Showing posts with label zuraida md noor. Show all posts
Showing posts with label zuraida md noor. Show all posts

Wednesday, December 12, 2018

TERENGGANU BAKAL WUJUDKAN PUSAT REKREASI WANITA



MARANG, 12 Dis (Bernama) -- Terengganu bakal mewujudkan pusat rekreasi khas bagi wanita tahun hadapan untuk memberi keselesaan kepada golongan itu menjalankan aktiviti sukan dan senamrobik secara berasingan dengan kaum lelaki.

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor berkata perkara itu telah dibincangkan bersama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah dan dijangka diwujudkan di setiap Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN).

Beliau berkata ia susulan permintaan daripada golongan wanita di negeri ini yang mahukan pusat rekreasi khas dibina bagi mengelakkan percampuran dengan kaum lelaki terutama yang bukan mahram.

"Alhamdulillah, pada pembentangan belanjawan negeri 2019 bulan lalu, Menteri Besar (Dr Ahmad Samsuri Mokhtar) ada mengumumkan tentang rancangan mewujudkan fasiliti rekreasi wanita ini tetapi belum diperincikan lagi dari segi kos dan sebagainya.

"Pusat ini mungkin akan dibina baru atau kita menambah baik bangunan atau tempat lama tetapi dibuat secara tertutup. Dengan adanya pusat ini golongan wanita bebas melakukan aktiviti seperti senamrobik, menari zumba dan sebagainya tanpa segan-segan tidak seperti gimnasium atau pusat rekreasi yang terbuka untuk semua seperti sekarang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mewakili Ahmad Samsuri menyampaikan agihan bantuan persekolahan berupa sepasang pakaian seragam, beg dan kasut sekolah kepada 1,014 pelajar DUN Rhu Rendang, di sini hari ini.

-- BERNAMA

Thursday, November 29, 2018

KENAPA TAK LANTIK ENAM ORANG SEKALI GUS ADUN DILANTIK?



KUALA TERENGGANU, 29 Nov (Bernama) – Setiausaha Dewan Muslimat PAS Kawasan Kuala Terengganu Zuraida Md Noor hari ini mencatat sejarah apabila dilantik sebagai Anggota Dewan Undangan (ADUN) wanita pertama di negeri itu.

Pelantikan Zuraida yang dibuat pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu ke-14 hari ini adalah selaras Fasal 27(2) Undang-Undang Kerajaan Terengganu.

Di bawah undang-undang yang diluluskan pada era pemerintaah kerajaan PAS pada tahun 1999-2004, menyatakan sekiranya tidak ada dalam DUN wakil daripada kaum wanita dan juga kaum bukan Islam, Dewan boleh lantik seramai tidak lebih empat orang (bagi menjaga kepentingan golongan itu).

Ini membolehkan Zuraida dilantik sebagai ADUN tanpa melalui proses pilihan raya dan tidak memegang sebarang kawasan DUN.

Terdahulu, usul pelantikan Zuraida dikemukakan oleh ADUN Paka Satiful Bahri Mamat hari ini dan diterima sebulat suara oleh semua anggota dewan sebelum beliau mengangkat sumpah sebagai ADUN di hadapan Speaker DUN, Yahaya Ali pada persidangan yang berakhir hari ini.

Ulasan saya, saya pernah menulis hal ini dalam blog ini pada 18 Julai lalu lihat http://todayterengganu.blogspot.com/2018/07/terengganu-boleh-laksanakan-enam-orang.html. Sebab itu saya hairan kenapa tak lantik enam orang sekaligus ADUN dilantik yang juga boleh ambil tokoh Cina, veteran dan pemuda serta wakil NGO.

Pada 14 Ogos dalam blog ini saya mengulas kenyataan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Haji Yahaya Ali yang menyebut kemungkinan ADUN wanita akan dilantik. Lihat http://todayterengganu.blogspot.com/2018/08/perkara-27-fasa-2-enakmen-1999-bukan.html.

Alang alang nak lantik ADUN, maka lantiklah lima orang lagi biar cukup kuota ADUN dilantik. Biar semua ada suara dalam Dewan Undangan Negeri iaitu wakil wanita, wakil veteran, wakil pemuda, wakil bukan Islam, wakil NGO dan wakil profesional.