Tuesday, April 11, 2017

KEKALKAH RAZIF DI DUN SEBERANG TAKIR?



KUALA NERUS: Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman sudah menjadi ADUN Seberang Takir selama dua penggal sejak PRU2008. DUN Seberang Takir merupakan DUN yang paling selamat dalam parlimen Kuala Nerus.

Datuk Abdul Rashid Ngah tak pernah tewas di DUN Seberang Takir selama tujuh penggal dari tahun 1974, 1978, 1982, 1986, 1990, 1995 dan 1999. Ketika kerajaan BN tumbang di Terengganu pada tahun 1999, Seberang Takir tetap menang bersama tiga DUN lain, Telemong, Ajil dan Kemasik.

Rashid Ngah bersara pada tahun 2004 dan beliau beri peluang kepada adik iparnya Haji Shafian Ali bertanding. Haji Shafian  menang sepenggal sahaja apabila Razif pula dipilih sebagai calon pada PRU 2008. Abangnya Azmi digugurkan sebagai calon parlimen Kuala Nerus pada PRU tersebut. Untuk memujuk Azmi supaya tidak sabotaj calon BN, maka adiknya Razif dipilih bertanding di DUN Seberang Takir.

Razif pernah bertanding untuk jawatan pemuda bahagian tetapi beliau tewas. Selepas beliau jadi Exco baru beliau menang bertanding kerusi ketua bahagian pada tahun 2013 mengalahkan penyandang Datuk Nasir Tan Sri Ibrahim Fikri dan Datuk Rahin Mohd Said.

Selepas PRU 2008 yang menyaksikan krisis istana dengan menteri besar, Datuk Seri Idris Jusoh, Razif adalah ADUN pertama yang menyokong Datuk Seri Ahmad Said sebagai menteri besar baharu. Sebagai balasannya beliau dilantik sebagai Exco kanan oleh Ahmad Said.

Pada tahun 2014, beliau dilantik menteri besar baharu menggantikan Ahmad Said yang berjanji dengan Perdana Menteri untuk jadi menteri besar selama satu tahun sahaja kerana prestasi BN merosot 17-15 dalam PRU pada tahun 2013.

Sudah tiga tahun Razif menjadi menteri besar, beliau telah membuat pelbagai perubahan melalui Terengganu Transformasi Baharu (TTB). Kekalkah beliau sebagai menteri besar pada PRU akan datang? Nampaknya krisis beliau dengan istana sudah berakhir maka kemungkinan besar beliau kekal bertanding di Seberang Takir.

Namun demikian jika beliau ditarik bertanding kerusi parlimen, siapakah yang layak menggantikan beliau? Dua nama disebut sebut sebagai calon Seberang takir iaiatu bekas YB, Haji Shafian Ali dan pakar motivasi, Dr Tengku Asmadi Tengku Mohamad.

Haji Shafian sebagai bekas ADUN sudah dikenali umum. Maka meletakkan beliau sebagai calon di kubu kuat BN itu tidak menjadi masalah. Cuma yang dipersoal sejauh mana beliau boleh menambah majoriti BN.

Pada PRU 2013, Razif Abd Rahman yang mendapat 7,731 undi menang dengan majoriti 1,510 undi mengalahkan dua calon dari PAS, Zakaria Dagang yang mendapat 6,221 undi dan calon PKR, Ahmad Nazri Mohd Yusof yang mendapat 73 undi.

Dapatkah Haji Shafian menambah majoriti? Manakala calon kedua ialah pakar motivasi, Dr Tengku Asmadi.

Dr. Haji Tengku Asmadi Tengku Mohamad dilahirkan pada 23 Jun 1964 di Kampung Seberang Takir, Kuala Terengganu. Beliau mendapat didikan awal di Sekolah Ren. Keb. Seberang Takir dan seterusnya di Sekolah Menengah Ibrahim Fikri. Pada tahun 1982 beliau telah memasuki Matrikulasi I dan II di Universiti Sains Malaysia. Pada Tahun 1984 beliau mengikuti program Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Kejuruteraan Sumber Mineral dan menamatkan pengajiannya pada Tahun 1988.

Setelah tamat pengajian, beliau sempat bertugas di SEDC Kuala Terengganu selama 6 bulan di bahagian geologi dan carigali dan terlibat dengan penemuan emas di Rusila pada Tahun 1989. Setelah itu, beliau menyambung pelajarannya di University of Queensland, Brisbane, Australia pada Tahun 1989 hingga 1993 dan menerima Ph.D dalam bidang Kejuruteraan Perlombongan pada Tahun 1994. Pada Tahun 1994 dan 1995 beliau berkhitmat sebagai pensyarah di Kampus Cawangan Kejuruteraan USM di Tronoh, Perak (yang kini telah diambilalih oleh Universiti Teknologi Petronas, UTP).

