Thursday, February 28, 2019

DAHULU ANWAR DIFITNAH KINI ANWAR FITNAH PAS PULA



HULU LANGAT 1 Mac - Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man malam tadi menegaskan penyelesaian luar mahkamah kes saman fitnah Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kepada pengasas dan pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown adalah tanpa sebarang kos.

Jelas beliau, keputusan penghakiman kes tersebut telah menyatakan bahawa ia diselesaikan tanpa sebarang kos, oleh itu dakwaan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim kononnya Pas terpaksa membayar sebanyak RM1.4 juta kepada Clare adalah tidak berasas.

"Isu Sarawak Report, kedua-dua pihak setuju selesai luar mahkamah, kalau Pas setuju mereka tak setuju tak juga selesai. Pas boleh teruskan tapi akan habis empat, lima juta, baik kita derma orang susah, kita buat markas, buat tahfiz, malah kalau kita menang pun, pampasan yang kita dapat tak sepadan dengan yang kita habis.

"Ada pula kata jumpa dokumen yang ada kos, cukuplah, Anwar menderita kerana fitnah dan rasa bagaimana suasana fitnah, jadi saya fikir cukuplah, jangan ulang benda yang sama kepada Presiden Pas," katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap dalam program Ceramah Perdana di Bandar Seri Putra, Bangi, dekat sini malam tadi.

Yang hadir sama, Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan dan calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih, Zakaria Hanafi.

Semalam, Anwar mendakwa mempunyai dokumen transaksi bank melibatkan pembayaran berkenaan namun hanya akan mendedahkannya sekiranya Pas terus mencabar beliau.

Wednesday, February 27, 2019

CALON CALON PRK SEMENYIH MAKIN RANCAK BERKEMPEN

SEMENYIH, 27 Feb (Bernama) -- Calon-calon pada pilihan raya kecil (PRK) Semenyih semakin rancak berkempen tanpa mengenal penat untuk mendekati penduduk di segenap ceruk dan pelosok kawasan dewan undangan negeri ini dalam usaha meraih sokongan sebelum hari mengundi Sabtu ini.

Selain pendekatan bersemuka, mereka menggunakan kenderaan bermobil dalam berkempen untuk menembusi kawasan-kawasan yang disasarkan dengan mengadakan ceramah atau perjumpaan bagi menyampaikan mesej kepada pengundi dan kerancakan kempen ini jelas dapat dilihat sejak beberapa hari lepas.

Kempen selama dua minggu itu diwarnai dengan kehadiran “top-gun” dari kedua-dua parti yang menyaksikan persaingan sengit. Bagaimanapun, pertembungan sebenar pada PRK kali ini hanyalah antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), khususnya UMNO.

Tuesday, February 26, 2019

POLIS TELAH REKOD KENYATAAN NAZRI

SEMENYIH, 26 Feb (Bernama) -- Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata pihak polis telah pun merekodkan kenyataan beliau mengenai ucapan yang dikatakan berbaur perkauman yang dibuatnya di satu ceramah politik di sini, Sabtu.

Menurutnya kenyataan beliau diambil semalam.

Bercakap kepada pemberita ketika ditemui di satu majlis di Bandar Seri Putra dekat sini malam ini, beliau mengakui bahawa perkara itu masih dalam siasatan.

Monday, February 25, 2019

CALON PH ANTI MEDIA?

SEMENYIH, 25 Feb (Bernama) -- Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, Muhammad Aiman Zainali memohon maaf kepada petugas media susulan 'kehilangannya' pada siri kempen hari ini.

Beliau berkata kemungkinan berlaku masalah teknikal berhubung penyaluran makluman aktiviti berkempen hingga menyebabkan ramai petugas media gagal membuat liputan jadual kempennya.

"Saya mohon maaf, mungkin berlaku masalah komunikasi antara team (jentera) saya dengan pihak media hingga tidak mendapat jadual aktiviti kempen saya hari ini,

"Saya pun perasan hari ini, tak ada media yang ikut, rasanya hanya ada beberapa sahaja (media) ketika di masjid, " katanya kepada pemberita ketika sesi tinjauan mesra di tapak pasar malam dekat Bandar Rinching.v

Sunday, February 24, 2019

TERENGGANU NEGERI KEDUA SELEPAS MELAKA TANDATANGAN IBR



KUALA TERENGGANU, 24 Feb (Bernama) -- Seramai 24 orang Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Terengganu hari ini melafaz dan menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) sebagai tanda komited memerangi rasuah dan menentang sebarang perlakuan tidak berintegriti dalam kalangan ahli politik di negeri ini.

Lafaz dan tanda tangan IBR itu yang turut melibatkan Yang Dipertua DUN Terengganu itu disaksikan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Mohd Shukri Abdull dalam satu majlis di Wisma Darul Iman, di sini.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis itu, Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga ADUN Rhu Rendang berkata kerajaan negeri memandang serius isu berkaitan rasuah kerana ia mendatangkan kerugian kepada rakyat dan negeri.

"Kita tahu bahawa dalam sesebuah kerajaan, apabila berlaku kebocoran, tidak ada integriti dan rasuah, ia akan menyebabkan kehilangan dana kerajaan dan akan memberi kesan kepada bajet negara.

“Dalam negara kita, kehilangan akibat tidak berintegriti dan rasuah ini boleh sampai kepada puluhan bilion dan sudah tentunya jumlah yang sedemikian sekiranya diurus dengan baik akan memberi kebaikan kepada rakyat.

