Saturday, July 7, 2018

SAIFUDDIN PERTAHAN HASIL KAJIAN KPDNHEP

GEORGE TOWN, 7 Julai (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mempertahankan hasil kajian pihaknya yang mendapati 70 peratus barangan pengguna mengalami penurunan harga sejak pelaksanaan kadar sifar Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) 1 Jun lepas.

Menterinya Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata selain pemantauan oleh penguat kuasa KPDNHEP selama sebulan, beliau sendiri dimaklumkan mengenai perkara itu oleh peniaga ketika melakukan tinjauan termasuk di Pasar Bayan Baru, di sini pagi ini.

"Penguat kuasa KPDNHEP telah buat tinjauan di 1,688 premis membabitkan 417 pelbagai barangan yang selalu digunakan pengguna antaranya barangan basah, kering serta keperluan bayi dan 70 peratus daripadanya turun 0.04 hingga 13 peratus.

"Dalam tinjauan saya hari ini, peniaga turut mengakui harga barangan menyaksikan penurunan sama seperti tinjauan yang dibuat di peringkat kementerian sebelum ini," katanya selepas melawat Pasar Bayan Baru, dekat sini hari ini.

Sebelum ini, pelbagai pihak mempersoalkan kenyataan Saifuddin Nasution mengenai penurunan harga barangan bagi tempoh 1 hingga 30 Jun lalu termasuk Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan yang mendesak Saifuddin mendedahkan laporan kajian itu supaya rakyat dapat membuat perbandingan dengan realiti harga di pasaran.

Katanya peniaga juga mengakui ada penurunan harga barangan yang dibeli daripada pemborong dan mereka boleh tawarkan harga lebih murah kepada pembeli.

Saifuddin Nasution yang juga wakil rakyat Parlimen Kulim Bandar Baharu berkata tinjauan yang dilakukan juga mendapati kesediaan untuk berbelanja dalam kalangan pembeli menunjukkan peningkatan berbanding sebelum ini berikutan harga barangan yang lebih murah.

"Saya tanya peniaga-peniaga, mereka maklumkan orang ramai kini semakin berani untuk berbelanja selepas GST pada kadar sifar dan trend berbelanja meningkat, saya percaya maklum balas itu munasabah kerana peniaga lebih mengenali tabiat pembeli," katanya.

Sementara itu, beliau berkata sebanyak 4,000 aduan diterima KPDNHEP sepanjang bulan lepas dan lebih 50 peratus daripadanya berkisar pada harga barangan tidak berubah malah ada yang meningkat selepas GST pada kadar sifar.

"Jumlah aduan bulan lepas meningkat banyak berbanding bulan Mei dan semua aduan itu diterima melalui e-portal, talian hotline serta laman web KPDNKEP. Berdasarkan aduan, kami dapati banyak berkaitan harga makanan dan minuman yang meningkat di restoran, kedai makan serta medan selera. Penguat kuasa kami mengambil tindakan segera dengan membuat pemeriksaan," katanya.

-- BERNAMA

Friday, July 6, 2018

RINA HARUN HADIRI MAJLIS HARI RAYA RISDA






KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Luar Bandar walau sesibuk mana menjalankan tugas di kementerian itu masih tetap berkelapangan menghadiri majlis sambutan hari raya aidilfitri anjuran RISDA pada Khamis lalu.

Rina Mohd. Harun yang baru dilantik mengetuai kementerian itu amat ramah dan sentiasa menguntum senyuman sebaik melangkah kaki ke agensi berkenaan yang terletak di Jalan Ampang pada Khamis lepas.

Dalam ucapan ringkasnya pada majlis tersebut, beliau mengingatkan kepada kakitangan agensi tersebut supaya dapat bersama-sama kerajaan pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad iaitu Perdana Menteri ini dalam membangunkan negara yang disayangi ini.

Beliau turut menyampaikan sumbangan kepada beberapa pertubuhan yang diundang oleh RISDA.

Pelbagai juadah dihidangkan kepada tetamu seperti lemang, ketupat, rendang serta pelbagai lagi yang enak-enak belaka.

Menariknya rumah terbuka ini ialah kesemua anak syarikat RISDA seperti RISDA Fleet dan RISDA Estet mengambil bahagian dengan menyajikan pelbagai juadah enak dan menyelerakan.

