Showing posts with label jagung. Show all posts
Showing posts with label jagung. Show all posts

Sunday, July 30, 2017

PERLUASKAN TANAMAN JAGUNG BIJIAN UNTUK TERNAKAN




TEMERLOH 30 Julai (Bernama) --Tanaman jagung bijian untuk makanan haiwan ternakan akan diperluaskan dalam usaha mengurangkan kebergantungan import terhadap bahan berkenaan, kata Menteri Pertanian dan Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata Malaysia perlu mengambil inisiatif mengeluarkan sendiri makanan ternakan itu bagi menangani masalah kenaikan harga bahan itu di pasaran.

" Berdasarkan rekod, setiap tahun Malaysia mengimport RM3.2 billion makanan ternakan bagi memenuhi keperluan industri ternakan dan perikanan yang semakin berkembang di negara ini.

"Jumlah import besar itu dapat dikurangkan jika kita mampu mengeluarkan sendiri bahan makanan ternakan itu di dalam negara bagi menampung keperluan penternak dan ternak air," katanya pada sidang berita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kali ke-36 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kawasan Temerloh di Dewan Tun Abdul Razak hari ini..

Menurutnya Malaysia tidak mempunyai masalah untuk mengeluarkan jagung bijian
untuk ternakan kerana tanah negara adalah sesuai dan subur untuk komoditi itu.

Wednesday, July 26, 2017

NAFAS PERLUKAN LADANG JAGUNG SELUAS 14,000 HEKTAR

PASIR PUTEH, 26 Julai (Bernama) -- Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) memerlukan ladang jagung seluas 14,000 hektar bagi menampung permintaan kilang memproses makanan ternakan ayam, lembu, kambing dan ikan di Johor.

Pengerusinya, Datuk Seri Saipol Bahari Suib berkata pihaknya menyasarkan pengeluaran 8,000 tan metrik jagung sebulan dari ladang itu.

"Setakat ini ladang jagung yang ada hanyalah 1,000 hektar di Segamat, di Johor.

"Nafas akan memperluas penanaman jagung ke negeri-negeri Pantai Timur bagi menampung keperluan yang masih belum mencukupi,"katanya ketika berucap merasmikan program Gelombang Tani Nasional, Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) peringkat Jajahan Pasir Puteh di Bendang Cherang Rotan, di sini hari ini.

Majlis yang disertai lebih 500 petani itu turut dihadiri anggota Pengerusi Lembaga Pengarah KADA Datuk Zawawi Othman.

Saipol Bahari berkata bagi Kelantan, pihaknya telah mengenal pasti Bachok dan Pasir Puteh sebagai kawasan berpotensi untuk mengusahakan tanaman jagung.

"Nafas menerusi anak syarikatnya akan membantu petani dalam menyediaan benih dan membersihkan kawasan yang akan diusahakan.

"Nafas juga memberi jaminan untuk membeli hasil tanaman tersebut dengan harga berpatutan,"katanya.

Saipol Bahari berkata 345,000 tan metrik bahan itu diimport setiap tahun, dijadikan bahan makanan untuk ayam ternakan.

-- BERNAMA

Wednesday, July 5, 2017

KAMPUNG DADONG POPULAR DENGAN JAGUNG BIJIAN

KEMAMAN, 5 Julai (Bernama) -- Projek Perintis Jagung Bijirin yang ditanam di Kampung Dadong, dekat sini berjaya mencapai sasaran dengan anggaran tuaian kira-kira 200 tan metrik daripada 30 hektar jagung yang ditanam sejak akhir Mac lalu.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata ia merupakan satu kejayaan besar kepada industri pertanian negara kerana sasaran itu berjaya melepasi piawaian antarabangsa bagi penanaman jagung bijian iaitu lima tan metrik per hektar.

"Ia sekali gus berjaya mengubah persepsi dan memberi keyakinan kepada penanam jagung bijian khususnya di kampung ini bahawa penanaman jagung bijian boleh dilaksanakan di kawasan tanah sawah (di luar jelapang padi)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penuaian jagung bijian kali kedua di kampung itu di sini hari ini.

Turut hadir, Anggota Dewan Undangan Negeri Air Putih, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar dan Pengarah Pertanian Terengganu, Mohd Nasir Warris.

Penanam jagung bijian ini diusahakan oleh penduduk kampung itu sejak tahun lepas dan disambung Mac tahun ini selepas tuaian pertama tidak berjaya mencapai sasaran daripada 13 hektar jagung yang ditanam ekoran pelbagai masalah seperti plot ditenggelami air dan serangan makhluk perosak.

