Friday, September 7, 2018

SIAPA NYANYUK: LIM KIT SIANG ATAU HANIF OMAR?




KUALA LUMPUR:Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang memberi tempoh selama 48 jam kepada bekas ketua polis negara, Tan Sri Hanif Omar untuk membuktikan beliau mencadangkan supaya semenanjung Malaysia dibahagi dua dengan Pantai Barat diserahkan kepada kaum Cina.

Lim berkata, dakwaan Hanif bahawa beliau membuat kenyataan itu selepas berlaku rusuhan kaum pada 1969 hanya sekadar rekaan bekas ketua polis itu dan merupakan agenda untuk memburukkan beliau dan DAP.

"Saya minta supaya Hanif memetik bab dan rangkap, tarikh dan masa, di mana saya membuat cadangan mengarut seumpama itu. Jika maklumat itu diklasifikasikan sebagai rahsia rasmi, maka ia harus dinyahkan daripada status itu.

"Saya memberi Hanif tempoh selama dua hari untuk memberi respons terhadap cabaran ini atau rakyat Malaysia akan membuat kesimpulan bahawa beliau sudah nyanyuk atau mempunyai agenda tersembunyi untuk memburuk-burukkan saya dan DAP dengan penipuan sebegitu.

"Saya akan mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang selepas tamat tempoh dua hari tersebut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Anggota Parlimen Iskandar Puteri itu menegaskan beliau tidak berada di Kuala Lumpur antara 10 Mei 1969 sehingga pada hari penahanannya.

Menurut Lim, beliau merupakan pemimpin politik yang paling banyak dimomokkan sepanjang separuh abad lalu termasuk dituduh menjadi komunis, dalang rusuhan 13 Mei, anti-Melayu dan anti-Islam.

"Namun semua pembohongan, kepalsuan dan tindakan memburuk-burukkan ini tidak terbanding dengan cerita temberang Hanif yang mendakwa kononnya saya mahu Malaysia terbahagi kepada dua bahagian selepas PRU Mei 1969," katanya.

Lim menjawab laporan sebuah akhbar yang memetik Hanif sebagai berkata bahawa beliau terpaksa memenjarakan Lim demi menjaga keharmonian negara selepas berlaku rusuhan kaum pada 13 Mei 1969.

Bagaimanapun, Hanif  tidak secara khusus menamakan Lim sebagai individu yang mencadangkan agar semenanjung Malaysia dibahagi dua selepas tragedi hitam itu.

“Masa itu Parti Perikatan bentuk Barisan Nasional sebab pada masa itu negara kita hampir hancur. DAP pula minta Malaya dibahagi kepada dua.

“Pantai Timur kepada Melayu dan Pantai Barat kepada Cina. Jadi jawapan saya macam mana? Saya masukkan Lim Kit Siang dalam penjara.

“Dua tahun dia dalam tu. Itu cara dia, cara Hanif ambil tindakan semasa menjadi ketua polis negara,” ujar Hanif seperti dilapor Sinar Harian.

Lim dalam kenyataannya mempersoalkan dari sumber mana Hanif mendapat maklumat tersebut.

Kata Lim, Hanif bukan ketua polis negara ketika beliau ditahan buat pertama kali di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 18 Mei 1969.

Hanif berkhidmat sebagai ketua polis negara dari tahun 1974 hingga 1994, manakala Lim dibebaskan pada tahun 1970. BN pula hanya dibentuk pada tahun 1973.

"Ini kali pertama saya dengar bahawa beliau adalah orang yang bertanggungjawab terhadap penahanan saya mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960.

"Ini juga adalah kali pertama saya mendengar mengenai cadangan untuk memisahkan Semenanjung Malaysia kepada dua bahagian.

"Jika saya pernah membuat cadangan sebegitu, ia tidak akan terperap lama sehingga separuh hampir abad, kerana sudah pasti akan digunakan oleh musuh saya untuk memburuk-burukkan saya," kata Lim.

Thursday, September 6, 2018

BATALKAN TALIAN NOMBOR TELEFON AH LONG

KUALA LUMPUR, 6 Sept (Bernama) -- Pihak berkuasa perlu mengambil langkah penguatkuasaan bagi melumpuhkan medium komunikasi ceti haram atau ah long untuk mengelak masyarakat terjebak permasalahan akibat meminjam wang dengan mereka, menurut Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).

Pengarah Unit Banteras Ceti Haram PPIM Zharif Johor berkata pihaknya menerima 11,650 aduan berkaitan ah long sejak 2015 daripada pengadu berusia antara 18 hingga 70 tahun.

