Showing posts with label zahid. Show all posts
Showing posts with label zahid. Show all posts

Monday, December 4, 2017

BN AKAN LETAK LEBIH RAMAI CALON WANITA

KUALA LUMPUR, 4 Dis (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi bayangan yang Barisan Nasional (BN) akan meletakkan lebih ramai calon wanita pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang kini semakin hampir.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Pengerusi BN, berkata beliau percaya wanita harus menjadi tulang belakang politik Malaysia, di bawah kekuatan kepimpinan Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil serta keteguhan Wanita BN dan UMNO.

Katanya Shahrizat yang merupakan Ketua Wanita UMNO dan juga Pengerusi Wanita BN, harus diberi kedudukan penting selepas pilihan raya umum berkenaan.

"Saya akan bisikkan kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) untuk meletakkan lebih ramai (calon) wanita dalam pilihan raya umum. Saya berkeyakinan penuh terhadap kemampuan kaum wanita jika mereka diberikan amanah atau tugas," katanya semasa menutup Persidangan Antarabangsa Wanita dalam Politik (WIPKL) 2017, yang berlangsung di sini hari ini bersempena Perhimpunan Agung UMNO.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata kerajaan BN sentiasa mengusahakan agar lebih ramai wanita diletakkan sebagai calon pada pilihan raya.

"Begitu juga untuk pilihan raya umum yang semakin mendekat ini," katanya.

Mengakui pemerkasaan wanita tidak bermakna jika suara mereka tidak didengari dalam politik, beliau berkata: "Mujurlah di Malaysia ini ada hasil positif dari segi mempunyai lebih banyak suara wanita dalam politik."

Ahmad Zahid berkata Malaysia telah mengambil pelbagai inisiatif untuk melihat lebih banyak penyertaan wanita dalam sektor awam dan swasta.

Bagi sektor awam, beliau berkata Malaysia mencatatkan pencapaian yang memberangsangkan kerana berjaya melepasi sasaran sekurang-kurangnya 30 peratus wanita pada peringkat pembuat keputusan.

"Pencapaian sebenar ialah pada 35.8 peratus manakala dalam sektor korporat, wanita kita merekodkan 29.9 peratus. Memandangkan sasaran ialah 30 peratus, saya biarkan anda semua membuat perkiraan akan betapa hampirnya kita untuk mencapai sasaran itu," katanya.

Berkongsi satu daripada kisah kejayaan Malaysia, timbalan perdana menteri berkata berdasarkkan Laporan Pemantauan Keusahawanan Global 2016/2017 yang dikeluarkan baru-baru ini, Malaysia berada di kedudukan keempat dari segi kesaksamaan gender dalam keusahawanan di belakang Brazil, Mexico dan Indonesia.

"Ini bermakna bilangan usahawan wanita di Malaysia kini menyamai lelaki," katanya.

-- BERNAMA

Saturday, October 14, 2017

KERAJAAN SALUR PERUNTUKAN TAMBAHAN RM2 JUTA UNTUK GNN TAHUNAN



KEMAMAN, 14 Okt (Bernama) -- Gelombang Nelayan Nasional (GNN) akan dijadikan program tahunan dengan pihak kerajaan bersedia menyalurkan peruntukan tambahan RM2 juta bagi penganjurannya tahun depan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata penganjuran GNN juga merupakan simbolik sokongan kerajaan terhadap golongan nelayan yang sentiasa bertungkus lumus mencari hasil protein untuk dinikmati rakyat.

"Peruntukan tambahan ini di luar daripada peruntukan sedia ada agar GNN dapat diadakan setiap tahun malah tempat ini (Kuala Kerteh) boleh dijadikan lokasi ikonik atau mungkin diadakan di beberapa tempat lain," katanya ketika berucap merasmikan GNN 2017 di Kuala Kerteh di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman,

Ahmad Zahid yang sempat menyaksikan kemeriahan sambutan GNN 2017 itu turut menyatakan rasa bangga dan terima kasih kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani yang berjaya mengumpul 30,000 nelayan dari seluruh negara untuk memeriahkan GNN 2017.






Ahmad Zahid berkata GNN juga adalah lambang sokongan nelayan terhadap kerajaan dan menunjukkan kesungguhan kementerian itu dalam menjaga kebajikan nelayan.

"Nelayan adalah wira yang tidak didendang yang telah memberi pendapatan kepada negara, memajukan negara dan memberi makanan protein kepada rakyat. Nelayan adalah penyokong kita dan perlu diambil kepedulian yang lebih kepada mereka."

"GNN adalah kombinasi antara nelayan dan kerajaan. Kita tahu bahawa apa yang dilakukan kerajaan bukan sekadar memberi elaun bulanan? kerajaan bukan sekadar memberi perhatian kepada sektor lain tetapi juga kepada perikanan," katanya.






Pada perasmian GNN 2017 hari ini, sebanyak 700 bot nelayan daripada Pahang dan Terengganu yang berkumpul di sini sejak Khamis lalu memeriahkan suasana dengan berarak ke jeti Kuala Kerteh manakala ramai nelayan veteran turut hadir untuk memberi sokongan.

