Sunday, March 31, 2019

DANA KHAS BIAYAI PENYELIDIKAN UMT



LANGKAWI, 30 Mac (Bernama) -- Kerajaan Terengganu setuju mewujudkan dana 'khas' bagi membiayai penyelidikan dijalankan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) khusus bagi menangani pelbagai isu melibatkan sains marin di Terengganu.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata UMT sebagai satu-satunya universiti yang mempunyai kepakaran tujahan dalam bidang sains marin dan maritim perlu terlibat secara langsung bagi manfaat rakyat Terengganu serta negara.

"UMT satu-satunya universiti yang mempunyai kapal penyelidikan RV Discovery yang telah memberi sumbangan besar kepada bidang maritim di Terengganu dan negara dan kita mahu ia diteruskan sehingga ke peringkat antarabangsa.

"Kita hargai inisiatif yang dijalankan oleh UMT ini dan bagi memastikan ia terus berkembang hingga dikenali di peringkat antarabangsa...kita bersetuju bekerjasama dengan UMT bagi mencari dana khas untuk membiayai penyelidikan khusus melibatkan isu-isu di negeri ini seperti hakisan pantai dengan pakar-pakar dalam bidang berkaitan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama ketika melawat booth UMT selepas perasmian Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA’19) oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri di sini Selasa.

Turut hadir, Naib Canselor UMT, Prof Datuk Dr Nor Aieni Mokhtar.

Dalam pada itu Nor Aieni berkata, dana khas itu adalah bagi membangunkan pelbagai penyelidikan yang akan menjadi 'flagship' kepada negeri Terengganu bukan sahaja dalam bidang sains, tetapi juga sebagai tarikan pelancongan.

"Sebagai contoh mungkin akan diwujudkan muzium akuarium yang akan memberi peluang pekerjaan kepada graduan UMT dalam bidang pengurusan perikanan sekali gus menarik kedatangan pelancongan ke negeri ini.

"Kita juga berharap kerjasama itu juga dapat menyediakan prasarana yang diperlukan seperti tapak dan sumbangan lain yang diperlukan agar UMT menjadi tempat rujukan dan penyelesaian kepada isu-isu melibatkan rakyat dan negeri Terengganu," katanya.

Pameran dwitahunan bertaraf dunia yang berlangsung dari 26 hingga 30 Mac itu menerima penyertaan delegasi perniagaan dari 32 negara dan 406 syarikat pertahanan serta komersial.

-- BERNAMA

Saturday, March 30, 2019

PELUANG KEDUA UNTUK RAWAT RANTAU

SEREMBAN, 30 Mac (Bernama) -- Lebih tiga dekad dalam bidang perubatan serta membantu mereka yang memerlukan sudah menjadi darah daging calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Dr S. Streram.

Malah pakar bius Pusat Perubatan Nilai berusia 60 tahun berkenaan aktif sebagai doktor sukarelawan dalam misi bantuan kemanusiaan ke negara konflik termasuk di Afghanistan dan Sudan pada 2010 serta 2011.

Baginya, tiada apa yang lebih memuaskan hati daripada dapat menyampaikan bantuan kepada mereka yang memerlukan dan peluang bertanding sebagai wakil rakyat akan memberinya satu platform baharu untuk meluaskan perkhidmatannya di luar bidang perubatan.

Thursday, March 28, 2019

TAK RAMAI USAHAWAN YPU DAPAT SIJIL HALAL JAKIM

KUALA TERENGGANU, 28 Mac (Bernama) -- Hanya 170 daripada 2,760 usahawan yang mendaftar dengan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu telah memperoleh pengiktirafan sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) setakat ini, kata seorang anggota Exco negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja Negeri Terengganu, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata jumlah itu terlalu kecil dan agak terkebelakang berbanding negeri-negeri lain di negara ini.

"Mungkin usahawan kita masih berada dalam 'zon selesa' kerana tiada desakan yang kuat daripada pengguna di Terengganu, tambahan pula kebanyakan usahawan di sini terutama dalam produk makanan adalah orang Islam dan keadaan ini sangat berbeza dengan negeri lain terutama di sebelah Pantai Barat.

Wednesday, March 27, 2019

MIERA AKUI IKUT EMOSI MUAT DALAM FB KES MUHAMMAD ADIB

SHAH ALAM, 27 Mac (Bernama) -- "Saya terlalu ikut emosi tanpa ketahui fakta sebenar kejadian," kata jururawat Institut Jantung Negara (IJN), pemilik akaun Facebook dengan nama Cik Miera, yang memuat komen di laman sosial itu mengenai kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim.

Siti Syafika Amira Mohd Rasani, 27, yang berkhidmat di bilik pembedahan IJN selama enam tahun berkata beliau memuat naik komen kontroversi itu pada 22 Mac lepas tanpa mengetahui fakta sebenar.

"Saya emosi buat kenyataan ini kerana semasa Adib di sana (IJN) saya lihat keluarganya menangis. Saya juga nampak pihak bomba tidur luar Unit Rawatan Rapi (ICU) IJN setiap hari atas kerusi menunggu. Saya rasa dalam keadaan kekeluargaan," katanya ketika menjawab soalan pegawai pengendali inkues Zafran Rahim Hamzah semasa prosiding inkues bagi menyiasat kematian Muhammad Adib di Mahkamah Koroner hari ini.

Tuesday, March 26, 2019

MAHATHIR TERHARU RASMI LIMA EDISI KE 15

LANGKAWI, 26 Mac (Bernama) -- Kehadiran Tun Dr Mahathir Mohamad merasmikan Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) edisi ke-15 di sini hari ini, turut menjadi detik-detik nostalgia buat Perdana Menteri.