“Kerajaan perlu melumpuhkan medium komunikasi dan promosi perkhidmatan ah long dengan memastikan poster iklan pinjaman ah long tidak wujud dan membatalkan talian nombor telefon yang dipamerkan menerusi iklan itu selain menangkap mereka dalam usaha membanteras kegiatan ah long,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas menjadi tetamu pada program Ruang Bicara Khas, Gerakkan Kuasa Pengguna terbitan Bernama News Channel bertajuk ‘Ah Long, Bukan Mahu Tolong?’ di sini, malam tadi.

Turut hadir Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan dan bekas ah long yang juga Pengarah Operasi Unit Banteras Ceti Haram PPIM Azman Kang.

Zharif berkata pihaknya percaya langkah berkenaan mampu mengatasi masalah itu berikutan ah long tidak mempunyai pejabat untuk berurusan dan hanya berhubung dengan peminjam menerusi talian telefon serta mengiklankan perhidmatan mereka menerusi poster yang ditampal di tempat awam.

Beliau berkata berdasarkan statistik, sebanyak 65 peratus pengadu yang mempunyai masalah dengan ah long adalah disebabkan berjudi, diikuti meminjam wang untuk membantu kawan yang mempunyai masalah kewangan, ingin gaya hidup mewah, membeli dadah selain berkahwin.

Katanya PPIM berperanan mendidik masyarakat tentang bahaya ah long dan membantu menyelesaikan aduan berkaitan ah long dari segi rundingan, menetapkan jumlah tuntutan dan menyusun semula pembayaran balik peminjam.

Sementara itu, Azman menzahirkan kekesalan beliau menjadi seorang ah long seawal usia 20 tahun pada 1996.

Azman, 43, atau lebih dikenali sebagai ‘Ah Soon Gila’ semasa bergiat aktif dengan kegiatan ah long berkata beliau mula terjebak dengan aktiviti haram itu semata-mata ingin mendapatkan pulangan wang yang banyak dengan mudah.

“Pada mulanya kawan saya yang terjebak dengan pinjaman ah long tetapi ah long mencari saya untuk menuntut bayaran balik pinjaman kawan saya itu tetapi saya tidak dapat membayarnya.

“Sejak peristiwa itu, saya pula menjadi ah long kerana melihat pada jumlah wang yang perlu dibayar semula oleh peminjam terlalu banyak… tetapi wang itu tidak berkat,” katanya yang memeluk Islam pada 2003.

Menceritakan antara pengalaman sebagai ah long seperti menyimbah cat, mengancam peminjam dan bergaduh dengan kumpulan ah long lain yang bersaing kawasan merupakan perkara biasa yang pernah dilakukannya selama kira-kira 10 tahun terlibat dalam aktiviti itu.

Katanya beliau mula tersedar untuk berhenti daripada terus melakukan kegiatan ah long apabila ditangkap dan dinasihat oleh Nadzim pada 2006.

Azman yang berasal daripada Taiping, Perak mengakui bukan mudah untuk berubah apabila beliau kemudian kembali menjalankan kegiatan ah long tidak lama selepas itu sehingga kembali insaf atas sebab yang enggan didedahkan dan menyertai PPIM pada 2015.

-- BERNAMA

Wednesday, September 5, 2018

MESYUARAT PERTAMA MAJLIS TINDAKAN SARA HIDUP NEGARA HUJUNG BULAN INI

KUALA LUMPUR, 5 Sept (Bernama) -- Majlis Tindakan Sara Hidup Negara akan mengadakan mesyuarat pertamanya pada hujung bulan ini, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Saifuddin Nasution Ismail

Beliau berkata mesyuarat, yang akan dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. dijadual membincangkan enam kluster yang menyumbang kepada peningkatan kos hidup rakyat iaitu berkaitan makanan, perumahan, utiliti, kesihatan, pendidikan dan pengangkutan.

"Bidang yang merupakan penyumbang utama kos hidup iaitu makanan, perumahan, utiliti dan pengangkutan memakan banyak perbelanjaan rakyat, sekali gus meningkatkan kos sara hidup.

Majlis itu akan memperhalusi kesemua perkara yang menyumbang kepada kos sara hidup," katanya semasa menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong bagi kementerian pada persidangan Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata satu pelan tindakan akan digubal hasil daripada mesyuarat itu dan jika ia berkaitan dengan kluster tertentu, kementerian yang berkaitan bertanggungwab untuk mengambil tindakan selanjutnya.

