Friday, December 14, 2018

BINA REBAN TERAPUNG UNTUK SELAMATKAN TERNAKAN



KEMAMAN, 14 Dis (Bernama) – Pelbagai cara dan ikhtiar dilakukan penternak bagi menyelamatkan haiwan ternakan mereka dari dihanyutkan air dan mati ketika musim tengkujuh tiba di negeri ini.

Bagi Abu Bakar Che Ahmad, 64, dari Kampung Tebak di sini beliau akan membina reban terapung untuk memastikan 60 ekor ayam denaknya selamat dari bencana banjir setiap kali tibanya musim tengkujuh.

Warga emas itu mula menternak ayam denak (spesis ayam yang digunakan untuk memikat ayam hutan) sejak 10 tahun lalu sebagai punca pendapatannya selain hasil kebun getah dan sawit.

Beliau berkata ayam denak yang cantik dan mampu memikat banyak ayam hutan akan dijual sehingga RM350 seekor manakala yang kurang daya tarikan pula dijual pada harga RM50 sahaja.

Setiap kali musim banjir, bapa kepada tujuh anak itu mengakui memang 'tidak lena tidur' kerana risaukan keselamatan 60 ekor ayam denaknya yang dianggarkan bernilai antara RM15,000 hingga RM18,000 mengikut harga pasaran semasa ketika ini.

"Pok belanja RM520 untuk bina reban terapung itu beberapa hari lalu. Alhamdulillah setakat ini, semua ayam denak pok sihat walaupun hujan agak lebat sejak kebelakangan ini.

"Kerana sayangkan ayam denak, pok sanggup tak tidur kat tempat lain (Pusat Pemindahan Sementara). Lagipun rumah pok dua tingkat (bawah struktur batu dan tingkat atas struktur kayu), bila tingkat bawah dinaiki air 1.5 meter, pok dan isteri, Fatimah Saleh, 58, pindahkan tempat tidur dan dapur ke tingkat atas, Insyaallah selamat setakat ini," katanya kepada pemberita.

Jarak PPS ke rumah Abu Bakar hanya 200 meter menyebabkan warga emas itu berani terus tinggal di rumahnya kerana jika berlaku sebarang kecemasan, beliau boleh berpindah ke PPS tersebut dengan cepat kerana turut memiliki sebuah bot fibre dengan engin sangkut.

Abu Bakar berkata beliau tidak boleh meninggalkan ayam denaknya tanpa sebarang pengawasan kerana bimbang dicuri orang dan setiap kali mahu pergi ke mana-mana destinasi, beliau akan memastikan anaknya tinggal di rumah itu untuk menjaga ayam denak tersebut, dan 11 ekor kucingnya yang turut ditempatkan di dalam reban itu.

"Masa banjir Pok juga guna bot ni untuk tahan pukat dan jual ikan lampam, ikan baung dan ikan lain kepada penduduk kampung sekitar.

"Walaupun tahu rumah pok ini berisiko banjir setiap tahun kerana terletak di kawasan rendah, pok tak kisah kerana sudah selesa tinggal di sini kerana inilah tanah kelahiran asal pok," katanya.

-- BERNAMA

Thursday, December 13, 2018

GHAZALIE ANSING DESAK ZAHID LETAK JAWATAN

KOTA KINABALU, 13 Dis (Bernama) -- Pemuda UMNO Sabah mendesak presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi segera meletakkan jawatan kerana didakwa hilang penguasaan terhadap parti dan tidak lagi dihormati oleh pemimpin dan ahli.

Naib ketuanya, Ghazalie Ansing berkata, sekiranya enggan meletak jawatan secara sukarela, Pemuda UMNO Sabah akan memohon kepada Majlis Tertinggi (MT) parti supaya mendesak Ahmad Zahid berbuat demikian.

“Selain itu, saya juga melihat presiden cuba membuat parti ini sebagai perisai untuk menyelamatkan diri daripada kes yang dihadapi beliau di mahkamah, “katanya dalam kenyataan hari ini.

Wednesday, December 12, 2018

TERENGGANU BAKAL WUJUDKAN PUSAT REKREASI WANITA



MARANG, 12 Dis (Bernama) -- Terengganu bakal mewujudkan pusat rekreasi khas bagi wanita tahun hadapan untuk memberi keselesaan kepada golongan itu menjalankan aktiviti sukan dan senamrobik secara berasingan dengan kaum lelaki.

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor berkata perkara itu telah dibincangkan bersama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah dan dijangka diwujudkan di setiap Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN).

Beliau berkata ia susulan permintaan daripada golongan wanita di negeri ini yang mahukan pusat rekreasi khas dibina bagi mengelakkan percampuran dengan kaum lelaki terutama yang bukan mahram.

