan ini juga akan melibatkan 3 fasa dan fasa pertama akan dimulakan pada awal 2017 dan dijangka siap pada tahun 2024 nanti,

” Perlaksanaan projek yang berasaskan pelancongan ini juga melibatkan pembangunan kasar (gross development value (GDV) yang berjumlah RM 2.4 billion dan akan membuka peluang pekerjaan baru sebanyak 1500 peluang pekerjaan,” ujurnya.

Sehubungan dengan itu, kerajaan negeri dengan kerjasama ECERDC telah pun menyediakan infrasktur asas termasuk draw bridge yang sedang dalam pembinaan di muara sungai Terengganu yang melibatkan keluasa 56.5 hektar.

“Kawasan muara sungai Terengganu ini sangat menarik dan ianya merupakan kawasan tumpuan pelancong dalam dan luar negara di Terengganu,

“Kerajaan negeri juga mensasarkan KDNK negeri peningkatan sebanyak RM 41.5 billioan menjelang tahun 2020 berbanding RM 27.5 billion pada tahun lalu 2015,

“Oleh itu, kerajaan negeri telah mengenal pasti sektor utama bagi pelaburan swasta iaitu pelancongan, industri biopolimer dan bio teknologi, industri mineral selain di sektor minyak dan gas ujurnya.