Turut mengiringi Rina ialah Ketua Pengarah RISDA, Datuk Datuk Wan Ahmad Shabri Zainuddin Wan Mohamad

Thursday, July 5, 2018

IBU TUNGGAL TERENGGANU PALING RAMAI DI KEMAMAN SERAMAI 5,279 ORANG

KUALA TERENGGANU, 4 Julai (Bernama) -- Nasib 32,411 ibu tunggal di seluruh Terengganu terus terbela apabila kerajaan negeri bersedia meningkatkan taraf kehidupan mereka menerusi bimbingan ekonomi dan kemahiran diri, perundangan, kekeluargaan serta kesihatan dan kemasyarakatan.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata terdapat dua kompleks khas untuk golongan itu menjalankan pelbagai aktiviti bersesuaian iaitu Bangunan Ibu Tunggal di Kampung Serdang Baru di Kuala Nerus dan Kompleks Ibu Tunggal di Chendering.

Katanya kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) juga akan terus membantu ibu tunggal termasuk membantu mereka dari segi pembiayaan perniagaan.

"Contohnya, program Pinjaman Jaya Diri (PJD) telah memperuntukkan sebanyak RM474,000 bagi membantu 52 ibu tunggal menceburkan diri dalam bidang perniagaan, dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini."

"Kebanyakan mereka menjalankan perniagaan dalam bidang kecantikan, pakaian dan perusahaan makanan," katanya menjawab soalan lisan tambahan Alias Harun (PAS-Rantau Abang) yang ingin tahu langkah kerajaan negeri membela nasib ibu tunggal dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14 di sini hari ini.

Beliau berkata daripada 32,411 ibu tunggal itu, daerah Kemaman merekodkan jumlah tertinggi iaitu seramai 5,279 orang diikuti 4,768 di Besut, Marang (4,305), Dungun (4,182), Kuala Terengganu (3,925), Kuala Nerus (3,658) Setiu (3,307) dan Hulu Terengganu (2,987).

"Daripada jumlah itu seramai 28 orang ibu tunggal berumur di bawah 20 tahun manakala 2,010 orang (21 hingga 30 tahun), 4,783 orang (31 hingga 40 tahun), 6,506 orang (41 hingga 50 tahun), 9,556 orang (51 hingga 60 tahun) dan 9,528 orang di atas 61 tahun," katanya.

Sementara itu ketika sidang media Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata kerajaan negeri memerlukan lebih RM63 juta untuk menyiapkan lima lagi pakej projek pembinaan Zon Bebas Cukai di Pulau Bayas dekat Tasik Kenyir, Hulu Terengganu.

Katanya setakat 31 Oktober tahun lalu, projek itu hanya siap 77.53 peratus dengan perbelanjaan sebanyak RM144 juta.

"Sepatutnya semua projek ini sudah siap dengan peruntukan asal sebanyak RM207 juta. Kerajaan negeri tidak boleh beri jaminan dapat menambah duit itu dalam masa terdekat kerana kami akan tengok dulu keadaan kewangan negeri."

"Namun, jika kita mampu dari segi kewangan, kita akan teruskan sahaja projek ini sebab ia sudah siap 77 peratus, takkan kita nak berhentikan sahaja...ini akan membazirkan duit rakyat. Bila semuanya sudah siap, kerajaan negeri akan cari operator yang berpotensi dalam menguruskan kawasan bebas cukai ini sebagai pemangkin ekonomi negeri," katanya.

Terdahulu, menjawab soalan lisan Hishamuddin Abdul Karim (PAS-Tepuh) berkenaan status terkini pembangunan zon bebas cukai di Pulau Bayas, Tasik Kenyir itu, beliau berkata hanya satu daripada enam pakej telah berjaya disiapkan setakat ini.

"Antara pakej yang masih belum siap ialah kerja menyiapkan bangunan terminal utama jeti penumpang dan kerja berkaitan di Pulau Bayas iaitu hanya 80.84 peratus siap, pusat beli belah dan kerja pembangunan KTC (55.04 peratus), menyiapkan pencawang elektrik, sistem agihan bekalan tinggi dan rendah (50 peratus)."

"Kemudiannya kerja pembinaan jalan servis pendaratan bot, paip air kumbahan dan kerja berkaitan (99.44 peratus) dan sistem rawatan air dan kumbahan serta kerja berkaitan di Pulau Bayas (79.9 peratus)," katanya.

-- BERNAMA

Wednesday, July 4, 2018

SIDANG MEDIA PEGUAM NEGARA GUNA BAHASA INGGERIS JADI KECOH

KUALA LUMPUR, 4 Julai (Bernama) -- Suasana di lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur kecoh sebentar apabila kumpulan penyokong Datuk Seri Najib Razak mendesak Peguam Negara Tommy Thomas mengadakan sidang media dalam bahasa Melayu.