"Alhamdulillah, pada pembentangan belanjawan negeri 2019 bulan lalu, Menteri Besar (Dr Ahmad Samsuri Mokhtar) ada mengumumkan tentang rancangan mewujudkan fasiliti rekreasi wanita ini tetapi belum diperincikan lagi dari segi kos dan sebagainya.

"Pusat ini mungkin akan dibina baru atau kita menambah baik bangunan atau tempat lama tetapi dibuat secara tertutup. Dengan adanya pusat ini golongan wanita bebas melakukan aktiviti seperti senamrobik, menari zumba dan sebagainya tanpa segan-segan tidak seperti gimnasium atau pusat rekreasi yang terbuka untuk semua seperti sekarang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mewakili Ahmad Samsuri menyampaikan agihan bantuan persekolahan berupa sepasang pakaian seragam, beg dan kasut sekolah kepada 1,014 pelajar DUN Rhu Rendang, di sini hari ini.

-- BERNAMA

Tuesday, December 11, 2018

TERENGGANU BANTU HIDUPKAN SEMULA SENI KAIN TELEPUK

KUALA TERENGGANU, 11 Dis (Bernama) – Kerajaan negeri Terenggganu akan membantu usaha tokoh pengukir terkenal Malaysia, Norhaiza Noordin yang mahu menghidupkan semula seni penghasilan kain telepuk yang sudah pupus di negara ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata perincian bantuan itu akan diputuskan setelah mengadakan perbincangan lanjut bersama pengukir tersebut tidak lama lagi.

"Kain telepuk adalah antara koleksi yang dipamerkan beliau sempena Pameran Menelusuri Karya Seni Norhaiza Noordin di Kompleks Muzium Negeri Terengganu yang bermula 1 Dis lalu,"katanya.

Monday, December 10, 2018

EPIC IKRAR BEBAS RASUAH



KEMAMAN - Bagi memelihara imej bersih daripada rasuah untuj menarik keyakinan pelabur, Kumpulan Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (Epic) turut melafaz dan menandatangani ikrar bebas rasuah (IBR) bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Inisiatif yang diambil Kumpulan Epic itu sekali gus menjadi IBR ke-100 yang dilafaz dan ditandatangani sepanjang tahun ini di Terengganu selepas ia sebelum ini ditandatangani agensi kerajaan, swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).


Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Epic, Noor Fadzil Mohamed Nor berkata, langkah itu sebagai menyahut seruan kerajaan untuk memberi keutamaan kepada nilai integriti.

"Ini adalah tanda sokongan dan komitmen Epic sebagai sebuah anak syarikat Terengganu dalam membanteras gejala rasuah dan salah guna kuasa serta mewjudkan perkhidmatan yang adil dan telus.


"Di samping itu, ia juga seiring dengan teras utama Rancangan Perniagaan Epic 2019-2023 iaitu menerima pakai amalan terbaik dalam pengurusan perniagaan tadbir urus dalam menuju ke arah kemampanan dan kredibiliti syarikat di masa kini dan akan datang," katanya.

Seramai 70 kakitangan kumpulan Epic terdiri daripada 9 anak syarikat melafaz ikrar itu dengan diketuai Noor Fadzil pada majlis yang diadakan di Darul Iman Training Centre (DITC) Teluk Kalong, hari ini.

Lafaz ikrar dan proses menandatangani ikrar itu disaksikan Pengarah SPRM Negeri Terengganu, Ketua Penolong Kanan Pesuruhjaya Mohd Zaki Hassan.

Noor Fadzil berkata, majlis itu julung kali dianjurkan Epic bersempena Hari Anti-Rasuah Sedunia yang disambut pada 9 Disember setiap tahun.

Tambahnya, kerjasama antara Epic dan SPRM dalam menjayakan majlis itu juga merupakan salah satu usaha meningkatkan nilai integriti serta melahirkan modal insan yang lebih bertanggungjawab, amanah dalam setiap aspek tugasan dan seterusnya memberi nilai tambah kepada syarikat.

"Kita mahu imej bersih untuk menyakinkan pelabur untuk datang melabur di syarikat kita.

"Sebagai badan korporat, memang tumpuan kita menjurus kepada keuntungan tetapi pada dalam usaha kita memaksimumkan keuntungan dan mengurangkan kos, aspek integriti diberi keutamaan," katanya.

Kumpulan Epic yang ketika ini mempunyai seramai kira-kira 1,300 kakitangan mencatat pendapatan sebanyak RM270 juta pada tahun lalu.












Kata Noor Fadzil, pendapatan yang diperoleh itu dijangka meningkat sedikit kepada RM295 juta sehingga akhir bulan ini, iaitu peningkatan sebanyak RM25 juta walaupun keadaan ekonomi yang masih belum stabil.

