Showing posts with label zuraida kamaruddin. Show all posts
Showing posts with label zuraida kamaruddin. Show all posts

Friday, July 19, 2019

ZURAIDA DISARAN GUNA PLATFORM PEMUKIMAN DARIPADA MEMBUAT KENYATAAN MEDIA

PUTRAJAYA, 19 Julai (Bernama) -- Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Zuraida Kamaruddin disaran menggunakan platform pemukiman PKR yang bermula malam ini sehingga Ahad di Port Dickson untuk memberi apa-apa pandangan tentang permasalahan parti.

Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang menyarankan perkara itu berkata Zuraida yang merupakan pemimpin kanan parti dan menjadi peserta sesi pemukiman, harus mengemukakan hujah-hujahnya, jika dia merasakan ada keretakan dalam parti.

"Itu lebih baik daripada membuat kenyataan (media) setiap hari dan tidak membantu keadaan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Food Bank Malaysia @ Pasar Tani di pasar tani Putrajaya di sini hari ini.

Saifuddin Nasution berkata demikian ketika ditanya mengenai kenyataan Zuraida sebelum ini yang mendakwa wujud perpecahan dalam PKR sejak penyebaran satu video seks yang dikaitkan dengan seorang menteri.

-- BERNAMA

Friday, November 16, 2018

KES MENANG TAPI DR STRERAM BELUM TENTU JADI CALON PRK RANTAU



SHAH ALAM: Calon Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin mahu parti berkenaan meletakkan calon wanita di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Negeri Sembilan yang bakal diadakan.

Zuraida yang juga bekas Ketua Wanita PKR berkata, beliau telahpun mempunyai dua orang calon wanita dari negeri itu yang difikirkan layak dan akan membawa nama-nama berkenaan kepada barisan kepimpinan untuk dipertimbangkan.

Beliau menambah parti berkenaan bagaimanapun belum membuat sebarang perbincangan berkaitan PRK berkenaan.

"Pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14) PRU-14 lepas kita (PKR) tidak mempunyai calon wanita di Negeri Sembilan dan PRK DUN Rantau ini saya cadangkan agar diletakkan seorang calon wanita.

"Rakyat Negeri Sembilan dilihat khusus mahukan calon yang lahir di sana dan dua nama yang saya ada ini merupakan anak tempatan Negeri Sembilan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Kongres Nasional Tahunan Wanita PKR 2018 di Shah Alam, hari ini.

Mahkamah Pilihan Raya di Seremban hari ini mengisytiharkan kemenangan Datuk Seri Mohamad Hasan di DUN itu pada PRU14 sebagai batal dan tidak sah. Mohamad menang kerusi DUN itu tanpa bertanding pada 28 April lalu selepas calon PKR Dr S. Streram dilarang masuk pusat penamaan kerana tidak memiliki pas yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Berikutan itu, pada 23 Mei lalu, Dr Streram yang juga pakar bius memfailkan petisyen di mahkamah bagi memohon Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN itu diadakan semula kerana mendakwa penyandangnya tidak dipilih secara sah dan terbatal.


Dalam petisyennya Dr Streram menamakan bekas menteri besar Negeri Sembilan itu sebagai responden pertama; pegawai pengurus pilihan raya bagi kawasan Parlimen Rembau, Amino Agus Suyub sebagai reponden kedua; dan SPR responden ketiga.

Dr Streram juga mendakwa SPR telah gagal memberitahunya semasa mengambil borang pencalonan dan membayar deposit untuk mengambil tag nama atau pas masuk ke dalam dewan pencalonan pada hari pencalonan.

Mohamad diwakili oleh lima peguam diketuai oleh Datuk Mohd Hafarizam Harun, manakala Dr Streram diwakili empat peguam diketuai oleh Mohamed Haniff Khatri Abdulla.

- Bernama

Friday, October 12, 2018

RAKYAT SEMUA KAUM TANPA KUOTA BUMIPUTERA LAYAK MOHON RUMAH PPR

KUALA LUMPUR, 12 Okt (Bernama) -- Kuota bumiputera bagi pembelian rumah mampu milik akan dikaji semula, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.

Beliau berkata, kajian dan semakan semula dasar itu akan merangkumi penyeragaman harga rumah standard bagi semua lapisan masyarakat.

"Kementerian perlu masa untuk kaji semula dan mendapatkan maklum balas daripada pihak industri dan pembeli rumah. Kita perlu tahu sebabnya, mungkin sebab faktor demografik yang berbeza di sesuatu negeri. Kita lihat ada keperluan untuk seragamkan polisi.

"Pada dasarnya, dalam kerajaan baharu ini, rakyat akan dinilai dari segi kemampuan pendapatan dan tidaklah mengenai bangsa, kalau kita tetapkan rumah mampu milik itu untuk mereka yang berpendapatan bawah RM3,000, maka kita akan gunakan garis panduan itu tidak mengira agama dan bangsa. Begitu juga dengan rumah yang berharga RM500,000," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Ekspo Hartanah Malaysia (MAPEX 2018) di Pusat Pameran Mid Valley anjuran Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) di sini hari ini.