Lokasi GNN 2017 juga penuh sesak dengan kehadiran nelayan dan anggota keluarga mereka serta orang ramai untuk menyaksikan lebih 70 acara yang berlangsung selama tiga hari, berakhir hari ini.

Bercakap kepada pemberita, Ahmad Shabery berkata GNN 2017 diadakan bagi menunjukkan kepada masyarakat kehebatan nelayan dan membolehkan pihak luar menyelami kehidupan mereka.

"Ini adalah salah satu usaha kita menyanjung mereka. Mereka berikan kita nikmat ikan, sotong, udang dan ketam. Program ini merupakan satu perkara yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Ia merupakan satu manifestasi atau cerminan kepada cara kita menghargai nelayan yang telah berkorban dan berdedikasi memenuhi bekalan sumber protein masyarakat," katanya.

Sidek Ngah, 65, yang hadir pada setiap hari GNN 2017 berkata dia berbangga melihat keprihatinan kerajaan sekarang terhadap nelayan seperti dirinya dengan membuka ruang untuk mereka menggunakan teknologi tinggi selain menyediakan pelbagai program bantuan untuk menambah pendapatan.

"Saya biasa turun ke laut bermula dari Pantai Kijal dan kadang kala sampai juga ke sini (Kuala Kerteh). Tidak pernah saya merasai suasana semeriah ini dan terdetik di jiwa saya rasa bangga menjadi nelayan apabila turut diraikan."

"Nelayan ada semangat juang yang tinggi, mana mungkin boleh meredah lautan jika tiada tekad yang kental. Saya amat bersetuju dengan program ini dan saya akui bahawa Datuk Seri Ahmad Shabery banyak membantu mendedahkan kami dengan pelbagai perkara untuk menambah pendapatan," katanya.

-- BERNAMA

Friday, August 25, 2017

PEMIMPIN UMNO PERLU ADA MENTALITI MAHU MENANG

KUALA NERUS, 25 Ogos (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu pemimpin-pemimpin UMNO memiliki mentaliti mahu menang yang perlu dijadikan pasak untuk terus bekerja keras dalam usaha mengekalkan pemerintahan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14.

Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas timbalan presiden parti berkata kerja keras itu perlu dilakukan secara berterusan dan bukan sekadar retorik kerana kejayaan cemerlang hanya dicapai menerusi semangat mahu menang yang tinggi.



"Kita perlu ada mentaliti mahu menang dan pasakkan kemenangan (dalam diri masing-masing) di bahagian, cawangan, dan akar umbi. Kita kena berusaha terlebih dahulu, barulah bertawakal dan berdoa kepada Allah (untuk menang)... ini bukan retorik tetapi kena usaha berterusan.

"Kita lihat (semangat untuk menang) ini cuba dinafikan oleh faktor luaran dan kerap kita rasa mahu kecundang ekoran pelbagai isu selain pihak luar cuba meranapkan usaha kita menang pada pilihan raya umum akan datang.

"Dengan kerja keras ini, barulah kita dapat memastikan BN dan UMNO terus memerintah negara dan Terengganu,? katanya semasa merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Nerus di Stadium Tertutup Gong Badak di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Besar yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh merangkap Anggota Parlimen Besut, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia merangkap Anggota Parlimen Hulu Terengganu Datuk Jailani Johari serta 7,000 anggota perwakilan Bahagian Kuala Nerus.

Ahmad Zahid juga menarik perhatian bahawa kehebatan UMNO berpunca daripada kejayaan yang dicapai dari semasa ke semasa dan bukannya pencapaian sekelip mata.

"UMNO adalah parti yang mempunyai daya tahan yang terus diperkukuhkan dari semasa ke semasa ibaratnya seperti pelari maraton meskipun ia bermula dengan keadaan yang sukar atau perlahan tetapi tetap sampai ke garisan penamatnya.

"...berbanding dengan parti serpihan yang dilihat seperti pelari pecut, hanya menang satu peringkat tetapi di peringkat lain, mereka kalah,?" katanya.

Bagi mencapai matlamat UMNO menjadi juara di garisan penamat, beliau berkata setiap anggota parti juga perlu memenangi hati dan minda rakyat.

"Untuk kekal sebagai pemimpin di atas, kita kena ambil tahu kebajikan pihak di bawah. Kalau mahu UMNO kekal perkasa, jangan amalkan sikap pilih bulu, pilih kawasan atau bahagian, kena sama-sama bantu semua sekali pihak di bawah.

Jadi calon yang bertanding pada pilihan raya umum akan datang pun ditentukan akar umbi dan bukannya calon ditentukan atau melalui lobi kepada pucuk pimpinan parti," katanya.

Ahmad Zahid turut meminta para pemimpin UMNO supaya mendekatkan diri dengan golongan veteran kerana mereka mempunyai banyak pengalaman berikutan melalui pelbagai perjuangan bersama parti sejak sekian lama.

Pada majlis itu, beliau juga menerima sumbangan dari Tulangis  Maju sebanyak RM1 juta untuk membina bangunan baru UMNO Bahagian Kuala Nerus.



-- BERNAMA