Sunday, December 9, 2018

TONY FERNANDES TAJA TIKET PENERBANGAN PERCUMA KE MEKAH

KUALA NERUS, 9 Dis (Bernama) -- Rezeki tidak pernah salah alamat.

Demikian yang terjadi ke atas seorang pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Muhammad Rizqi Saipul Nizam, 18, apabila menerima tiket penerbangan percuma ke Tanah Suci menerusi Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes.

Lebih menarik Fernandes bukan sahaja menghadiahkan tiket untuknya tetapi juga kepada ibu bapa Muhammad Rizqi iaitu Saipul Nizam Jusoh, 44, dan Mariam Daud, 44.

Saturday, December 8, 2018

MALAIKAT MANA YANG BUAT SILAP MAHATHIR?

PETALING JAYA, 8 Dis (Bernama) – Tun Dr Mahathir Mohamad tidak akan menghadiri program sambutan Hari Hak Asasi Manusia anjuran Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) di Padang Timur, di sini, esok.

Perdana Menteri berkata agak mustahil untuk beliau menghadiri sambutan tersebut kerana perbezaan pendirian antara kerajaan Pakatan Harapan (PH) pimpinannya dan Suhakam berhubung Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

“Saya sudah memutuskan bahawa kerajaan tidak akan menerima ICERD. Suhakam pula mahu ICERD diterima...jadi macam mana saya boleh pergi,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden PH di Menara Yayasan Selangor, di sini, hari ini.

Perhimpunan sempena Hari Hak Asasi Manusia Antarabangsa 2018 itu pada asalnya dijadual berlangsung hari ini dengan Dr Mahathir dijemput Suhakam sebagai tetamu khas, namun ditangguhkan ke esok atas nasihat pihak berkuasa.

Hari ini juga menyaksikan penganjuran perhimpunan berasingan bagi menolak ICERD di ibu negara yang turut disifatkan penganjurnya sebagai perhimpunan menzahirkan 'kesyukuran' atas keputusan kerajaan untuk tidak meratifikasi ICERD.

Pada 23 Nov lalu, Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata kerajaan PH tidak akan meratifikasi ICERD dan akan terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan di mana termaktub kontrak sosial dipersetujui wakil semua kaum ketika pembentukan negara ini.

Bagaimanapun, Suhakam dalam kenyataan pada 27 Nov lalu, menyebut ia kecewa dengan keputusan kerajaan.

Dr Mahathir seterusnya berkata sambutan anjuran Suhakam itu dipinda ke esok kerana polis tidak mempunyai anggota mencukupi untuk mengawal dua perhimpunan jika diadakan pada hari sama.

“Bukan kita larang ada demonstrasi. Tidak. Demonstrasi boleh ada tetapi kita minta supaya ditangguh ke hari lain supaya polis tidak tertekan kerana pegawai mereka tidak cukup untuk mengawasi perhimpunan yang besar-besar,” katanya.

Namun bila ditanya sama ada beliau akan menyertai perhimpunan di ibu negara itu, Dr Mahathir berkata: “Tidak. Saya dah bersyukur cukup dah. Saya buat satu keputusan yang baik, saya bersyukur saya boleh buat keputusan yang terbaik,” katanya.

Mengenai persepsi bahawa pentadbiran PH sebagai kerajaan 'pusingan u’ kerana sering menarik balik beberapa keputusan, Dr Mahathir berkata kadang-kadang kerajaan terpaksa berbuat demikian apabila menuju ke jalan yang salah.

“Kita bukan manusia sempurna walaupun sebahagian daripada kita adalah ‘malaikat’ tetapi kadang-kadang ‘malaikat’ pun melakukan kesilapan. Jadi apabila 'malaikat’ buat silap, mereka berpatah balik,” katanya.

Mengenai keputusan Kabinet menangguhkan skim Potongan Gaji Berjadual (PGB) bagi peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Perdana Menteri berkata kerajaan akan mengubah mekanisme berkenaan selepas mengambil kira pendangan orang ramai dan peminjam.

Ditanya sama ada polisi berhubung pembayaran PTPTN dibuat tanpa konsultasi sepatutnya, beliau berkata banyak pihak tidak membantu dalam memberikan cadangan dan maklumat.

"Sebelum kita umum, mereka tak beritahu, sebab itu bila kita umum ada banyak pula yang tidak puas hati. Tapi untuk kita nak tanya 33 juta orang susah sikitlah. Jadi bila mereka beri reaksi negatif, kita buat pertimbangan,” kata Dr Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Turut hadir pada sidang media itu Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden PH, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, yang juga Timbalan Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo.

-- BERNAMA