Showing posts with label wanita. Show all posts
Showing posts with label wanita. Show all posts

Sunday, April 22, 2018

BN TERENGGANU LETAK CALON WANITA DI KUBU PAS

KUALA TERENGGANU, 22 April (Bernama) -- Selepas 10 tahun, Barisan Nasional (BN) Terengganu mengotakan janji untuk menampilkan calon wanita pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14) kali ini.

Lebih mengejutkan apabila bukan hanya seorang diumumkan, malah dua calon wanita diberi amanah untuk merampas semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diwakili pembangkang.

Pengerusi BN Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata Ketua Wanita UMNO Bahagian Marang, Toh Puan Zaitun Mat Amin, 61, akan bertanding di DUN Bukit Payung manakala Bendahari Wanita UMNO Negeri yang juga Ketua Wanita UMNO Dungun, Datuk Zainun Abu Bakar, 65, pula akan bertanding di DUN Sura.

Zaiton yang juga bekas Anggota Dewan Negara dan Exco Pergerakan Wanita UMNO Malaysia ketika ini berkeyakinan penuh untuk memenangi semula DUN Bukit Payung kerana sudah hampir lima tahun berkhidmat kepada rakyat.

Beliau berkata semua isu dan permasalahan rakyat di Parlimen Marang sudah lama diselesaikan bersama jentera akar umbi termasuk 23 cawangan UMNO seluruh DUN Bukit Payung.

"Saya yakin 23,000 pengundi di Bukit Payung mahu generasi muda mereka terbela dan mereka pastinya mahu kerajaan yang kukuh dan stabil dapat membela dan menjaga kebajikan mereka untuk masa depan yang lebih cemerlang," katanya.

Sementara itu, Zainun yang lebih mesra dikenali sebagai Kak Nun berkata hampir 45 peratus daripada 24,000 pengundi di DUN Sura adalah wanita dan yakin kerja kerasnya bersama jentera BN selama ini akan mendapat sokongan daripada pengundi kawasan itu.

"Walaupun Sura dikatakan kubu PAS kerana menang dua penggal di situ, namun BN tidak pernah menganak tirikan pengundi Sura selama ini."

"Bantuan disalur tanpa memilih bulu di kalangan pengundi. Kak Nun tak kira sama ada orang itu penyokong BN atau PAS, Kak Nun akan bantu mengikut keperluan mereka dan insya-Allah mereka yang dahulunya memberi undi kepada pihak sana pasti memberi undi kepada BN sekiranya mahu nasib mereka terus terbela," katanya.

Untuk rekod, kali terakhir BN Terengganu meletakkan calon wanita pada PRU ke-12 tahun 2008 melalui Nordiana Shafie, yang bertanding di DUN Batu Buruk namun kalah kepada calon PAS ketika itu, Syed Azman Syed Ahmad Nawawi dengan majoriti 1,161 undi.

-- BERNAMA

Monday, December 4, 2017

BN AKAN LETAK LEBIH RAMAI CALON WANITA

KUALA LUMPUR, 4 Dis (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi bayangan yang Barisan Nasional (BN) akan meletakkan lebih ramai calon wanita pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang kini semakin hampir.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Pengerusi BN, berkata beliau percaya wanita harus menjadi tulang belakang politik Malaysia, di bawah kekuatan kepimpinan Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil serta keteguhan Wanita BN dan UMNO.

Katanya Shahrizat yang merupakan Ketua Wanita UMNO dan juga Pengerusi Wanita BN, harus diberi kedudukan penting selepas pilihan raya umum berkenaan.

"Saya akan bisikkan kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) untuk meletakkan lebih ramai (calon) wanita dalam pilihan raya umum. Saya berkeyakinan penuh terhadap kemampuan kaum wanita jika mereka diberikan amanah atau tugas," katanya semasa menutup Persidangan Antarabangsa Wanita dalam Politik (WIPKL) 2017, yang berlangsung di sini hari ini bersempena Perhimpunan Agung UMNO.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata kerajaan BN sentiasa mengusahakan agar lebih ramai wanita diletakkan sebagai calon pada pilihan raya.

"Begitu juga untuk pilihan raya umum yang semakin mendekat ini," katanya.