Mereka melaungkan 'Melayu' dan 'Hidup Najib' sehingga menyebabkan sidang media oleh Peguam Negara itu terganggu dan seterusnya dipindahkan ke tingkat 5 bangunan itu.

Seorang petugas media yang berang dengan provokasi penyokong Najib yang mengganggu sidang media itu berteriak kepada kumpulan terbabit; "Kami tunggu dah berapa jam, korang bising!

Antara penyokong Anggota Parlimen Pekan itu yang melakukan provokasi dan kekecohan adalah pelakon Ellie Suriaty, yang diberi amaran oleh polis. Ellie dan beberapa individu lagi kemudiannya dibawa keluar daripada lobi mahkamah itu oleh polis.

Sebelum itu polis telah memberi amaran kepada timbalan ketua UMNO Bahagian Putrajaya Tun Faisal Ismail Aziz kerana menimbulkan provokasi dengan melaung "Hidup Najib" apabila bekas perdana menteri itu memasuki kompleks mahkamah.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP R. Munusamy berkata tiada sebarang tangkapan dibuat berhubung kekecohan itu dan polis membawa mereka yang terbabit ke luar perkarangan mahkamah.

Tuesday, July 3, 2018

ENAM PROJEK DI BAWAH BN LIBATKAN KOS LEBIH RM3.2 BILION

KUALA TERENGGANU, 3 Julai (Bernama) -- Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu hari ini diberitahu terdapat enam projek yang dilaksanakan kerajaan negeri terdahulu dengan konsep kerjasama awam swasta (PPP) melibatkan kos lebih RM3.2 bilion.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh berkata terdapat dua kaedah pembayaran dalam enam projek PPP iaitu pembayaran tertangguh dan kaedah bayaran berjadual yang telah dibayar bermula dari 2016 hingga 2032.

"Projek tersebut ialah Loji Rawatan Air di Bukit Sah, Kemaman dengan kos RM686.87 juta yang perlu dibayar dalam tempoh enam tahun, Skim Bekalan Air Kuala Terengganu Utara (RM1.3 bilion - 13 tahun), Pusat Pentadbiran Daerah Kuala Nerus (RM600 juta - lapan tahun enam bulan).

"Muara Sungai Terengganu (RM90.24 juta - lima tahun), asrama atlet Majlis Sukan Negeri (RM95.49 juta - lima tahun) dan pembangunan Bandar Baru Kijal fasa dua di Kemaman (RM250 juta - lima tahun)," katanya ketika menjawab soalan Hishamuddin Abdul Karim (PAS-Tepoh) pada persidangan DUN di sini hari ini.

Menjawab soalan tambahan Hishamuddin mengenai jumlah bayaran tahunan pula, Dr Mamad berkata bayaran pada 2016 dan 2017 ialah sebanyak RM70 juta setahun manakala pada tahun ini, jumlah yang perlu dibayar ialah sebanyak RM101.2 juta.

"Seterusnya pada 2019, kerajaan negeri perlu bayar RM290.8 juta, 2020 (RM348.1 juta), 2021 (RM382.2 juta), 2022 (RM371.4 juta), 2023 (RM339.6 juta), 2024 (RM248.1 juta) manakala tahun 2025 hingga 2031, jumlah perlu dibayar ialah RM761.6 juta dalam tempoh tujuh tahun dan bayaran terakhir pada 2032 ialah sebanyak RM45.3 juta," katanya.

Dr Mamad juga menegaskan kerajaan negeri akan meneruskan projek menggunakan konsep itu pada masa akan datang terutama yang melibatkan keperluan mendesak rakyat seperti menaik taraf loji rawatan air.

"Bagaimanapun, sudah tentu kajian perlu dibuat mengenai kemampuan kewangan negeri agar kita tiada masalah dalam proses pembayaran semula seperti yang ditetapkan," katanya.

-- BERNAMA

Monday, July 2, 2018

NGA KOR MING PERSENDA MAHATHIR DALAM CERAMAH TAKKAN NAK DILANTIK MENTERI?



KUALA LUMPUR: Pemuda DAP mengkritik Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kerana tidak mengikuti senarai calon menteri yang dicadangkan kepimpinan DAP, termasuklah Anggota Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming dan MP Stampin Chong Chieng Jen.