Mengenai perkembangan semasa Ops Catut 5.0 yang diadakan sejajar dengan pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bermula 1 Sept, Saifuddin Nasution berkata sebanyak 3,084 premis perniagaan telah diperiksa melibatkan 83,000 barangan disemak.....

Tuesday, September 4, 2018

KRITIKAN HUKUMAN SEBAT BERSIFAT SEMENTARA

KUALA TERENGGANU, 4 Sept (Bernama) -- Kerajaan Terengganu bersikap positif terhadap kritikan segelintir pihak berhubung pelaksanaan hukuman sebat terhadap dua wanita kerana cuba melakukan hubungan seks sejenis, oleh Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu semalam.

Menteri Besar Dr Ahmad Shamsuri Mokhtar berkata beliau percaya ia bersifat sementara dan mereka akan faham bahawa hukuman yang dikenakan itu adalah untuk mendidik pesalah yang terlibat dalam kegiatan Lesbian, Gay, Biseksual, Transgender (LGBT) di negara ini.

"Mereka (masyarakat) kena faham prinsip dan undang-undang yang dilaksanakan itu adalah satu mesej kepada seluruh rakyat Malaysia bahawa amalan seks songsang tidak wajar diamalkan di negeri Terengganu khususnya dan amnya di negara ini yang mempunyai tatasusila dan norma masyarakat yang beragama Islam.

"Jadi, saya percaya jika masyarakat kita melihat hukuman ini dengan objektif, dengan mata hati dan ilmu serta kefahaman dan bukan dengan emosi mereka boleh terima dan lihat keindahan di sebalik hukuman itu berbanding kaedah sivil yang agak tegas," katanya.

Beliau mengulas mengenai kritikan di media sosial tentang pelaksanaan hukuman sebat itu, selepas Majlis Kesyukuran Meraikan Pasukan Piala Presiden TFC III dan Piala Belia TFC IV di sini hari ini.

Monday, September 3, 2018

JANGAN ANAK TIRIKAN PENYOKONG PAS DALAM PROGRAM YPK

MARANG: Pengerusi Persatuan Isteri Wakil Rakyat dan Bekas Wakil Rakyat Terengganu (Khairunnisa'), Tuan Faizah Tuan Abdul Rahman meminta Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPK) tidak menganaktirikan penyokong PAS dalam setiap program YPK.

Katanya, beliau menerima aduan daripada penyokong PAS bahawa mereka tidak diterima untuk belajar menjahit di bengkel jahitan YPK kerana mereka anak penyokong PAS.

"Malah dalam pengambilan guru taska pun mereka ditanya sokong PAS atau BN ketika ditemuduga," kata beliau ketika berucap di majlis lawatan Khairunisa' ke YPK Marang semalam.

Beliau meminta YPK berlapang dada dalam pemilihan pelatih kursus jahitan dan pengambilan kakitangan mereka.

Tuan Faizah yang juga isteri Menteri Besar mengetuai Khairunnisa' melawat YPK Marang. Beliau diiringi Hajah Zarani Othman (isteri Speaker Dewan Undangan Negeri), Zainon Abdul Wahab, Mar Syerah Omar, Hafizah Abd Rahman dan pemimpin muslimat PAS Kawasan Marang.

Turut hadiri majlis tersebut ialah Pengarah YPK, Shafaruddin Mustafa selaku tuan rumah.

Sebelum ini, blog Today Terengganu pada 5 Jun lalu pernah melaporkan 12 sebab kenapa "Pengarah YPK perlu dipecat"   yang mana Shafaruddin didakwa menggunakan YPK berkempen untuk calon BN pada PRU lalu.

Posting tersebut telah dibaca oleh seramai 50,264 orang yang menunjukkan ramai rakyat Terengganu bersetuju kerajaan PAS memecat beliau tetapi sehingga sekarang kerajaan PAS masih mengekalkan beliau sebagai Pengarah YPK.

Sunday, September 2, 2018

RATING TERTINGGI BAGI BULAN OGOS 2018

Posting "Terengganu berharap Putrajaya pertimbang ECRL" yang disiarkan dalam blog Today Terengganu pada 22 Ogos telah mendapat 717 hits. Terima kasih kepada semua pembaca yang masih sudi membaca blog ini.

