Showing posts with label dr mahathir mohamad. Show all posts
Showing posts with label dr mahathir mohamad. Show all posts

Tuesday, March 26, 2019

MAHATHIR TERHARU RASMI LIMA EDISI KE 15

LANGKAWI, 26 Mac (Bernama) -- Kehadiran Tun Dr Mahathir Mohamad merasmikan Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) edisi ke-15 di sini hari ini, turut menjadi detik-detik nostalgia buat Perdana Menteri.

Ia mengimbau kembali peristiwa 28 tahun yang lalu pada 1991, ketika beliau melancarkan edisi pertama pameran itu yang berkembang menjadi pameran maritim dan aeroangkasa terkemuka di rantau Asia Pasifik.

Beliau tidak menyembunyikan perasaannya: “Edisi ke-15 LIMA mengimbau kembali edisi 1991 apabila saya melancarkan Rangka Tindakan Pembangunan Industri Aeroangkasa Pertama di Malaysia.

"Ia merupakan satu langkah berani untuk sesetengah orang dan langkah awal bagi orang lain. Tetapi apabila melihat kepada apa yang kita ada sebelum ini dengan pembangunan aeroangkasa hari ini, ia adalah langkah penting untuk memastikan Malaysia seiring dengan pemangkin dan industri pesat berkembang, " katanya dalam ucapan perasmian LIMA’19.

Dr Mahathir merupakan perdana menteri keempat Malaysia ketika itu. LIMA terakhir yang dirasmikannya ialah pada 2003 sebelum meletak jawatan sebagai perdana menteri.

Hari ini, 16 tahun kemudian, beliau melancarkan LIMA sekali lagi, dan sebagai perdana menteri ketujuh.

Dr Mahathir yang sinonim dengan LIMA, bangga melihat LIMA masih dapat menarik peserta maritim dan aeroangkasa antarabangsa serta perniagaan dari seluruh pelosok dunia.

Pada 1991, sebanyak 172 negara dari 20 negara mengambil bahagian pada LIMA pertama.

Hari ini, pada edisi ke-15, menyaksikan LIMA menjadi tuan rumah delegasi perniagaan dari 32 negara dan 406 syarikat pertahanan dan komersial dengan 200 perniagaan antarabangsa.

Semua produk dan perkhidmatan mereka akan dipamerkan sepanjang pameran lima hari, sehingga 30 Mac di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) dan Resort World Langkawi (RWL).

Kira-kira 42,000 pelawat perdagangan dijangka berhimpun di LIMA`19, bukan sahaja untuk melihat produk dan perkhidmatan terkini yang ditawarkan peserta pameran tetapi juga meneroka potensi perniagaan terutamanya dengan syarikat berpangkalan di Malaysia.

LIMA`19 terdiri daripada 60 peratus pertahanan dan 40 peratus komersial dianjurkan secara bersama oleh EN Projects (M) Sdn Bhd, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Pengangkutan.

Kementerian Pertahanan dan Kementerian Pengangkutan disokong oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan agensi-sgensi di bawahnya dalam menganjurkan seminar industri, mesyuarat perniagaan dan perbincangan untuk menggalakkan penglibatan perniagaan serta menampilkan inisiatif kerajaan terhadap pembangunan industri kemudahan perdagangan.

-- BERNAMA

Friday, February 15, 2019

BERSATU DI SABAH KUATKAN SHAFIE APDAL

KUALA LUMPUR, 15 Feb (Bernama) -- Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata parti itu bersetuju untuk menubuhkan cawangannya di Sabah bagi membolehkan bekas anggota UMNO Sabah menyertainya.

Dr Mahathir yang juga Perdana Menteri, berkata keputusan itu dibuat selepas anggota UMNO Sabah yang bertindak keluar parti tidak mahu menyertai Parti Warisan Sabah (Warisan) yang merupakan sekutu Pakatan Harapan (PH).