Friday, August 17, 2018

DASAR PERUMAHAN NEGARA DIJANGKA DILANCARKAN BULAN HADAPAN

PUTRAJAYA, 17 Ogos (Bernama) -- Dasar Perumahan Negara yang dijangka dilancarkan pada September, bertujuan untuk menyediakan perumahan mampu milik yang murah dan selesa bagi kumpulan berpendapatan isi rumah 40 peratus terendah (B40) dan 40 peratus sederhana (M40).

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin berkata dasar itu yang sedang dikaji semula dan kini di peringkat akhir kajian, akan menangani definisi rumah mampu milik, harga semasa rumah, konsep bangunan masa depan dan kemudahan yang kementerian bercadang untuk memperkenalkan dalam skim perumahan awam dan swasta.

"Kami akan mematuhi nasihat Bank Negara mengenai lingkungan harga rumah untuk kumpulan berpendapatan B40 dan M40. Saya akan membuat pengumuman mengenainya pada akhir September,” kata beliau.

Zuraida berkata demikian kepada pemberita selepas menerima “mock-cheque” bernilai RM250,000 daripada presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) Datuk Ir Soam Heng Choon untuk Tabung Harapan.

Turut hadir bekas presiden REHDA Datuk Seri FD Iskandar Mohamed Mansor.

Tuesday, July 24, 2018

ZURAIDA DICABAR LAWAN ANWAR BAGI JAWATAN PRESIDEN PKR



KUALA LUMPUR: Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin berkata beliau masih belum membuat keputusan sama ada bertanding dalam pemilihan parti itu atau tidak.

Menurut menteri perumahan dan kerajaan tempatan itu, hal ini memandangkan tarikh menghantar nama di tunda sehingga 5 Ogos, jadi ia memberi lebih masa untuknya membuat pertimbangan.

"Saya belum lagi memutuskan jawatan apa akan bertanding. Dalam masa terdekat (saya) akan buat keputusan dan buat pengumuman kerana tarikh dah tunda daripada 29 Julai kepada 5 Ogos.

"Ia beri saya lebih masa untuk pertimbangkan (untuk bertanding atau tidak)," katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Zuraida berkata demikian ketika ditanya jika akan bertanding bagi mana-mana jawatan sempena pemilihan PKR tahun ini.

Selain itu, mengulas soalan partinya itu kini berpecah kepada dua kem, Zuraida tidak menafikannya.

Malah, beliau berkata, ia merupakan satu amalan demokrasi yang sihat kerana wujudnya 'perlawanan' dalam sesebuah parti.

"Kalau lawan mesti ada beberapa kem. Kalau tak, tak ada lawan.

"Kita mengamalkan demokrasi jadi pengamal demokrasi membenarkan orang untuk bertanding. Biarkan mereka bertanding. Selepas itu, mereka boleh menjadi kawan (semula)," ujarnya lagi.

Minggu lalu Zuraida mengeluarkan kenyataan bahawa Wanita PKR menyambut baik hasrat Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding jawatan presiden namun mengingatkan agar parti bersedia "menjulang prinsip demokrasi" sekiranya jawatan berkenaan dicabar.

Zuraida turut mengingatkan agar PKR perlu menjuarai isu demokrasi yang diperjuangkan selama 20 tahun dan ia perlu bermula daripada kalangan pemimpin parti itu sendiri.

Ulasan saya, saya cabar Zuraida tanding jawatan Presiden PKR lawan Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana beliau yang beriya iya benar mahu PKR amalkan demokrasi.

Azmin yang dikipas oleh Zuraida terpengaruh dengan kipasan itu mahu menentang Anwar seolah olah Zuraida mahu menafikan jasa Anwar  yang memulakan reformasi menjatuhkan Dr Mahathir pada tahun 1998.

Zuraida sudah lupa daratan kerana pangkat dan harta yang beliau kumpul selama ini. Beliau yang merosakkan PKR sehingga PKR berpecah dua dan sehingga beliau lupa sumbangan Anwar. Jika Azmin enggan menentang Anwar, saya cabar Zuraida yang lawan Anwar. Beranikah Zuraida?

Saturday, May 19, 2018

ZURAIDA TUMPU KEPADA PELUANG PERUMAHAN YANG SEIMBANG

KUALA LUMPUR, 18 Mei (Bernama) -- Anggota Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin, yang dilantik Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, berkata peluang perumahan yang seimbang untuk Bumiputera di kawasan bandar besar adalah antara perkara yang perlu diberikan perhatian.

Selain itu, katanya, hak golongan minoriti, orang asal dan warganegara lain agar mereka juga meninkmati kediaman selesa akan turut diberi perhatian.

Zuraida merupakan antara 13 menteri dinamakan dalam barisan Kabinet Pakatan Harapan (PH) oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, hari ini.

"Alhamdulillah saya menerima berita pelantikan sebagai menteri Kabinet yang diumumkan sebentar tadi dengan penuh rasa rendah diri dan bersyukur.

"Kini saya berpeluang untuk meneliti segala dasar dan pelaksanaan kementerian terbabit dengan lebih mendalam. Saya yakin banyak penambahbaikan dan cadangan dengan substantif dapat dilaksanakan, " katanya dalam kenyataan akhbar.