Showing posts with label pehimi. Show all posts
Showing posts with label pehimi. Show all posts
Friday, September 1, 2017
JANGAN WAS WAS MAKAN DAGING KORBAN
KUALA TERENGGANU, 31 Ogos (Bernama) -- Umat Islam di negeri Terengganu tidak perlu was-was untuk memakan daging lembu dan kerbau korban kerana kini ia dijamin selamat.
Pengerusi Pertanian dan Industri Asas Tani, Perusahaan, Perladangan dan Komoditi negeri, Datuk Mohd Pehimi Yusof berkata negeri ini bebas sepenuhnya dari penyakit hawar berdarah yang menyerang binatang ternakan tersebut sejak empat bulan lalu.
"Hasil usaha berterusan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu yang melakukan pencegahan dengan menvaksin hampir 10,000 ekor haiwan ternakan telah berjaya membendung penyakit tersebut dari terus merebak.
"Sebanyak 4,000 lembu akan dijadikan korban tahun ini termasuk 2,000 ekor yang dibawa dibawa masuk luar Terengganu telah divaksinkan oleh JPV," katanya yang ditemui pemberita selepas Sambutan Hari Kebangsaan 2017 Peringkat Negeri Terengganu, hari ini.
Beliau berkata pihaknya juga bakal menempatkan seramai 120 anggota JPV di tempat penyembelihan bagi memastikan lembu yang dijadikan korban bebas dari penyakit tersebut.
Penyakit hawar berdarah dikesan sejak 26 Mei lepas dan sebanyak 500 kes kematian haiwan ternakan telah dilaporkan oleh 38 penternak di lima daerah di negeri itu melibatkan kerugian hampir RM 2.5 juta.
-- BERNAMA
Friday, April 7, 2017
TERENGGANU LANCAR JAGUNG MANIS YANG LEBIH BERKUALITI
|
|
SETIU, 4 April (Bernama) -- Kerajaan negeri Terenggganu memperuntukkan RM150,000 bagi pembangunan tanaman jagung manis atau 'Jagung Manis Terengganu' melibatkan kawasan tanaman seluas 39 hektar.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani dan Perusahaan Perladangan dan Komoditi negeri Datuk Muhammad Pehimi Yusof berkata projek yang melibatkan 81 petani itu dijangka mampu mengeluarkan jagung jenis baharu itu sehingga 1.56 juta tongkol tahun ini.
"Bagi menjamin mutu dan kualiti jagung manis dwiwarna itu, Syarikat Green World Genetics Sdn Bhd (GWG) telah dipertanggungjawab untuk melaksanakan pengeluaran benih jagung tersebut untuk dibekalkan kepada petani.
"Sasaran kita ialah pengusaha yang berpotensi terlibat dalam projek pembangunan jagung manis dwiwarna itu seperti usahawan, penanam jagung sedia ada, belia dan petani berkelompok," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran tanaman Jagung Manis Negeri Terengganu di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Rhu Tapai di sini.
Beliau berkata, melalui penanaman jagung manis jenis baharu itu permintaan terhadapnya dijangka akan meningkat dan membolehkan lebih ramai petani termasuk golongan belia menceburi projek berkenaan.
Muhammad Pehimi berkata, jagung tersebut lebih berkualiti daripada yang sedia ada, malah dijangka harganya juga akan meningkat 20 peratus lebih tinggi daripada jagung manis sedia ada di pasaran.
"Sebagai contoh, jika jagung biasa harga ladang dijual 80 sen setongkol tetapi jagung ini dijual lebih 20 peratus menjadikannya RM1 setongkol sekali gus akan memberi keuntungan kepada petani melalui peningkatan pendapatan jualan itu," katanya.
Beliau berkata, bagi pengeluaran jagung manis biasa pada tahun lepas, Terengganu menghasilkan 11.62 juta tongkol jagung bernilai RM9.3 juta melibatkan 559 petani dengan keluasan kawasan tanaman jagung 331.8 hektar.
Benih Jagung Manis Terengganu, merupakan satu-satunya benih yang tidak terdapat di tempat lain malah pokoknya lebih lasak dan boleh dituai dalam tempoh 68 hari serta ditanam dalam empat musim bergantung kepada cuaca, katanya.
-- BERNAMA
Subscribe to:
Posts (Atom)