"Mereka ini tidak memilih untuk menyertai Warisan… dan mahu menyertai Bersatu. Bagaimanapun tapisan ketat akan dikenakan untuk mereka yang akan menyertai Bersatu.

“Tiga syarat yang kita letak ialah mereka mesti keluar UMNO, menjadi (wakil rakyat) Bebas untuk sekian lama dan barulah kita sedia untuk terima tetapi dengan pemilihan yang ketat, bukan secara berkumpulan tetapi individu," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Kepimpinan Tertinggi Bersatu di sini.

Tun Mahathir berkata penubuhan Bersatu Sabah akan dibuat secepat mungkin dan parti akan membuat keputusan mengenai pemimpinnya kemudian.

Dr Mahathir bagaimanapun menegaskan wujudnya Bersatu di Sabah bukan untuk mencabar atau menentang Warisan yang diketuai oleh Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Tegas beliau semua boleh menyertai Bersatu kecuali mereka daripada parti komponen PH iaitu DAP, PKR dan Amanah serta sekutunya Warisan.

Ditanya sama ada perkara tersebut dibincangkan dengan kepimpinan Warisan, Dr Mahathir berkata tiada keperluan untuk berbuat demikian.

"Kita pergi Sabah untuk kuatkan kerajaan Shafie, kita bukan nak menentang Warisan, keputusan ini kita buat bila lihat keadaan Sabah... mereka ini (bekas anggota UMNO) tak nak sertai Warisan tetapi nak sertai Bersatu," tegasnya, menambah keputusan itu juga tidak memerlukan persetujuan parti-parti dalam PH.

Mengulas mengenai Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, Dr Mahathir berharap pengundi di DUN itu dapat menerima calon yang dipilih Bersatu.

Semalam, Bersatu mengumumkan Muhammad Aiman Zainali, 30, sebagai calon pada PRK pada 2 Mac ini manakala BN mempertaruhkan Zakaria Hanafi, 58, Pengerusi Tetap UMNO Cawangan Kampung Sesepan Kelubi sebagai calonnya.

Muhammad Aiman ialah Bendahari Bersatu Bahagian Hulu Langat yang juga seorang jurutera dan sedang mengikuti pengajian ijazah doktor falsafah dalam bidang kejuruteraan elektrik di Universiti Teknologi Mara, Shah Alam.

Muhammad Aiman juga adalah menantu penyandang, Allahyarham Bakhtiar Mohd Nor daripada Bersatu yang meninggal dunia pada 11 Jan lepas.

Sementara itu mengulas mengenai isu tajaan sebuah syarikat perjudian terhadap kursus sekumpulan pimpinan tertinggi Polis Diraja Malaysia ke Istanbul, Turki, Dr Mahathir berkata perkara tersebut adalah tidak wajar walaupun bertujuan baik.

"Ia berlaku (kelulusan) sebelum kami (PH) memerintah. Tujuannya bagus tapi sudah tentu ada yang mengkritik,” katanya.

-- BERNAMA

Saturday, December 8, 2018

MALAIKAT MANA YANG BUAT SILAP MAHATHIR?

PETALING JAYA, 8 Dis (Bernama) – Tun Dr Mahathir Mohamad tidak akan menghadiri program sambutan Hari Hak Asasi Manusia anjuran Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) di Padang Timur, di sini, esok.

Perdana Menteri berkata agak mustahil untuk beliau menghadiri sambutan tersebut kerana perbezaan pendirian antara kerajaan Pakatan Harapan (PH) pimpinannya dan Suhakam berhubung Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

“Saya sudah memutuskan bahawa kerajaan tidak akan menerima ICERD. Suhakam pula mahu ICERD diterima...jadi macam mana saya boleh pergi,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden PH di Menara Yayasan Selangor, di sini, hari ini.

Perhimpunan sempena Hari Hak Asasi Manusia Antarabangsa 2018 itu pada asalnya dijadual berlangsung hari ini dengan Dr Mahathir dijemput Suhakam sebagai tetamu khas, namun ditangguhkan ke esok atas nasihat pihak berkuasa.

