Showing posts with label gobind singh deo. Show all posts
Showing posts with label gobind singh deo. Show all posts

Friday, February 22, 2019

TIADA UNDI TAK PERCAYA KEPADA PM

SEMENYIH, 22 Feb (Bernama) -- Kerajaan Pakatan Harapan (PH) berada dalam keadaan yang amat stabil di peringkat Persekutuan dan orang ramai dinasihatkan tidak terpengaruh dengan dakwaan yang mengatakan sebaliknya.

Timbalan Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo berkata, dakwaan pihak-pihak tertentu bahawa akan ada undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, adalah tidak benar.

"Kerajaan PH di Putrajaya adalah amat stabil. Isu undi tidak percaya ini adalah tidak benar, kenapa PAS mainkan isu ini pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih adalah kerana mereka tiada isu.

"Tiada sebarang isu antara parti-parti dalam PH ini...tidak benar sama sekali. Rakyat tidak perlu risau akan hal ini," katanya pada ceramah kempen PRK DUN Semenyih, di sini malam ini.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini dilaporkan berkata akan berlaku undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri pada sidang Dewan Rakyat akan datang.

Dalam ucapannya itu, Gobind, yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia, berkata rakyat perlu memberikan kerajaan PH masa untuk memenuhi semua janji manifesto yang dibuat semasa Pilihan Raya Umum ke-14 lepas.

"PH diberi mandat untuk memerintah negara selama lima tahun sebelum pilihan raya umum yag seterusnya, oleh itu beri kami masa untuk laksanakan semua janji kami," katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Gobind ketika mengulas mengenai isu kutipan tol di lebuh raya, berkata sebarang pengumuman tentang perkara itu perlu dilakukan oleh menteri berkaitan.

"Isu tol ini saya sudah utarakan sejak 2008. Jika ia tidak boleh dihapuskan kita mestilah mengurangkan kadarnya demi kebajikan rakyat. BN yang memerintah selama 61 tahun tidak dapat melakukan perkara sedemikian dan kita (PH) perlu menunjukkan yang kita berbeza daripada mereka," katanya.

Semalam, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, satu pengumuman berkaitan tol akan dilakukan dalam masa terdekat oleh menteri berkaitan.

PRK DUN Semenyih menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon Pakatan Harapan Muhammad Aiman Zainali, calon Barisan Nasional Zakaria Hanafi, calon Bebas Kuan Chee Heng dan Nik Aziz Afiq Abdul dari Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Hari pengundian PRK DUN Semenyih adalah pada 2 Mac ini. PRK Semenyih diadakan berikutan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor daripada Bersatu yang mewakili PH pada 11 Jan lepas akibat serangan jantung.

-- BERNAMA

Thursday, November 8, 2018

MUNAFIK 2 KUTIP RM37.7 JUTA JUALAN TIKET TERTINGGI TAHUN INI

KUALA LUMPUR, 8 Nov (Bernama) -- Semua sektor perlu memberikan input bagi memberi dorongan kepada industri filem tempatan di Malaysia, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo.

Beliau berkata perlu ada gabungan buah fikiran berbeza untuk memajukan lagi industri itu.

Bagaimanapun, katanya terdapat isu dan masalah di semua peringkat yang perlu ditangani.

“Inilah cabarannya dan kita perlu tanganinya,” katanya dalam catatan di Twitter beliau hari ini, sebagai respons terhadap cadangan seorang pengguna Isk Aziz @iskaziz untuk meningkatkan lagi industri filem tempatan yang akhir-akhir ini mencatatkan siri kejayaan “box-office’

Isz berkata: “Dalam memberikan galakan, sekiranya kerajaan berhasrat memberi perhatian lebih serius terhadap industri filem, dengan itu ia perlu diselia oleh mereka yang berpengalaman dan berorientasikan perniagaan”. Gobind Singh bersetuju dengan pendapat Isz berhubung perkara itu.

Menurut laman web Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), antara filem yang mencatatkan jualan tiket tertinggi setakat ini pada tahun ini ialah Munafik 2 (RM37,738,463.83), Hantu Kak Limah (RM36,231,126.77) dan KL Special Force (RM12,216,321).

-- BERNAMA

Tuesday, May 22, 2018

JALUR LEBAR DUA KALI LEBIH PANTAS PADA SEPARUH HARGA





KUALA LUMPUR, 22 Mei (Bernama) -- Menteri Komunikasi dan Multimedia yang baharu, Gobind Singh Deo berkata beliau akan berusaha mewujudkan sistem jalur lebar yang 'double the speed, half the price' (dua kali lebih pantas pada separuh harga) bagi kemudahan rakyat.

Beliau berkata pada masa ini, ramai yang membuat aduan berkenaan kualiti jalur lebar di Malaysia yang jauh berbeza dengan negara-negara maju.

Gobind yang memulakan hari pertamanya bertugas di Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) hari ini, berkata pihaknya akan melihat pelbagai aspek termasuk masalah yang dihadapi syarikat telekomunikasi dan mencari jalan penyelesaian terhadap masalah berkenaan bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan jalur lebar di negara ini.

"Kalau kita lihat jalur lebar di negara lain, perkhidmatan yang diberikan itu taraf berbeza dengan apa yang kita (Malaysia) ada, jadi tidak ada sebab kenapa kita tidak boleh mencontohi sistem-sistem lain yang ada di luar negara. Itu adalah satu perkara yang saya akan cuba, juga sebahagian daripada pelan 100 hari," katanya dalam rancangan Bicara Khas yang disiarkan secara langsung oleh RTM, malam ini.

Justeru kata beliau, pihaknya akan mengadakan perjumpaan dengan syarikat telekomunikasi untuk membincangkan perkara tersebut.

Gobind berkata beliau juga komited untuk menjamin kebebasan media dalam melaporkan berita dan membuat kritikan kepada kerajaan.

Beliau berkata laporan berita dengan tepat tanpa berat sebelah mampu mencorak pemikiran masyarakat, sekali gus membawa Malaysia menjadi sebuah negara maju.

"Dalam Pakatan Harapan (PH) memang kita bersandarkan kepada gelombang kita mahu menegakkan sistem kebebasan lebih kepada semua pihak dan satu aspek yang penting ialah media," katanya.

Gobind berkata rakyat negara ini juga telah matang untuk menonton program perdebatan di kaca televisyen bagi mendapat maklumat dan memahami sesuatu isu yang timbul.

"Kalau kita nak adakan satu debat, perbahasan, saya rasa tidak ada masalah, kita sebenarnya setiap hari ada perdebatan walaupun di kedai kopi," katanya.

Dalam pada itu, Anggota Parlimen Puchong yang terkenal kelantangannya di Dewan Rakyat itu turut mengalu-alukan kritikan terhadap kerajaan PH oleh pihak pembangkang ketika di Parlimen.


"Saya harap mereka diberikan ruang sepenuhnya untuk berbahas di Parlimen dan bawa isu-isu yang dekat dengan hati rakyat, kritik kerajaan kita sebagaimana perlu, kita tidak seharusnya mempunyai speaker yang menyekat pembangkang membawa isu-isu dan itu perbezaan kita dengan kerajaan terdahulu," katanya.

-- BERNAMA