Thursday, August 31, 2017

RAZIF MAHU RAKYAT HARGAI KEMERDEKAAN



KUALA TERENGGANU: Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman mahu semua rakyat menghargai kemerdekaan yang negara Malaysia kecapi hasil usaha dan pengorbanan pemimpin dan pejuang terdahulu.


‘Tidak ada yang lebih berharga daripada mengecapi nikmat kemerdekaan ini dalam suasana aman, damai dan tenteram. Kemerdekaan bererti keamanan, kedamaian, ketenteraman, kemakmuran’.


‘Inilah yang kita sedang nikmati sekarang di bumi Malaysia. Dan inilah yang kita perlu pertahankan sampai bila – bila’.

‘Banyak Negara yang mencapai kemerdekaan sezaman dengan Negara kita’.

‘Tetapi tidak ada satupun yang dapat mencapai tahap kejayaan dan pembangunan sepertimana yang sedang kita di Malaysia kecapi sekarang ini’.

‘Tidak ada satupun. Kerana hanya ada satu Malaysia di bumi ini. Satu Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum, pelbagai bangsa, pelbagai budaya, pelbagai agama. Kita berjaya buktikan bahawa di sebalik kepelbagaian, adanya kesatuan. Malah kepelbagaian inilah yang menjadi sumber dan tunjang kekuatan Malaysia sebagai sebuah Negara. Inilah yang kita perlu pertahankan’, katanya ketika berucap di Sambutan Hari Kebangsaan ke-60 2017 Peringkat Negeri Terengganu yang bertemakan Negaraku Sehati Sejiwa di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah pagi tadi.






Hadir sama Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Datuk Mohd Zubir Embong, EXCO Kerajaan Negeri Datuk Tengku Putera Tengku Awang merangkap Pengerusi Jawatankuasa Angung Sambutan Bulan Kebangsaan 2017 Peringkat Negeri Terengganu Darul Iman, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wan Nawawi Wan Ismail, EXCO-EXCO Kerajaan Negeri, pegawai kerajaan dan orang ramai.

Tambahnya, semua rakyat perlu mempertahankan kemerdekaan Negara ini daripada ancaman pihak yang tidak bertanggung jawab dengan memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan tertinggi negeri dan Negara dalam bersama-sama membangun dan memajukan Malaysia.

‘60 tahun bukanlah satu usia atau tempoh yang panjang. Tetapi dalam jangkamasa yang begitu singkat kita menjadi sebuah Negara yang merdeka, kita sudah capai satu tahap yang amat membanggakan. Malah menjadi contoh teladan di kalangan Negara –Negara Islam di seluruh dunia’.

‘Ada orang menjanjikan bulan dan bintang, langit dan bumi. Tetapi mereka hanya boleh berjanji kerana mereka hanya perlu membuat janji. Kita yang mendengar segala janji mereka janganlah terpedaya. Kerana mereka tidak akan tunaikan janji. Kerana tanggungjawab mereka yang sedia adapun, mereka tidak laksanakan. Inikan pula berjanji perkara yang bukan menjadi tanggungjawab mereka lagi’ katanya lagi.

Wednesday, August 30, 2017

RATING TERTINGGI BAGI BULAN OGOS 2017

"Siapa wanita bertuah menjadi calon?" yang disiarkan dalam blog ini bertarikh 5 Ogos 2017 mendapat rating tertinggi bagi bulan Ogos 2017 dengan 376 hits. 10 rating tertinggi bagi bulan Ogos adalah seperti berikut:-

1. Siapa wanita yang bertuah menjadi calon? (5/8/2017)
2. Kedai coklat diserang pada hari pelancaran Zon Bebas Cukai Tasik Kenyir (1/8/2017)
3.Razif seru terima sesiapa sahaja jadi calon (18/8/2017)
4. Kesatuan rakyat bantu pertahanan negara (17/8/2017)
5.Najib serang Langkawi dengan umum projek rumah RM247 juta (19/8/2017)
6. Terengganu buka hab pelancongan di Huaxi (27/8/2017)
7.YPU anjur konvesyen usahawan Melayu pada 13 Ogos (3/8/2017)
8.Gelombang Biru berjaya kerana ia ada roh (21/8/2017)
9. Epic adakan dua majlis serentak (21/8/2017)
10. MB lancar skim RTB tapak rumah (2/8/2017)