Hari ini juga menyaksikan penganjuran perhimpunan berasingan bagi menolak ICERD di ibu negara yang turut disifatkan penganjurnya sebagai perhimpunan menzahirkan 'kesyukuran' atas keputusan kerajaan untuk tidak meratifikasi ICERD.

Pada 23 Nov lalu, Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata kerajaan PH tidak akan meratifikasi ICERD dan akan terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan di mana termaktub kontrak sosial dipersetujui wakil semua kaum ketika pembentukan negara ini.

Bagaimanapun, Suhakam dalam kenyataan pada 27 Nov lalu, menyebut ia kecewa dengan keputusan kerajaan.

Dr Mahathir seterusnya berkata sambutan anjuran Suhakam itu dipinda ke esok kerana polis tidak mempunyai anggota mencukupi untuk mengawal dua perhimpunan jika diadakan pada hari sama.

“Bukan kita larang ada demonstrasi. Tidak. Demonstrasi boleh ada tetapi kita minta supaya ditangguh ke hari lain supaya polis tidak tertekan kerana pegawai mereka tidak cukup untuk mengawasi perhimpunan yang besar-besar,” katanya.

Namun bila ditanya sama ada beliau akan menyertai perhimpunan di ibu negara itu, Dr Mahathir berkata: “Tidak. Saya dah bersyukur cukup dah. Saya buat satu keputusan yang baik, saya bersyukur saya boleh buat keputusan yang terbaik,” katanya.

Mengenai persepsi bahawa pentadbiran PH sebagai kerajaan 'pusingan u’ kerana sering menarik balik beberapa keputusan, Dr Mahathir berkata kadang-kadang kerajaan terpaksa berbuat demikian apabila menuju ke jalan yang salah.

“Kita bukan manusia sempurna walaupun sebahagian daripada kita adalah ‘malaikat’ tetapi kadang-kadang ‘malaikat’ pun melakukan kesilapan. Jadi apabila 'malaikat’ buat silap, mereka berpatah balik,” katanya.

Mengenai keputusan Kabinet menangguhkan skim Potongan Gaji Berjadual (PGB) bagi peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Perdana Menteri berkata kerajaan akan mengubah mekanisme berkenaan selepas mengambil kira pendangan orang ramai dan peminjam.

Ditanya sama ada polisi berhubung pembayaran PTPTN dibuat tanpa konsultasi sepatutnya, beliau berkata banyak pihak tidak membantu dalam memberikan cadangan dan maklumat.

"Sebelum kita umum, mereka tak beritahu, sebab itu bila kita umum ada banyak pula yang tidak puas hati. Tapi untuk kita nak tanya 33 juta orang susah sikitlah. Jadi bila mereka beri reaksi negatif, kita buat pertimbangan,” kata Dr Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Turut hadir pada sidang media itu Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden PH, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, yang juga Timbalan Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo.

-- BERNAMA

Thursday, December 6, 2018

DR MAHATHIR SERIUS MAHU BANTERAS RASUAH

KUALA LUMPUR, 5 Dis (Bernama) -- Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini melahirkan kebimbangan berhubung amalan rasuah yang semakin menjadi suatu perkara biasa dalam kalangan masyarakat sehingga sanggup mengetepikan kesannya terhadap bangsa dan negara.

Gejala itu yang disifatkan beliau sebagai '’memperasuahan'’, yang bermakna perbuatan menyemai sifat buruk dalam masyarakat sehingga menjadi sebahagian dari budayanya.

"Saya tidak tahu sama ada “memperasuahan” adalah satu perkataan dalam Bahasa Melayu. Tetapi sama ada perkataan ini ada atau tidak, perbuatan memperasuahan memang kerap dilakukan dalam masyarakat manusia.