10 rating tertinggi bagi bulan Ogos 2018 ialah:-

1. Terengganu berharap Putrajaya pertimbang ECRL (22 Ogos) - 717 hits.
2. Melacur melalui wechat ditahan pejabat agama di Kemaman (23 Ogos)
3. Dr Nur Ilyani berhak bersuara kata Syed Saddiq (13 Ogos)
4. Dua lesbian ditangguh hukuman sebat (28 Ogos)
5. RM4,900 yang hilang dipulangkan semula kepada Omar (15 Ogos)
6. Khairy mahu perompak GST dibawa ke mahkamah (9 Ogos)
7. Terengganu perhebat program perkahwinan ibu dan bapa tunggal (15 Ogos)
8. Petani muda raih RM10,000 sebulan (21 Ogos)
9. Sultan Mizan rasmi KTS Hospital (4 Ogos)
10. Perkara 27 Fasa 2 Enakmen 1999 bukan sahaja boleh lantik wanita malah orang China sebagai ADUN ( 14 Ogos)

Saturday, September 1, 2018

SST BERJALAN LANCAR DENGAN ADUAN HARGA MAKANAN DI RESTORAN SELURUH NEGARA

KULIM, 1 Sept (Bernama) -- Pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang bermula hari ini secara keseluruhannya berjalan lancar, kecuali berkaitan aduan harga makanan di restoran-restoran di seluruh negara.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata bagaimanapun aduan berkenaan telah ditangani dengan baik oleh pegawai kementerian berkenaan dan beliau sendiri.

"Adalah dijelaskan restoran-restoran berkenaan boleh mengenakan SST dan hasil siasatan kita berdasarkan resit, harga yang dikeluarkan adalah betul dan bukan kedai itu sengaja menaikkan harga seperti dakwaan.

"Saya telah mengarahkan Majlis Harga Barang Negara bersama lebih 1,000 pemantau harga agar memberikan tumpuan di kedai-kedai makanan untuk memastikan tidak ada pengusaha perniagaan yang membuat penipuan dan sebagainya," katanya dalam sidang akhbar mengenai Penguatkuasaan Pencatutan di Bawah Operasi Catut 5.0 di sini, hari ini.

Sebelum itu Saifuddin bersama pegawainya membuat lawatan di sebuah syarikat penyelenggaraan kenderaan jenama Toyota di sini.

Turut hadir Pengarah Bahagian Penguatkuasaan KPDNHEP Datuk Mohd Roslan Mahayuddin, Pengarah Kastam Kedah, Datuk Johari Alifiah dan Pengarah KPDNHEP Kedah Mohamed Fitri Hassan.

Saifuddin berkata mulai hari ini pihaknya akan melaksanakan Operasi Catut 5.0 di seluruh negara yang merupakan kesinambungan daripada pelaksanaan Operasi Catut 4.0 yang mula digerakkan pada 1 Jun lalu.

"Tindakan ini kita jalankan melalui pemeriksaan, pemantauan dan penguatkuasaan di semua rantaian perniagaan di seluruh negara dengan memberikan tumpuan kepada tindakan ketidakpatuhan ke atas undang-undang yang dikuatkuasakan oleh kementerian," katanya.

Antaranya perbuatan mencatut atau mengambil keuntungan tinggi yang tidak munasabah di bawah Seksyen 14(1) Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, adalah penandaan harga, petunjuk atau gambaran mengelirukan mengenai harga serta pengeluaran resit atau invois belian.

Selain itu, mulai hari ini kementerian itu membuka Bilik Gerakan dan beroperasi sehingga jam 10 malam bermula pukul 7 pagi yang bertujuan memudahkan pengguna membuat aduan dan pertanyaan melalui talian bebas tol 1-800-886-800.

Kementerian turut menyediakan pelbagai saluran aduan yang lain iaitu di portal rasmi KPDNKK, emel http://eaduan.kpdnkk.gov.my, SMS ke 15888 dengan menaip KPDNKK ADUAN, aplikasi telefon pintar EzAdu KPDNKK serta di media sosial Twitter dan Facebook KPDNKK.

"Bagaimanapun aduan itu mestilah jelas seperti butiran nama, alamat tempat yang diadu, butiran barangan dan harga serta resit pembelian untuk memudahkan kita membuat siasatan," katanya.

Beliau menjelaskan peranan KPDNHEP dalam pelaksanaan SST ini bertujuan menangani aktiviti pencatutan dan manipulasi harga dengan memastikan tidak berlaku kenaikan harga barangan secara tidak terkawal terutamanya yang melibatkan stok-stok sedia ada semasa GST 0 peratus.

Sementara itu, beliau berkata kementerian akan memperkenalkan rang undang-undang mengawal harga caj perkhidmatan penyelenggaraan kenderaan tidak lama lagi agar servis penyelenggaraan tidak dimanipulasi sehingga ia membebankan pengguna.

-- BERNAMA