Mengakui pemerkasaan wanita tidak bermakna jika suara mereka tidak didengari dalam politik, beliau berkata: "Mujurlah di Malaysia ini ada hasil positif dari segi mempunyai lebih banyak suara wanita dalam politik."

Ahmad Zahid berkata Malaysia telah mengambil pelbagai inisiatif untuk melihat lebih banyak penyertaan wanita dalam sektor awam dan swasta.

Bagi sektor awam, beliau berkata Malaysia mencatatkan pencapaian yang memberangsangkan kerana berjaya melepasi sasaran sekurang-kurangnya 30 peratus wanita pada peringkat pembuat keputusan.

"Pencapaian sebenar ialah pada 35.8 peratus manakala dalam sektor korporat, wanita kita merekodkan 29.9 peratus. Memandangkan sasaran ialah 30 peratus, saya biarkan anda semua membuat perkiraan akan betapa hampirnya kita untuk mencapai sasaran itu," katanya.

Berkongsi satu daripada kisah kejayaan Malaysia, timbalan perdana menteri berkata berdasarkkan Laporan Pemantauan Keusahawanan Global 2016/2017 yang dikeluarkan baru-baru ini, Malaysia berada di kedudukan keempat dari segi kesaksamaan gender dalam keusahawanan di belakang Brazil, Mexico dan Indonesia.

"Ini bermakna bilangan usahawan wanita di Malaysia kini menyamai lelaki," katanya.

-- BERNAMA

Saturday, August 5, 2017

SIAPA WANITA YANG BERTUAH MENJADI CALON?

KUALA BERANG, 5 Julai (Bernama) -- Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu hari ini bersetuju meletakkan calon wanita dalam mempersiapkan diri bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 nanti.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu merangkap Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata keputusan itu diambil selepas mempertimbang cadangan Ketua Pergerakan Wanita UMNO Terengganu merangkap Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Hulu Terengganu Datuk Fatimah Mamat.

"Kita juga akan turut mencadangkan beberapa calon daripada wanita untuk bertanding dan selebihnya kita akan serahkan kepada Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memutuskan perkara berkenaan.

"Setakat ini, kita belum memutuskan jumlah calon wanita yang bakal diletakkan tapi insya-Allah kita akan segera membuat penilaian dan keputusan bagi calon yang layak," katanya pada pemberita dalam sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Hulu Terengganu, di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu merangkap Anggota Parlimen Hulu Terengganu Datuk Jailani Johari, Timbalan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Hulu Terengganu merangkap Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong Datuk Rozi Mamat, Ketua Penerangan UMNO Bahagian Hulu Terengganu merangkap ADUN Ajil Ghazali Taib, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Terengganu merangkap Ketua Pergerakan Pemuda Bahagian Hulu Terengganu Johari Abu Bakar.

Selain itu, Ahmad Razif turut melancarkan jentera Jalinan Rakyat bagi Parlimen Hulu Terengganu dalam persidangan yang dihadiri oleh 130 cawangan bahagian itu.

Beliau berkata konsep Jalinan Rakyat ini adalah untuk menggantikan konsep Ketua 10 (K10) yang diguna pakai dalam Pergerakan Wanita UMNO.

"Ia adalah pendekatan yang lebih strategik hubungan kerana konsep ini lebih rapat dalam menghubungkan diri dengan rakyat.

"Maka disebabkan pembaharuan ini, saya yakin UMNO Bahagian Hulu Terengganu mampu menang besar iaitu 5-0 (4 DUN 1 Parlimen) dalam pilihan raya kelak," katanya lagi.

Ulasan saya, nampaknya lapan ketua wanita bahagian dan lapan ketua puteri bahagian wajar dipertimbangkan sebagai calon. Soal berapa orang calon wanita bertanding di Terengganu tak perlu diambil kira satu orang pun okay tetapi sebaik baiknya dua orang satu mewakili wanita Umno dan satu lagi mewakili puteri Umno.

Terpulang kepada pucuk pimpinan untuk memilih siapa calon yang boleh menang. Kalau boleh pilih calon wanita yang dapat bertanding di kawasan selamat tidak di Batu Buruk kubu kuat PAS seperti yang berlaku kepada bekas ketua puteri Umno Terengganu, Nordiana Shafie. 