Masyarakat yang terima budaya ini, tidak lagi berasa segan atau malu dengan pemberian dan penerimaan rasuah, yang kadang-kadang disebut sebagai “tumbuk rusuk” atau “makan suap”, katanya dalam catatan terbaharu di blognya www.chedet.com, malam ini.

Katanya biasanya masyarakat menganggap rasuah sebagai satu amalan yang keji dan buruk, tetapi mereka yang mengamal perbuatan itu akan menyembunyi perbuatan mereka kerana sedar yang ianya adalah sesuatu amalan yang salah di sisi undang-undang dan agama.

Bagaimanapun apabila amalan rasuah diterima masyarakat sebagai perkara biasa yang boleh diamal secara terbuka, maka tidak lagi ada perasaan segan silu apabila melakukannya, baik oleh pemberi atau penerima.

Di zaman pemerintahan yang percaya “cash is king” atau “wang adalah raja” maka pemberian dan penerimaan rasuah menjadi satu daripada nilai hidup dan budaya, terutama dalam kalangan orang Melayu, katanya.

"Apa sahaja sanggup dibuat jika disogok dengan wang atau pemberian yang diminati. Soal baik buruk sesuatu yang diberi atau diarah tidak termasuk dalam pertimbangan.

Percanggahan dengan undang-undang, bahkan berdosa dari segi agama tidak diambil kira. Yang diutamakan ialah pendapatan yang memuaskan nafsu,”katanya.

Kata Dr Mahathir masyarakat sedia maklum bahawa sogokan dianggap sebagai perbuatan yang tidak baik dan dilarang, namun penerima tidak berfikir panjang.

"Baik, tidak baik...tetapi sogokan memuaskan nafsu dan dipercayai menguntungkan. Oleh itu terima sahajalah. Kesan buruk terhadap masyarakat adalah perkara remeh.

Sudah tentu perasaan kebangsaan dan kesan terhadap bangsa dan negara tidak lebih utama dari nafsu penerima rasuah,” katanya.

-- BERNAMA

Sunday, September 30, 2018

MAHATHIR PATUT TUNGGU UMUR 100 TAHUN BARU BERSARA



LONDON: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang kembali menerajui tampuk pemerintahan negara pada usia 93 tahun, secara berseloroh menyatakan bahawa umur persaraan baharu beliau ialah 95 tahun

Jenaka beliau itu menerima tepukan gemuruh rakyat Malaysia yang bermastautin di United Kingdom ini dalam satu perjumpaan dengan beliau di London pada Ahad.

Dr Mahathir berkata, bahawa beliau berharap akan dapat menyelesaikan banyak masalah yang telah membelenggu negara walaupun beliau tidak berhajat untuk “duduk lama” dalam jawatan itu.

“Saya berharap saya dapat terus bekerja sehinggalah saya bersara nanti,” kata negarawan ulung itu.

Ketika ditanya sama ada isteri beliau, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali gembira dengan penangguhan persaraan beliau itu, Dr Mahathir berkata beliau (Siti Hasmah) tiada pilihan lain.

“Beliau sangat menyokong saya. Beliau mengikut saya ke mana jua saya pergi,” katanya yang menerima tepukan kuat para hadirin.

Siti Hasmah turut hadir pada majlis itu bersama kira-kira 500 orang rakyat Malaysia lain.

Dr Mahathir mengangkat sumpah jawatan sebagai pemimpin paling tua di dunia yang dipilih mengetuai sebuah kerajaan selepas gabungan Pakatan Harapan yang dipimpinnya memenangi pilihan raya umum pada Mei lalu.

Menghimbau slogan “Kepimpinan melalui teladan“, Dr Mahathir berkata, beliau telah menjadikan dirinya sebagai teladan dalam bekerja keras.

“Penyakit boleh membunuh anda, pekerjaan tidak. Anda bukan sahaja perlu bersenam untuk menguatkan otot-otot di badan anda, tetapi anda juga perlu membuat senaman minda untuk menguatkan minda anda,” kata beliau.