Ketua Pemuda DAP, Wong Kah Woh menyoal jika Dr Mahathir pada masa hadapan akan menolak setiausaha agung DAP sebagai menteri, jawatan tertinggi parti yang kini disandang Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

"Kini cadangan yang dikemukakan oleh DAP telah diketepikan, sekiranya Setiausaha Agung DAP juga ditolak pelantikannya atas mana-mana sebab pada satu hari nanti, adakah DAP tetap akan dipaksa menerima keputusan sebegini?" Soal Wong dalam suatu kenyataan.

Wong turut mengadu barisan kabinet tidak mencerminkan jumlah kerusi yang dimenangi DAP yang memenangi jumlah kerusi parlimen kedua terbanyak selepas PKR.

"Tindakan Perdana Menteri adalah tidak berpatutan lantaran pengaturan senarai kabinet tersebut tidak mengikuti bilangan kerusi yang dimenangi oleh sesebuah parti untuk mengilustrasikan hasrat rakyat...

"...malah keputusan sedemikian juga tidak menghormati cadangan pimpinan parti seperjuangan," katanya.


Guan Eng sewaktu berkempen dalam PRU14 menjanjikan Nga dan Chong dilantik menjadi menteri jika Pakatan Harapan berjaya menawan Putrajaya.

Bagaimanapun, Mahathir enggan menerima Nga di dalam kerajaan sementara Chong pula dilantik sebagai timbalan menteri.

"Apabila keempat-empat parti dalam Pakatan Harapan memberikan kuasa kepada YAB Perdana Menteri untuk memilih dan melantik menteri, sesungguhnya ini juga bermakna bahawa Perdana Menteri akan melantik menteri dalam kalangan senarai calon yang dikemukakan oleh parti-parti...

"... dan Perdana Menteri harus menghormati pilihan komponen parti dalam Pakatan HARAPAN supaya ia dapat membentuk sebuah kabinet yang sempurna," kata Wong yang berasal dari Perak, manakala Nga Kor Ming ialah pengerusi DAP negeri.

Wong berkata Nga dan Chong merupakan pemimpin berbakat dengan pengalaman yang banyak.

Beliau juga berkata Pemuda DAP tidak mempersoalkan pertimbangan perdana menteri dalam memilih jemaah menterinya tetapi DAP tahu kemampuan calon-calonnya dengan lebih baik.

Wong menjelaskan kritikan Pemuda DAP bukan kerana merebut jawatan menteri tetapi demi menghormati hasrat rakyat.

"DAPSY ingin menegaskan bahawa pandangan terhadap senarai kabinet yang diumumkan YAB Perdana Menteri bukan berniat untuk merebut mana-mana jawatan menteri tetapi adalah untuk menghormati hasrat rakyat serta mempertahankan maruah parti demi memastikan tidak wujudnya sistem cacat bahawa sesebuah parti terlalu berkuasa dalam Pakatan Harapan," katanya yang menegaskan keputusan patut dibuat secara persetujuan bersama.

Sunday, July 1, 2018

50,077 ORANG BACA BERITA MB DIGESA PECAT PENGARAH YPK

Hari ini dalam sejarah. Blog www.todayterengganu.blogspot.my yang muncul dua tahun lepas menerima hits tertinggi setakat ini sebanyak 50,077 melalui posting "MB digesa pecat Pengarah YPK" yang disiarkan pada 5 Jun lalu.

Terima kasih kepada semua pembaca yang memilih blog todayterengganu sebagai blog wajib anda.

10 posting tertinggi bagi bulan Jun 2018 adalah seperti berikut:-

1. MB digesa pecat Pengarah YPK (5 Jun)- 50,077 hits
2. 670 bakal mahasiswa terima bantuan Yayasan Terengganu (10 Jun)
3. Terengganu Inc akan disusun semula (6 Jun)
4. "Kemaman Berubah" lawan pasukan penyandang di Kemaman (17 Jun)
5. Kenapa Ahmad Said perlu disingkir (27 Jun)
6. 10 sebab kenapa perlu undi Norzamziah sebagai ketua wanita Kemaman (20 Jun)
7. Umno Terengganu sokong Ahmad Said tanding Naib Presiden (11 Jun)
8. Wan Hakim tak faham konsep berakit (18 Jun)
9. 38,290 orang sudah baca MB digesa pecat Pengarah YPK (7 Jun)
10. SPRM tak panggil pun, pergi juga. Macam macam cari publisiti menjelang pemilihan Umno (26 Jun)