Pada November, 1995, beliau telah meletakkan jawatannya sebagai pensyarah universiti dan memulakan syarikat latihannya sendiri iaitu MAP Training & Consultancy Sdn. Bhd. Beliau adalah Pengasas kepada kursus Motivasi Alihan Pelajar yang telah melahirkan lebih daripada 100,000 pelajar dan menjalankan kursus hampir setiap minggu sehingga ke hari ini. Beliau juga merupakan seorang 'Public Speaker' dan motivator yang sering diundang oleh pihak radio dan televisyen antaranya ialah TV1, TV3, TV9, NTV7, TV Bernama, Astro Awani, Astro Oasis dan TV Al-Hijrah.

Jika beliau dipilih sebagai calon menggantikan Razif, pengundi Seberang Takir bertuah kerana calonnya sudah dikenali di seluruh negara melalui kaca tv.








Monday, April 10, 2017

SIAPA CALON PARLIMEN KUALA NERUS?

KUALA NERUS: Kerusi parlimen Kuala Nerus dimenangi calon PAS, Datuk Dr Khairudin Aman Razali pada PRU13. Beliau menang dengan majoriti 610 undi mengalahkan ketua Umno bahagian Kuala Nerus, Datuk Nasir Tan Sri Ibrahim Fikri.

Dr khairudin mendapat 33,861 undi manakala nasir mendapat 33,25i undi. Siapakah yang akan mewakili BN pada PRU ke14? Empat nama disebut sebut sebagai calon BN bagi parlimen Kuala Nerus.

Dua muka baru ialah Timbalan naib Canselor Unisza, Prof Dr Nik Wan Nik Omar dan Datuk Dr Ahmad Sabri Yusoff. Jika salah seorang dari mereka terpilih sebagai calon, ia menepati kehendak Menteri besar yang mahu lebih ramai cerdik pandai dikemukakan sebagai calon BN di Terengganu pada PRU akan datang.

Mampukah mereka mengalahkan Dr Khairuddin? Prof Dr Nik Wan adalah orang yang berpengaruh dalam parlimen Kuala Nerus. Tidak sombong dan suka menolong orang. Beliau berasal dari keluarga msikin di Pulau Duyung tetapi sekarang menetap di Teluk Ketapang.

Dr Ahmas Sabri, 58, pula Timbalan Pengerusi Yayasan Buku Negara mempunyai dua Phd dalam bidang pengurusan  (Universiti Kuala Lumpur) dan pentadbiran perniagaan (Universiti Utara Malaysia). Beliau pernah bekerja di Maybank dan anak syarikat FELCRA.

Selain dari dua nama itu, turut disebut sebagai calon parlimen ialah Datuk Seri Razif Abdul Rahman yang mungkin ditarik ke pusat untuk menjadi menteri penuh menggantikan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang mahu bersara dari politik. Namun demikian jika beliau kekal di DUN Seberang Takir ini bermakna beliau kekal sebagai menteri besar selepas PRU14 jika BN berjaya mengekalkan kuasa.

Nama abang beliau Azmi Abdul Rahman turut disebut sebagai calon parlimen. beliau adalah bekas ahli parlimen Kuala nerus 2004 hingga 2008. Beliau hanya sepenggal menjadi ahli parlimen kerana menteri besar ketika itu, Datuk Seri Idris Jusoh kurang senang dengan kritikan Azmi terhadap Monsoon Cup dan Taman Tamadun Islam yang tidak memberi manafaat kepada penduduk Kuala Nerus.


Ketika itu pihak istana mahu ADUN Bukit Tunggal, Nasir Ibrahim Fikri menggantikan Idris sebagai menteri besar. Idris yang diberitahu oleh Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad badawi telah memindahkan Nasir bertanding kerusi parlimen pada tahun 2008. Tetapi perancangan Idris untuk mengekalkan jawatan menteri besar tidak berjaya apabila pihak istana memilih ADUN Kijal, Datuk Seri Ahmad Said sebagai menteri besar yang baharu.


Berbalik kepada Azmi, jika Azmi terpilih sebagai calon parlimen Kuala Nerus tidak mungkin adiknya Razif kekal di DUN Seberang Takir. Takkan nak ambil dua beradik sebagai calon. Dua beradik pernah terpilih sebagai calon di DUN Johor tidak lama dahulu tetapi mereka berdua berada di kawasan parlimen yang berlainan.  Abd Aziz Sapian jadi ADUN Nusa Jaya dua penggal (2004 dan 2008) dalam parlimen Gelang Patah manakala abangnya Osman Sapian ADUN Kempas dua penggal juga (2004 dan 2008) dalam parlimen Pulai. Azmi dan Razif pula dalam satu kawasan parlimen maka Azmi terpaksa berkorban untuk adiknya kekal sebagai menteri besar kali ini.