"Walaupun jumlah (akibat rasuah) mungkin tidak sebesar itu di peringkat Terengganu… tetapi ini menunjukkan kita serius dan berharap agar penggal pemerintahan kali ini kekal dalam keadaan bersih tanpa isu integriti dan rasuah," katanya.

Sementara itu, Mohd Shukri berkata Terengganu adalah negeri kedua selepas Melaka yang menandatangi IBR selepas pilihan raya umum ke-14.

"IBR ini tiada paksaan… ia adalah inisiatif pimpinan kerajaan di sesebuah negeri untuk memastikan pentadbiran yang bersih dan berintegriti.

"SPRM juga sangat menyambut baik hasrat Menteri Besar untuk memperluaskan IBR di setiap anak syarikat milik kerajaan negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan seluruh Terengganu selepas ini," katanya.

-- BERNAMA


Saturday, February 23, 2019

SEPATUTNYA HAPUSKAN TOL PLUS TERLEBIH DAHULU DARIPADA LDP,SPRINT, KESAS DAN SMART

KUALA LUMPUR, 23 Feb (Bernama) -- Kerajaan memulakan rundingan dengan Gamuda Berhad untuk mengambil alih konsesi empat lebuh raya yang syarikat tersebut mempunyai pegangan majoriti, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Lebuh raya berkenaan ialah Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT), Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dan Terowong SMART, kata beliau.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri hari ini, Dr Mahathir berkata kerajaan berhasrat untuk memansuhkan mekanisme tol sedia ada apabila berjaya mengambil alih lebuh raya berkenaan.

“Pakatan Harapan telah berjanji dalam manifesto pilihan raya untuk mengambil alih konsesi lebuh raya dan memansuhkan kutipan tol secara berperingkat, mengikut syarat-syarat perjanjian konsesi,” kata beliau.

Perdana Menteri berkata sebagai ganti, ‘congestion charge’ atau caj kesesakan akan diperkenalkan di mana pengguna akan hanya dikenakan bayaran caj kesesakan yang sama dengan kadar tol sedia ada untuk waktu puncak selama enam jam sehari.

“Semasa tempoh ‘off-peak’ (luar waktu puncak) antara 11 malam dan 5 pagi, penggunaan lebuh raya adalah percuma. Bagi penggunaan waktu biasa, pengguna akan menikmati diskaun 30 peratus berbanding kadar tol sedia ada,” katanya.

Dr Mahathir berkata kutipan caj kesesakan akan digunakan untuk menampung kos operasi dan penyelenggaraan lebuh raya serta bayaran balik pinjaman manakala lebihan kutipan akan disalurkan kepada dana pengangkutan awam untuk meningkatkan kualiti pengangkutan awam di Malaysia.

Beliau berkata maklumat lanjut berkenaan cadangan berkenaan akan diumumkan Kementerian Kewangan pada masa yang sesuai.

-- BERNAMA

Friday, February 22, 2019

TIADA UNDI TAK PERCAYA KEPADA PM

SEMENYIH, 22 Feb (Bernama) -- Kerajaan Pakatan Harapan (PH) berada dalam keadaan yang amat stabil di peringkat Persekutuan dan orang ramai dinasihatkan tidak terpengaruh dengan dakwaan yang mengatakan sebaliknya.

Timbalan Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo berkata, dakwaan pihak-pihak tertentu bahawa akan ada undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, adalah tidak benar.

"Kerajaan PH di Putrajaya adalah amat stabil. Isu undi tidak percaya ini adalah tidak benar, kenapa PAS mainkan isu ini pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih adalah kerana mereka tiada isu.

"Tiada sebarang isu antara parti-parti dalam PH ini...tidak benar sama sekali. Rakyat tidak perlu risau akan hal ini," katanya pada ceramah kempen PRK DUN Semenyih, di sini malam ini.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini dilaporkan berkata akan berlaku undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri pada sidang Dewan Rakyat akan datang.

Dalam ucapannya itu, Gobind, yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia, berkata rakyat perlu memberikan kerajaan PH masa untuk memenuhi semua janji manifesto yang dibuat semasa Pilihan Raya Umum ke-14 lepas.

"PH diberi mandat untuk memerintah negara selama lima tahun sebelum pilihan raya umum yag seterusnya, oleh itu beri kami masa untuk laksanakan semua janji kami," katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Gobind ketika mengulas mengenai isu kutipan tol di lebuh raya, berkata sebarang pengumuman tentang perkara itu perlu dilakukan oleh menteri berkaitan.

"Isu tol ini saya sudah utarakan sejak 2008. Jika ia tidak boleh dihapuskan kita mestilah mengurangkan kadarnya demi kebajikan rakyat. BN yang memerintah selama 61 tahun tidak dapat melakukan perkara sedemikian dan kita (PH) perlu menunjukkan yang kita berbeza daripada mereka," katanya.

Semalam, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, satu pengumuman berkaitan tol akan dilakukan dalam masa terdekat oleh menteri berkaitan.

PRK DUN Semenyih menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon Pakatan Harapan Muhammad Aiman Zainali, calon Barisan Nasional Zakaria Hanafi, calon Bebas Kuan Chee Heng dan Nik Aziz Afiq Abdul dari Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Hari pengundian PRK DUN Semenyih adalah pada 2 Mac ini. PRK Semenyih diadakan berikutan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor daripada Bersatu yang mewakili PH pada 11 Jan lepas akibat serangan jantung.

-- BERNAMA