Showing posts with label dasar perumahan negara. Show all posts
Showing posts with label dasar perumahan negara. Show all posts

Friday, August 17, 2018

DASAR PERUMAHAN NEGARA DIJANGKA DILANCARKAN BULAN HADAPAN

PUTRAJAYA, 17 Ogos (Bernama) -- Dasar Perumahan Negara yang dijangka dilancarkan pada September, bertujuan untuk menyediakan perumahan mampu milik yang murah dan selesa bagi kumpulan berpendapatan isi rumah 40 peratus terendah (B40) dan 40 peratus sederhana (M40).

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin berkata dasar itu yang sedang dikaji semula dan kini di peringkat akhir kajian, akan menangani definisi rumah mampu milik, harga semasa rumah, konsep bangunan masa depan dan kemudahan yang kementerian bercadang untuk memperkenalkan dalam skim perumahan awam dan swasta.

"Kami akan mematuhi nasihat Bank Negara mengenai lingkungan harga rumah untuk kumpulan berpendapatan B40 dan M40. Saya akan membuat pengumuman mengenainya pada akhir September,” kata beliau.

Zuraida berkata demikian kepada pemberita selepas menerima “mock-cheque” bernilai RM250,000 daripada presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) Datuk Ir Soam Heng Choon untuk Tabung Harapan.

Turut hadir bekas presiden REHDA Datuk Seri FD Iskandar Mohamed Mansor.