Showing posts with label dana khas. Show all posts
Showing posts with label dana khas. Show all posts

Sunday, March 31, 2019

DANA KHAS BIAYAI PENYELIDIKAN UMT



LANGKAWI, 30 Mac (Bernama) -- Kerajaan Terengganu setuju mewujudkan dana 'khas' bagi membiayai penyelidikan dijalankan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) khusus bagi menangani pelbagai isu melibatkan sains marin di Terengganu.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata UMT sebagai satu-satunya universiti yang mempunyai kepakaran tujahan dalam bidang sains marin dan maritim perlu terlibat secara langsung bagi manfaat rakyat Terengganu serta negara.

"UMT satu-satunya universiti yang mempunyai kapal penyelidikan RV Discovery yang telah memberi sumbangan besar kepada bidang maritim di Terengganu dan negara dan kita mahu ia diteruskan sehingga ke peringkat antarabangsa.

"Kita hargai inisiatif yang dijalankan oleh UMT ini dan bagi memastikan ia terus berkembang hingga dikenali di peringkat antarabangsa...kita bersetuju bekerjasama dengan UMT bagi mencari dana khas untuk membiayai penyelidikan khusus melibatkan isu-isu di negeri ini seperti hakisan pantai dengan pakar-pakar dalam bidang berkaitan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama ketika melawat booth UMT selepas perasmian Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA’19) oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri di sini Selasa.

Turut hadir, Naib Canselor UMT, Prof Datuk Dr Nor Aieni Mokhtar.

Dalam pada itu Nor Aieni berkata, dana khas itu adalah bagi membangunkan pelbagai penyelidikan yang akan menjadi 'flagship' kepada negeri Terengganu bukan sahaja dalam bidang sains, tetapi juga sebagai tarikan pelancongan.

"Sebagai contoh mungkin akan diwujudkan muzium akuarium yang akan memberi peluang pekerjaan kepada graduan UMT dalam bidang pengurusan perikanan sekali gus menarik kedatangan pelancongan ke negeri ini.

"Kita juga berharap kerjasama itu juga dapat menyediakan prasarana yang diperlukan seperti tapak dan sumbangan lain yang diperlukan agar UMT menjadi tempat rujukan dan penyelesaian kepada isu-isu melibatkan rakyat dan negeri Terengganu," katanya.

Pameran dwitahunan bertaraf dunia yang berlangsung dari 26 hingga 30 Mac itu menerima penyertaan delegasi perniagaan dari 32 negara dan 406 syarikat pertahanan serta komersial.

-- BERNAMA

Thursday, December 14, 2017

JANGAN POLITIKKAN ISU DANA KHAS KERAJAAN PERSEKUTUAAN

KUALA TERENGGANU, 14 Dis (Bernama) -- Isu Dana Khas Kerajaan Persekutuan (DKKP) tidak perlu lagi dipolitikkan oleh pihak pembangkang yang hanya mahu menjadi juara di mata rakyat kerana kerajaan Barisan Nasional (BN) telah lama menyelesaikan perkara itu.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata isu tersebut sentiasa ditimbulkan dalam setiap persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) walaupun telah banyak penjelasan dibuat kepada wakil pembangkang.

"Walau sudah beratus kali, beribu kali kita jelaskan, mereka tetap tidak mahu faham. Jadi hari ini, saya nak jelaskan...biarlah ini yang terakhir agar semua faham. Apabila dibangkitkan di luar sana, rakyat tidak lagi keliru kerana telah faham dengan jelas berkenaan DKKP ini.

"Pertama, memang kita akui bahawa projek yang telah menggunakan duit dana kerajaan negeri iaitu untuk program rumah mesra rakyat negeri lain sebanyak RM771.344 juta, dana khas kerajaan persekutuan negeri-negeri lain RM717.300 juta, projek jalan raya Simpang Pulai-Lojing-Gua Musang pakej 6A dari Aring ke sempadan Kelantan-Terengganu iaitu RM197.610 juta.

"Seterusnya, projek perumahan TUDM Gong Kedak (RM35 juta), perbelanjaan pengurusan Universiti Darul Iman (RM22.4 juta), perolehan tanah 100 ekar untuk projek Pusat Latihan Teknologi Tinggi ADTEC (RM21.344 juta), bayaran pampasan tanah Pulau Redang (RM4.907 juta) dan projek naik taraf Lapangan Terbang Sultan Mahmud (RM400 juta) dengan jumlah keseluruhannya RM2.169 bilion," katanya.

Beliau berkata demikian menjawab beberapa soalan daripada wakil pembangkang mengenai DKKP ketika menggulung perbahasan Bajet Terengganu 2018 pada persidangan DUN itu hari ini.

Seterusnya, Ahmad Razif berkata jumlah DKKP sebanyak RM2.169 bilion itu telah mula dibayar kepada kerajaan negeri Terengganu bermula pada tahun 2011 dan akan selesai pada tahun 2020.

Beliau berkata sebanyak RM200 juta dibayar pada tahun 2011, 2012 (RM200 juta), 2013 (RM220 juta) dan jumlah yang sama dibayar hingga 2019 di mana bayaran terakhir ialah pada tahun 2020 iaitu sebanyak 229 juta.

"Saya sudah berkali-kali sebut dan jawab hal ini dalam hampir setiap kali DUN bersidang. Sebenarnya tidak ada isu langsung. Apa matlamat kita sebenarnya? Matlamat kita ialah mendapatkan hasil pendapatan untuk rakyat dan negeri," katanya.

"Isu pembayaran DKKP tidak menjadi masalah. Rakyat Terengganu tetap dapat DKKP...yang jadi masalah kalau kita tak dapat dana tersebut," katanya.

Beliau turut mengulas mengenai saman yang ditarik balik kerajaan negeri yang dibangkitkan Mohd Wahid Endut (PAS-Wakaf Mempelam) berhubung tuntutan yang difailkan terhadap Petronas oleh kerajaan negeri di bawah PAS ketika itu.

"Ia adalah untuk satu perintah supaya Petronas membuat bayaran sebagaimana yang sepatutnya mulai dari 1 Sept 2000 dan di masa-masa hadapan sebagaimana yang diperuntukkan di bawah perjanjian.

"Memandangkan perkara ini telah dilaksanakan, maka pada 21 Mac 2012, kerajaan negeri Terengganu telah menarik balik kes tuntutan ini di mahkamah. Isu ini sudah lima tahun selesai. Ia bukan satu pengkhianatan," katanya.

Tambahnya, hubungan baik dengan Petronas memberi manfaat baik kepada rakyat apabila syarikat itu bersetuju untuk membantu kerajaan negeri melalui program tanggungjawab sosial korporat mereka di Terengganu.

-- BERNAMA