Sunday, April 9, 2017

FESTIVAL SENI DUYONG TAMPILKAN KESENIAN TERENGGANU

KUALA TERENGGANU, 9 April (Bernama) -- Pelbagai aktiviti kesenian warisan rakyat Terengganu akan ditampilkan ketika Festival Seni Duyong (DAF) selama tiga hari bermula 28 April ini.

Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak berkata, festival itu akan memberi fokus kepada kesenian Terengganu dan diolah dengan pelbagai kelainan bagi menarik minat generasi muda.

"Festival itu akan memberi sepenuh peluang kepada usahawan seni negeri ini, menggabungkan generasi baharu dan lama bagi menghasilkan aktiviti kesenian yang diberi nafas baharu," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pra pelancaran di sini.

Saturday, April 8, 2017

SEMUA YB KENA TURUN PADANG TERANGKAN TN50



BESUT, 8 April (Bernama) -- Kesemua wakil rakyat dan ketua jabatan kerajaan di Terengganu perlu memperhebat aktiviti turun padang untuk menjelaskan aspirasi pelan induk Transformasi Nasional 2050 (TN50) kepada orang ramai.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Tugas-tugas Khas negeri, Ghazali Taib berkata ia bagi memastikan dasar kerajaan yang diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu dapat difahami dan dihayati terus oleh rakyat.

Beliau berkata semua idea, harapan dan saranan daripada rakyat terutama golongan muda perlu diberi perhatian dan disimpan sebagai rujukan bagi membuat perancangan serta pembangunan yang lebih tepat kepada golongan sasar.

"Inilah keistimewaan TN50 kerana rakyat berpeluang menyuarakan pendapat dan kemahuan mereka," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Konvoi TN50 Dewan Undangan Negeri (DUN) Ajil yang dihadiri lebih 150 anggota Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO di sini malam tadi.

Ghazali berkata: "Melalui pendekatan turun padang TN50 ini, kita faham apa aspirasi rakyat dan tahu kehendak mereka. Jika mereka mahukan pertanian, laksanakan projek pertanian di tempat mereka. Jika mereka nelayan, laksanakan projek berkaitan industri akuakultur untuk mereka.

"Janganlah kita buat kilang elektronik pula. Sebab itu aktiviti turun padang perlu diperhebatkan lagi supaya lebih banyak input diperoleh kerajaan untuk merancang pelan tindakan yang perlu," katanya.

Ghazali berkata semua cadangan yang dikemukakan dalam sesi soal jawab TN50 itu akan dimaklumkan kepada Unit Perancang Ekonomi agar mendapat perhatian jabatan dan agensi yang bertanggungjawab.

"Sudah pasti semua idea ini akan diperincikan oleh wakil rakyat masing-masing seterusnya akan direalisasikan mengikut keperluan dan kesesuaian masa, lokasi serta keupayaan kewangan," katanya.

Antara topik yang dibangkitkan peserta program itu adalah pengangguran, pusat pendidikan, keusahawanan dan kebajikan rakyat di kawasan DUN Ajil serta persediaan menghadapi pilihan raya umum akan datang.

-- BERNAMA











Friday, April 7, 2017

TERENGGANU LANCAR JAGUNG MANIS YANG LEBIH BERKUALITI








SETIU, 4 April (Bernama) -- Kerajaan negeri Terenggganu memperuntukkan RM150,000 bagi pembangunan tanaman jagung manis atau 'Jagung Manis Terengganu' melibatkan kawasan tanaman seluas 39 hektar.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani dan Perusahaan Perladangan dan Komoditi negeri Datuk Muhammad Pehimi Yusof berkata projek yang melibatkan 81 petani itu dijangka mampu mengeluarkan jagung jenis baharu itu sehingga 1.56 juta tongkol tahun ini.

"Bagi menjamin mutu dan kualiti jagung manis dwiwarna itu, Syarikat Green World Genetics Sdn Bhd (GWG) telah dipertanggungjawab untuk melaksanakan pengeluaran benih jagung tersebut untuk dibekalkan kepada petani.

"Sasaran kita ialah pengusaha yang berpotensi terlibat dalam projek pembangunan jagung manis dwiwarna itu seperti usahawan, penanam jagung sedia ada, belia dan petani berkelompok," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran tanaman Jagung Manis Negeri Terengganu di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Rhu Tapai di sini.