Pilihlah kawasan selamat seperti Pengkalan Berangan yang mana Toh Puan Zaitun Mat Amin isteri Datuk Muda Mamat layak jadi calon mewakili wanita Umno di situ. Bagi calon puteri pula, terpulang kepada ketua puteri Umno Malaysia mahu calonkan ketua puteri bahagian mana sebagai calon BN.

Wednesday, April 19, 2017

TOH PUAN ZAITUN CALON WANITA TUNGGAL DI TERENGGANU?

MARANG: Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman pernah menyebut bahawa BN Terengganu mungkin meletakkan seorang calon wanita pada PRU akan datang.

Nampaknya kemungkinan itu akan menjadi kenyataan kali ini kerana seorang calon wanita disebut sebut akan bertanding di DUN Bukit Payong. Sudah lama BN Terengganu tidak meletakkan calon wanita. Kali terakhir pada tahun 1969 di zaman Perikatan apabila Sharifah Azah Apple kalah kepada calon PAS.

Sejak itu BN Terengganu tak pernah meletakkan calon wanita. Tambahan pula Pengerusi BN Terengganu ketika itu seorang ulama maka BN kurang berminat meletakkan wanita sebagai calon. Hasrat Datuk Seri Idris Jusoh untuk meletakkan calon wanita Nordiana Shafie (ketua puteri Terengganu) pada PRU2004 di DUN Ladang tidak jadi kenyataan apabila Nordiana menolak tawaran tersebut. Beliau tak yakin menang maka tempatnya digantikan oleh Datuk Wan Hisham Wan Salleh yang berjaya merampas kerusi Ladang dari tangan PAS.

Nordiana bertanding pada PRU 2008 di Batu Buruk tetapi kalah kepada calon PAS, Syed Azman Syed Nawawi dengan majoriti 1,161 undi. Pada PRU2013 BN di bawah kepimpinan Datuk Seri Ahmad Said tidak meletakkan calon wanita tetapi PAS mencatat sejarah meletakkan calon wanita pertama di Terengganu tetapi tewas di DUN Kuala Besut.


Calon BN, Dr. A. Rahman Mokhtar (BN) yang mendapat 8,809 undi menang dengan majoriti 2,434 undi manakala calon PAS, Nafisah Ismail mengutip  6,375 undi.


Jika benar Toh Puan Zaitun Mohd Amin bakal diletakkan di Bukit Payong beliau mampu menawan DUN Bukit Payong. Beliau adalah Ketua Wanita Umno Bahagian Marang dan isteri kepada bekas ADUN Pengkalan Berangan, Datuk Muda Mamat. Karektor Zaitun yang lebih peramah dari Muda merupakan satu kelebihan kepada BN untuk merampas kembali DUN Bukit Payong.

Pada tahun 2013, calon PAS, Mohd Nor Hamzah menang dengan majoriti 613 undi mengalahkan calon BN, Zaidi Muda. Mohd Nor mendapat 9,342 undi manakala Zaidi memungut 8,729 undi.

Empat nama lain yang disebut sebut sebagai calon Bukit Payong ialah Adnan Mat Amin, Abdillah Abu Bakar, Muhammad Noor Endut dan Amlisani Abdul Latif.

Amlisani adalah pegawai khas MB yang menjaga perantau Terengganu di Lembah Kelang. Beliau adalah orang kuat MB yang bertungkus lumus mengumpulkan anak Terengganu di Wilayah Persekutuan dan Selangor dan beliau mampu menawan Bukit Payong dari tangan PAS.

Monday, November 14, 2016

TERENGGANU RANCANG WUJUDKAN PUSAT TRANSFORMASI KEUSAHAWANAN WANITA

KUALA TERENGGANU, 14 Nov (Bernama) -- Kerajaan Terengganu merancang mewujudkan Pusat Transformasi Keusahawanan Wanita (PTKW) bagi mengumpul produk-produk yang dihasilkan secara setempat.

Exco Pembangunan Wanita, Roslee Daud berkata PTKW mampu mengumpul pelbagai produk seperti batik, sutera, songket serta produk makanan yang dihasilkan kaum wanita di bawah satu bumbung.

"Ia dapat memudahkan pelancong asing membeli produk keluaran tempatan sempena Tahun Melawat Terengganu 2017," katanya pada Program Semarak Keusahawanan Wanita 2016, di sini semalam.