JANGAN MUDAH KITA LEPASKAN KEMERDEKAAN YANG DIKECAPI HARI INI

KUALA BERANG, 30 Ogos (Bernama) -- "Kemerdekaan yang dikecapi hari ini ini tidak ternilai harganya, jangan mudah kita lepaskan, kerana sekali kita lepaskan, dengan air mata darah sekali pun, tidak mungkin kita akan mendapatnya semula," demikian pesan bekas guru dan anggota veteran UMNO.

Abdul Razak Yakob, 80, yang tinggal di Kampung Rahmat, Kuala Berang, dekat sini berkata, oleh itu, generasi hari ini perlu terus menghargai perjuangan orang-orang terdahulu yang merintis jalan ke arah kemerdekaan kerana ia bukan diraih dalam masa sehari dan perjuangan untuk mengekalkan kemerdekaan juga tidak mudah.

Katanya zaman mudanya banyak dihabiskan berjuang bersama UMNO dan ketika itu bagi beliau, imbuhan tidak penting kerana yang menjadi keutamaan menuntut kemerdekaan daripada pihak British.

"Tanpa sebuah kemerdekaan, negara ini tidak akan maju dan membangun kerana kita tidak mempunyai kuasa untuk mengawal sumber bumi yang kita ada dan pendidikan untuk anak-anak Melayu juga tidak diutamakan.

"Anak-anak Melayu ketika itu juga tidak digalakkan belajar tinggi-tinggi, habis tinggi pun boleh jadi polis dan guru. Ia terjadi kerana ibu bapa ketika itu sering dimomok-momokkan oleh penjajah bahawa untuk dapat pekerjaan yang bagus-bagus sangat susah," katanya ketika ditemui Bernama di sini, baru-baru ini.

Melihat kepincangan itu, beliau yang ketika itu masih remaja mengambil keputusan untuk bergiat cergas dalam UMNO kerana maklum ia satu-satunya platform untuk anak-anak Melayu menuntut kemerdekaan daripada penjajah.

"Saya masih ingat, ketika itu kita nak buat pilihan raya umum yang pertama, kalau tidak silap pada tahun 1955. Saya ketika itu masih berumur belasan tahun pergi berkempen dan berjumpa pengundi di kampung-kampung di pedalaman Hulu Terengganu dengan menaiki perahu.

Meskipun terpaksa menyabung nyawa, ketika itu saya, pegawai daerah dan pegawai pilihan raya, kami bertiga dengan cekal hati masuk ke kampung-kampung berkenaan, berminggu-minggu lamanya, pergi dari satu rumah ke satu rumah untuk berkempen dan menyedarkan orang ramai agar turun mengundi.

"Sebab kalau tidak mengundi macam mana kita nak tuntut kemerdekaan daripada orang putih" katanya.

Katanya, meskipun tidak diberi ganjaran yang mewah untuk kerja-kerja parti yang dilakukan tetapi apa yang paling bermakna adalah nikmat kemerdekaan yang dikecapi setahun kemudiannya daripada pihak British.

"Saya diberi kepercayaan mengetuai acara menurunkan bendera Union Jack di Padang Astaka, Kuala Berang sebaik sahaja Tengku Abdul Rahman (Perdana Menteri Malaysia pertama) mengumumkan Hari Kemerdekaan 31 Ogos 1957.

"Dengan rasa bangga dapat memegang dan menggantikannya dengan bendera Persekutuan Tanah Melayu (kini Jalur Gemilang). Menitik air mata ketika itu kerana perjuangan bersama UMNO membuahkan hasil," katanya.

