Showing posts with label nafas. Show all posts
Showing posts with label nafas. Show all posts

Monday, November 27, 2017

NAFAS DIGESA KENALPASTI PRODUK MAKANAN UNTUK TEMBUSI PASARAN ANTARABANGSA

KUALA LUMPUR, 27 Nov (Bernama) -- Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) digesa mengenal pasti produk-produk agro makanan dan pertanian yang boleh dijadikan sebagai produk juara untuk menembusi pasaran antarabangsa dan menjadi lambang kebanggaan petani di negara ini.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata jika negara-negara Eropah boleh berbangga dengan produk pertanian mereka seperti buah epal dan anggur, Malaysia juga perlu menghasilkan produk pertaniannya untuk bersaing di pentas antarabangsa.

"Mungkin kalau beras kita tidak dapat menandingi negara-negara pengeluar lain seperti Thailand yang menghasilkan begitu banyak hasil dan berkualiti, jadi pasti ada produk atau hasil pertanian lain yang boleh kita fikirkan bersama."

"Saya percaya Nafas boleh melakukannya, kita boleh fikirkan bersama bagaimana untuk mencari idea ini dan mengembangkannya termasuk trend penggunaan perniagaan dalam talian yang boleh menggerakkan keupayaan produk kita itu nanti," katanya semasa berucap pada majlis makan malam dan merasmikan mesyuarat agung tahunan Nafas ke-44 di sini malam ini.

Ahmad Shabery berkata langkah itu bagi meningkatkan keupayaan negara menghasilkan makanan sendiri dan mengurangkan kebergantungan kepada produk import.

Katanya ia juga bagi mengimbangi perdagangan negara dalam sektor makanan dan produk pertanian dengan ketika ini nilai import negara terlalu tinggi berbanding nilai eksport, sekali gus memberi kesan kepada nilai mata wang negara.

Majlis itu turut menampilkan seorang penyanyi Indonesia, Jamal Mirdad dan dua orang penyanyi tempatan, Ayda Jebat dan Anuar Zain.

Wednesday, July 26, 2017

NAFAS PERLUKAN LADANG JAGUNG SELUAS 14,000 HEKTAR

PASIR PUTEH, 26 Julai (Bernama) -- Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) memerlukan ladang jagung seluas 14,000 hektar bagi menampung permintaan kilang memproses makanan ternakan ayam, lembu, kambing dan ikan di Johor.

Pengerusinya, Datuk Seri Saipol Bahari Suib berkata pihaknya menyasarkan pengeluaran 8,000 tan metrik jagung sebulan dari ladang itu.

"Setakat ini ladang jagung yang ada hanyalah 1,000 hektar di Segamat, di Johor.

"Nafas akan memperluas penanaman jagung ke negeri-negeri Pantai Timur bagi menampung keperluan yang masih belum mencukupi,"katanya ketika berucap merasmikan program Gelombang Tani Nasional, Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) peringkat Jajahan Pasir Puteh di Bendang Cherang Rotan, di sini hari ini.

Majlis yang disertai lebih 500 petani itu turut dihadiri anggota Pengerusi Lembaga Pengarah KADA Datuk Zawawi Othman.

Saipol Bahari berkata bagi Kelantan, pihaknya telah mengenal pasti Bachok dan Pasir Puteh sebagai kawasan berpotensi untuk mengusahakan tanaman jagung.

"Nafas menerusi anak syarikatnya akan membantu petani dalam menyediaan benih dan membersihkan kawasan yang akan diusahakan.

"Nafas juga memberi jaminan untuk membeli hasil tanaman tersebut dengan harga berpatutan,"katanya.

Saipol Bahari berkata 345,000 tan metrik bahan itu diimport setiap tahun, dijadikan bahan makanan untuk ayam ternakan.

-- BERNAMA