Ia mengimbau kembali peristiwa 28 tahun yang lalu pada 1991, ketika beliau melancarkan edisi pertama pameran itu yang berkembang menjadi pameran maritim dan aeroangkasa terkemuka di rantau Asia Pasifik.

Beliau tidak menyembunyikan perasaannya: “Edisi ke-15 LIMA mengimbau kembali edisi 1991 apabila saya melancarkan Rangka Tindakan Pembangunan Industri Aeroangkasa Pertama di Malaysia.

"Ia merupakan satu langkah berani untuk sesetengah orang dan langkah awal bagi orang lain. Tetapi apabila melihat kepada apa yang kita ada sebelum ini dengan pembangunan aeroangkasa hari ini, ia adalah langkah penting untuk memastikan Malaysia seiring dengan pemangkin dan industri pesat berkembang, " katanya dalam ucapan perasmian LIMA’19.

Dr Mahathir merupakan perdana menteri keempat Malaysia ketika itu. LIMA terakhir yang dirasmikannya ialah pada 2003 sebelum meletak jawatan sebagai perdana menteri.

Hari ini, 16 tahun kemudian, beliau melancarkan LIMA sekali lagi, dan sebagai perdana menteri ketujuh.

Dr Mahathir yang sinonim dengan LIMA, bangga melihat LIMA masih dapat menarik peserta maritim dan aeroangkasa antarabangsa serta perniagaan dari seluruh pelosok dunia.

Pada 1991, sebanyak 172 negara dari 20 negara mengambil bahagian pada LIMA pertama.

Hari ini, pada edisi ke-15, menyaksikan LIMA menjadi tuan rumah delegasi perniagaan dari 32 negara dan 406 syarikat pertahanan dan komersial dengan 200 perniagaan antarabangsa.

Semua produk dan perkhidmatan mereka akan dipamerkan sepanjang pameran lima hari, sehingga 30 Mac di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) dan Resort World Langkawi (RWL).

Kira-kira 42,000 pelawat perdagangan dijangka berhimpun di LIMA`19, bukan sahaja untuk melihat produk dan perkhidmatan terkini yang ditawarkan peserta pameran tetapi juga meneroka potensi perniagaan terutamanya dengan syarikat berpangkalan di Malaysia.

LIMA`19 terdiri daripada 60 peratus pertahanan dan 40 peratus komersial dianjurkan secara bersama oleh EN Projects (M) Sdn Bhd, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Pengangkutan.

Kementerian Pertahanan dan Kementerian Pengangkutan disokong oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan agensi-sgensi di bawahnya dalam menganjurkan seminar industri, mesyuarat perniagaan dan perbincangan untuk menggalakkan penglibatan perniagaan serta menampilkan inisiatif kerajaan terhadap pembangunan industri kemudahan perdagangan.

-- BERNAMA

Saturday, March 23, 2019

PRK RANTAU IBU SEGALA PRK

SEREMBAN, 23 Mac (Bernama) -- Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau disifatkan sebagai ibu kepada semua PRK kerana bakal berdepan dengan Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan.

Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke Siew Fook berkata jika keputusan PRK kali ini berpihak kepada Pakatan Harapan (PH), ia akan beri implikasi besar kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) kerana berjaya menewaskan pemimpin utama mereka.

"PRK ini akan tarik perhatian dari semua negara dan saya berani cakap ini akan jadi PRK paling penting dan signifikan berbanding PRK lain sebelum ini.

Friday, March 22, 2019

MASUK BERSATU DIBUAT SECARA BERAMAI RAMAI

BEAUFORT, 22 Mac (Bernama) -- Keputusan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dibuat secara beramai-ramai dan bukan atas faktor individu, kata Anggota Parlimen Beaufort Datuk Azizah Mohd Dun.

Menurut beliau ia keputusan bersama dan difikir sedalam-dalamnya yang melalui pelbagai proses untuk kebaikan negara, Sabah dan kawasan diwakili.

"Kami sepakat membuat keputusan ini dan bukan persoalan perjuangan individu, selamatkan diri atau ada agenda peribadi," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Graduasi Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) Sekolah Menengah Kebangsaan Kota Klias di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Anggota Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin ketika membahaskan usul di Parlimen semalam bahawa tindakan golongan yang melompat parti dianggap tidak mempunyai kekuatan, tiada perjuangan selain tidak mempunyai maruah.

Lapan bekas pemimpin UMNO Sabah termasuk Azizah antara enam wakil rakyat menyertai Bersatu dan Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad menyerahkan kad keahlian parti kepada mereka di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya pada 15 Mac lepas.

Selain Azizah lima wakil rakyat bebas berkenaan ialah Anggota Parlimen Kudat Datuk Abd Rahim Bakri; Anggota Parlimen Libaran Datuk Zakaria Edris, Anggota Parlimen Beluran Datuk Seri Dr Ronald Kiandee; Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman Datuk Seri Hajiji Noor dan ADUN Karanaan Datuk Seri Masidi Manjun.

Selain mereka, turut menyertai Bersatu ialah dua lagi Senator, iaitu Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin dan Datuk John Ambrose.

Azizah berkata tindakan melompat parti sudah berlaku dalam politik di negara ini termasuk di Sabah antaranya ketika Barisan Nasional (BN) dapat menawan pemerintahan Sabah pada 1994 apabila dua wakil rakyat dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Klias (Datuk Lajim Ukin) dan DUN Kemabong (Datuk Rubin Balang) dari Parti Bersatu Sabah menyertai BN.

Menurutnya perjuangan membangunkan kawasan luar bandar masih perlu diperjuangkan di negara ini khususnya di Sabah.

Justeru, beliau senada kenyataan Ronald bahawa kenyataan Bung Moktar itu sebagai bersifat politik.