-- BERNAMA

Tuesday, August 29, 2017

MIC TAK AKAN LEPASKAN CAMERON HIGHLANDS KEPADA MYPPP

TEMERLOH, 28 Ogos (Bernama) -- MIC bertegas dengan pendirian mereka supaya kerusi Parlimen Cameron Highlands kekal ditandingi parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kata Presidennya Datuk Seri Dr S. Subramaniam.


Beliau berkata Cameron Highlands telah menjadi kerusi tradisi kepada MIC sejak dahulu, dan parti itu bercadang meneruskan tradisi itu, selain turut berhasrat bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabai di Bentong.

Kerusi Parlimen itu kini dipegang bekas presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel yang memenanginya pada PRU13.

"Kita telah memberitahu kepimpinan Barisan Nasional (BN) bahawa ia (Cameron Highlands) kena dikekalkan sebagai kerusi MIC walaupun ada parti lain yang menunjukkan minat untuk bertanding di situ.

"Jentera pilihan raya MIC juga sudah bergerak di Cameron Highlands dan Sabai dan akan bekerja kuat bagi memastikan kemenangan BN.

"Saya sudah jelaskan mengenai hal ini kepada kerajaan Pusat dan juga di peringkat negeri Pahang dan saya ingat mereka semua sudah terima (keputusan ini)," katanya pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Ke-71 MIC Pahang di Dewan Tun Razak di sini, hari ini.

Dr Subramaniam bagaimanapun mengakui parti itu masih belum memilih calon yang sesuai untuk bertanding di Cameron Highlands.

Mengulas mengenai persiapan MIC menjelang PRU14, Dr Subramaniam berkata MIC sudah mengenal pasti dan sedang melakukan saringan calon-calon yang sesuai untuk bertanding di sembilan kerusi Parlimen dan 19 kerusi DUN, sebelum nama mereka boleh diumumkan.

"50 hingga 60 peratus calon yang sedang dikenalpasti adalah muka baharu," katanya.

Selain itu, Dr Subramaniam juga berharap kerajaan negeri Pahang akan membantu kaum India dalam pembangunan sektor pertanian termasuk aspek pemberian tanah dan bantuan barangan supaya dapat meningkatkan taraf ekonomi mereka.

"Dalam Pelan Tindakan (Blueprint) Masyarakat India Malaysia, Pahang dicadang untuk memberi tumpuan kepada pembangunan pertanian.

"Saya harap dapat bantuan khususnya dalam bidang penternakan lembu tenusu kerana kaum India secara tradisi memang berpengalaman dan boleh menyumbang dalam industri ini," katanya.

Ulasan saya, MIC belum kenal pasti calon yang sesuai bertanding di Cameron Highlands sedangkan Presiden MyPPP, Tan Sri Kayveas yang berasala dari situ sudah lama masuk kampung keluar kampung.

Andai kata MIC yang terpilih mewakili BN bagaimana BN mahu menang kerana pengundi Cameron Highlands tidak kenal calon MIC. Sepatutnya dalam soal ini BN kena letak calon yang dikehendaki rakyat seperti M. Kayveas yang sudah lama bergerak.

Wajarlah MIC pilih kawasan lain dan beri laluan kepada MyPPP untuk pertahankan kerusi Cameron Highlands.

Monday, August 28, 2017

AKADEMI TDM SASAR JADI AKADEMI PERTANIAN PERTAMA DI PANTAI TIMUR




SETIU, 28 Ogos (Bernama) -- Akademi TDM, yang dimiliki oleh TDM Berhad iaitu syarikat milik kerajaan negeri menyasarkan untuk menjadi akademi pertanian pertama di pantai timur dalam tempoh 10 tahun lagi.


Pengarah Urusan Kumpulan TDM Berhad, Datuk Mohamat Muda berkata ia satu transformasi yang dilakukan bagi menjadikan TDM antara syarikat perladangan terbaik di negara ini.