Beliau berkata, melalui penanaman jagung manis jenis baharu itu permintaan terhadapnya dijangka akan meningkat dan membolehkan lebih ramai petani termasuk golongan belia menceburi projek berkenaan.

Muhammad Pehimi berkata, jagung tersebut lebih berkualiti daripada yang sedia ada, malah dijangka harganya juga akan meningkat 20 peratus lebih tinggi daripada jagung manis sedia ada di pasaran.

"Sebagai contoh, jika jagung biasa harga ladang dijual 80 sen setongkol tetapi jagung ini dijual lebih 20 peratus menjadikannya RM1 setongkol sekali gus akan memberi keuntungan kepada petani melalui peningkatan pendapatan jualan itu," katanya.

Beliau berkata, bagi pengeluaran jagung manis biasa pada tahun lepas, Terengganu menghasilkan 11.62 juta tongkol jagung bernilai RM9.3 juta melibatkan 559 petani dengan keluasan kawasan tanaman jagung 331.8 hektar.

Benih Jagung Manis Terengganu, merupakan satu-satunya benih yang tidak terdapat di tempat lain malah pokoknya lebih lasak dan boleh dituai dalam tempoh 68 hari serta ditanam dalam empat musim bergantung kepada cuaca, katanya.

-- BERNAMA






Thursday, April 6, 2017

BUDAK UMUR 9 TAHUN REKA CERITA KONONNYA DICULIK

KUALA TERENGGANU, 6 April (Bernama) -- Seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun menggunakan helah kononnya dia diculik bagi menutup perbuatannya mencuri wang tabung masjid di Wakaf Mempelam di sini, semalam.

Kisah penculikan tersebut tular di media sosial namun setelah disiasat didapati dakwaan kanak-kanak itu palsu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, ACP Wan Abd Aziz Wan Hamzah berkata hasil siasatan mendapati kanak-kanak itu hanya mereka cerita kerana bimbang dimarahi ibunya selepas didapati mencuri wang sebuah masjid serta takut pihak masjid berjumpa ibunya.

Katanya ibu kanak-kanak itu telah membuat laporan di Balai Polis Chabang Tiga setelah dimaklumkan anaknya bahawa dia nyaris diculik pada kira-kira 2.10 petang semasa dalam perjalanan pulang dari Sekolah Kebangsaan Wakaf Mempelam.

Setelah disiasat, polis mendapati sebelum itu, murid tersebut ditangkap oleh pihak Masjid Wakaf Mempelam kerana didakwa mencuri wang masjid yang mana beliau menafikan berbuat demikian.

Wan Abd Aziz berkata lanjutan pengakuan tersebut ibunya telah menarik balik laporan polis yang dibuat sebelum itu.

-- BERNAMA

Wednesday, April 5, 2017

TERENGGANU NEGERI KETUJUH TANDATANGANI IKRAR BEBAS RASUAH







KUALA TERENGGANU, 5 April (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) belum menerima sebarang permohonan dari mana-mana negeri yang diperintah pembangkang untuk melaksanakan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) setakat ini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Dzulkifli Ahmad berkata walaupun ikrar itu hanyalah inisiatif untuk kerajaan negeri menunjukkan komitmen mereka memerangi rasuah, pihaknya sangat menggalakkan agar semua kerajaan negeri melaksanakannya.

"Ini hanya inisiatif kerajaan negeri masing-masing. SPRM tak pernah minta untuk semua negeri melakukannya. Kerajaan negeri datang kepada kita dan mohon saya hadir menyaksikan majlis tersebut.

"Kalau ada permohonan (dari negeri diperintah pembangkang), insya-Allah kita akan pergi. Memang kita galakkan semua negeri tersebut mengangkat ikrar ini untuk tunjuk keikhlasan dan ketulusan mereka membanteras rasuah, ia bergantung kepada kepimpinan tertinggi dalam negeri itu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman dan sembilan exco melafaz serta menandatangani ikrar itu di sini Rabu.



Terengganu adalah negeri ketujuh yang melafaz serta menandatangani IBR selepas Sarawak, Kedah, Melaka, Negeri Sembilan, Perlis dan Perak.

Sementara itu, Ahmad Razif berkata kerajaan negeri tidak sesekali akan berkompromi dan bertolak ansur dengan mana-mana salah laku membabitkan rasuah dalam kalangan pemimpin atau penjawat awam di negeri ini.

"Ini bersesuaian dengan prinsip keempat yang perlu diterjemahkan dalam Transformasi Terengganu Baharu iaitu Prinsip Integriti - bersih luaran dan dalaman.

"Kita akan beri kerjasama sepenuhnya kepada SPRM apabila diperlukan. Setakat ini, Terengganu tidak ada apa-apa, alhamdulillah," katanya.

-- BERNAMA