Jabatan Pertanian kemudiannya mengambil pelbagai langkah penambahbaikan bagi mengatasi masalah itu dan jagung berkenaan akhirnya berjaya dituai selepas kira-kira tiga bulan ia ditanam semula.

Dalam pada itu Ahmad Shabery berkata rentetan daripada kejayaan projek perintis ini, katanya kementerian bercadang untuk menjadikan projek jagung Kampung Dadong sebagai dasar untuk menjadikan jagung bijian yang dijadikan makanan utama bagi ternakan sebagai satu industri.

"Bayangkan setiap tahun pengusaha ternakan terpaksa mengimport makanan ternakan hampir empat juta tan setahun dengan nilai RM3.1 bilion dari negara luar seperti Argentina dan Brazil.

"Jika kita hasilkan sendiri makanan ternakan berapa banyak belanja yang dapat dijimatkan dan hasilnya akan memberi pulangan yang besar kepada ekonomi negara,\" katanya.

Rentetan itu katanya, projek perintis itu akan diperluaskan ke beberapa kawasan lain yang dikenal pasti berpotensi dan penambahan kepada tanaman sedia ada.

Kawasan terlibat seperti di Johor sebanyak 10 hektar, Melaka (10 hektar), Pahang (69 hektar), Perak (35 hektar), Kedah (176 hektar), Perlis (50 hektar), Sabah (72 hektar) dan Sarawak (20 hektar).

"Peruntukan sebanyak RM10 juta telah diagihkan bagi perluasan projek iaitu untuk pembangunan tanaman sebanyak RM5 juta, mekanisasi dan automasi (RM2 juta), pengawalan kualiti jagung (RM2.5 juta) dan penyelidikan serta pembangunan varieti jagung (RM0.5 juta)," katanya.

-- BERNAMA

Friday, April 7, 2017

TERENGGANU LANCAR JAGUNG MANIS YANG LEBIH BERKUALITI








SETIU, 4 April (Bernama) -- Kerajaan negeri Terenggganu memperuntukkan RM150,000 bagi pembangunan tanaman jagung manis atau 'Jagung Manis Terengganu' melibatkan kawasan tanaman seluas 39 hektar.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani dan Perusahaan Perladangan dan Komoditi negeri Datuk Muhammad Pehimi Yusof berkata projek yang melibatkan 81 petani itu dijangka mampu mengeluarkan jagung jenis baharu itu sehingga 1.56 juta tongkol tahun ini.

"Bagi menjamin mutu dan kualiti jagung manis dwiwarna itu, Syarikat Green World Genetics Sdn Bhd (GWG) telah dipertanggungjawab untuk melaksanakan pengeluaran benih jagung tersebut untuk dibekalkan kepada petani.

"Sasaran kita ialah pengusaha yang berpotensi terlibat dalam projek pembangunan jagung manis dwiwarna itu seperti usahawan, penanam jagung sedia ada, belia dan petani berkelompok," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran tanaman Jagung Manis Negeri Terengganu di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Rhu Tapai di sini.

Beliau berkata, melalui penanaman jagung manis jenis baharu itu permintaan terhadapnya dijangka akan meningkat dan membolehkan lebih ramai petani termasuk golongan belia menceburi projek berkenaan.

Muhammad Pehimi berkata, jagung tersebut lebih berkualiti daripada yang sedia ada, malah dijangka harganya juga akan meningkat 20 peratus lebih tinggi daripada jagung manis sedia ada di pasaran.

"Sebagai contoh, jika jagung biasa harga ladang dijual 80 sen setongkol tetapi jagung ini dijual lebih 20 peratus menjadikannya RM1 setongkol sekali gus akan memberi keuntungan kepada petani melalui peningkatan pendapatan jualan itu," katanya.

Beliau berkata, bagi pengeluaran jagung manis biasa pada tahun lepas, Terengganu menghasilkan 11.62 juta tongkol jagung bernilai RM9.3 juta melibatkan 559 petani dengan keluasan kawasan tanaman jagung 331.8 hektar.

Benih Jagung Manis Terengganu, merupakan satu-satunya benih yang tidak terdapat di tempat lain malah pokoknya lebih lasak dan boleh dituai dalam tempoh 68 hari serta ditanam dalam empat musim bergantung kepada cuaca, katanya.

-- BERNAMA