Beliau berkata bagi tujuan itu, pihaknya kini mengadakan kerjasama dengan lima buah institusi pengajian tinggi yang mempunyai kepakaran dalam bidang pertanian untuk berkongsi kemahiran, ilmu dan kepakaran kepada pelatih akademi berkenaan.

"Lima institusi itu ialah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universti Malaysia Terengganu (UMT), Institut Pengurusan Perladangan Antarabangsa (IIPM), Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM) dan Institut Perladangan dan Komoditi Malaysia (IMPAC).

"Dengan kerjasama itu juga kita berharap sasaran untuk melahirkan golongan korporat dan teknokrat serta pemimpin masa hadapan negara khususnya dalam bidang pertanian akan tercapai," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perasmian akademi itu dan Pusat Timbang Komuniti oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman di akademi berkenaan, di sini, hari ini.

Satu Memorandum Persefahaman (MoU) antara akademi dan lima institusi pengajian itu juga ditandatangani pada majlis itu dan disaksikan oleh Ahmad Razif.

Mohamat berkata, akademi itu dinaik taraf daripada pusat latihan TDM sebelum ini dan menyediakan kursus teknikal, pengurusan dan penjagaan kesihatan kepada para pelatih.

"Seramai 400 daripada 3,100 pekerja TDM telah mendapat manfaat daripada kursus yang kita jalankan sejak pengambilan pertama Februari lepas.

"Penubuhan akademi ini juga adalah satu usaha bagi TDM untuk mencapai permodalan pasaran sebanyak RM2 bilion menjelang tahun 2020, dengan pengagihan dividen tahunan RM100 juta dan keuntungan sebelum cukai RM200 juta menjelang 2022," katanya.

-- BERNAMA






Sunday, August 27, 2017

TERENGGANU BUKA HAB PELANCONGAN DI BANDAR HUAXI

KUALA TERENGGANU, 27 Ogos (Bernama) -- Terengganu akan menjadi negeri pertama di negara ini yang akan membuka hab pelancongan di bandar Huaxi, iaitu perkampungan terkaya di wilayah Jiangsu, China dalam usaha menarik lebih ramai pelancong China ke negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata kerajaan wilayah itu telah meluluskan tanah seluas 0.4 hektar untuk dibina sebuah pavilion di bandar itu yang berkonsepkan rumah tradisional Terengganu dengan kos RM3 juta.

Katanya, satu memorandum persefahaman (MOU) telah ditandatangani dengan kerajaan wilayah itu dan pembinaan pavilion itu akan bermula bila-bila masa dari sekarang.

"Terengganu negeri pertama yang membina pavilion berkenaan di mana lokasinya terletak dalam kawasan yang menempatkan mercu tanda pelancongan terkenal seluruh dunia seperti London Bridge.

"Selain akan menjadi menjadi hab pelancongan Terengganu di negara China, pavilion itu juga akan menjadi menjadi pusat untuk kita memasarkan pelbagai produk milik perusahaan rakyat Terengganu dan pameran mengenai tarikan pelancongan di negeri turut akan diadakan di situ dari semasa ke semasa," katanya.

Saturday, August 26, 2017

GELOMBANG BIRU BERJAYA KERANA IA ADA ROH

Membaca buku Ayob Mamat GELOMBANG BIRU (GB) dapat kita hayati sejarah kebangkitan ahli Umno Terengganu untuk merampas kembali negeri itu dari tangan PAS pada PRU 2004.

Buku setebal 429 muka surat itu telah dicetak sebanyak dua kali pada Jun 2017 dan Ogos 2017 membuktikan bahawa rakyat terengganu mahu membaca sejarah penubuhan GB oleh Datuk Seri Idris Jusoh.

Walaupun ketika itu Umno Terengganu diketuai oleh Timbalan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi tetapi Idrislah selaku timbalan pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri  yang mencetuskan idea GB sebagai satu platform untuk merampas negeri Terengganu dari tangan PAS.

Buku yang mempunyai 20 bab ini bermula dengan kekalahan BN pada PRU 1999. Ayob banyak kali mengatakan bahawa pemecatan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah punca kekalahan BN di Terengganu kerana menurutnya apabila ramai pengundi luar balik mengundi mereka yang simpati dengan Anwar mempengaruhi keluarga mereka di kampung untuk mengundi PAS.

Maka PAS berjaya membentuk kerajaan baharu walaupun ramai berpendapat bahawa pengundi muak dengan Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad yang masih bertanding lagi dalam PRU1999 walaupun sudah 25 tahun menjadi MB Terengganu.

Ini bermakna PAS menang bukan kerana PAS kuat tetapi kerana orang Umno mengundi PAS akibat marah kepada Wan Mokhtar yang terlalu lama memerintah Terengganu. Apabila Pak Lah menamakan Idris sebagai bakal MB baharu pada PRU 2004 maka orang Umno kembali mengundi BN.

Ayob terlibat secara langsung di zaman kalah ini di bawah biro penerangan Umno negeri yang diketuai oleh Datuk Nasir Tan Sri Ibrahim Fikri. Mereka selalu berhujah dan berbincang dengan idris untuk mengorek kelemahan kerajaan PAS. Kesepakatan idea ini akhirnya melahirkan GB.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melancarkan GB pada 17 Ogos 2002 sempena Konvensyen BN Terengganu. Sejak itu GB dilancarkan di setiap daerah dan paling meriah di Kemaman pada 16 Mei 2003 dilancarkan oleh Pak Lah selaku Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri dengan perarakan lima ekor gajah sebagai lambang untuk merampas 4 kerusi DUN dan 1 kerusi parlimen yang kalah.

Pada 21 Mac 2004 BN berjaya menumbangkan kerajaan PAS. Idris yang mengangkat sumpah sebagai MB baharu tidak melantik "pembangkang" yang aktif dalam sidang DUN 1999-2004 iaitu Datuk Abu Bakar Ali sebagai Exco. Hanya Datuk Rosol Wahid yang menang pada 1999 dilantik sebagai Exco.

Idris memang seorang yang bijaksana memerintah negeri dengan slogan "Tiada Halangan Hanya Peluang" yang menggambarkan komitmen kerajaan negeri untuk melakukan pembaharuan. Pelbagai projek mega dilaksanakan oleh idris seperti Taman Tamaddun islam, Lebuhraya Pantai Timur, Stadium baharu dan pembesaran lapangan terbang Sultan Mahmud.

Malah Terengganu terkenal ke seluruh dunia di zaman idris menjadi MB apabila acara sukan tahunan Monsoon Cup diadakan.

Buku ini juga mengisahkan bagaimana Ayob mengenali MB sekarang, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman ketika terlibat dalam jawatankuasa merangka soalan kepada 4 ADUN BN di zaman kalah. Ayob dapati Razif seorang yang banyak idea dan Ayob berkata suatu hari nanti Razif akan jadi seorang pemimpin besar.

Seronok membaca buku ini kerana Ayob terlibat sendiri di zaman GB. Seperti kata Ayob Gelombang Merah di Kelantan gagal kerana ia tiada roh sebaliknya GB ada roh kerana ahli Umno perit ditekan oleh kerajaan PAS sehingga mereka tergamak menghalau budak tadika dari balai raya.

Kezaliman kerajaan PAS selama sepenggal menyebabkan ahli Umno yang mengundi PAS pada PRU 1999 kembali mengundi BN pada PRU 2004. Seperti kata Ayob Gelombang Biru kedua wajar dilancarkan semula untuk merampas 15 kerusi BN yang kalah pada PRU 2013 kerana GB terbukti sudah berjaya menyatukan semua pemimpin duduk semeja.

Buku ini wajar dibaca oleh semua ahli Umno terutamanya di negeri BN kalah seperti Kelantan dan Selangor. Syabas Ayob.