Tuesday, April 4, 2017

BEKAS PENGARAH HUTAN TERENGGANU DIDAKWA TERIMA RASUAH

KUALA TERENGGANU, 4 April (Bernama) -- Bekas Pengarah Jabatan Perhutanan Terengganu dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini atas tiga pertuduhan menerima rasuah untuk kelulusan pembalakan daripada seorang kontraktor berjumlah RM60,000, empat tahun lalu.

Datuk Azmi Nordin, 58, yang kini bertugas sebagai pengarah Bahagian Silvikultur dan Pemeliharaan Biologi Hutan, Pejabat Hutan Semenanjung, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu di hadapan Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa menerima suapan RM30,000 pada 3 Mac 2013 melalui akaun Malayan Banking Berhad milik Azhar Nordin daripada kontraktor balak Yew Keong Fah untuk memperolehi kelulusan membalak di Kompartmen 36b dan 40a, Hutan Simpan Hulu Terengganu, Mukim Tersat, Daerah Hulu Terengganu.

JANGAN PERCAYA DENGAN PANGGILAN MINTA NOMBOR AKAUN BANK


KUALA TERENGGANU, 4 April (Bernama) -- Polis Kemaman mengesan kegiatan penipuan menerusi talian telefon dengan taktik licik mengakibatkan tiga mangsa di sini kerugian sehingga RM180,000.

Ketua Polis Kemaman, Supt Mohd Said Ibrahim berkata taktik penipuan tersebut menunjukkan peningkatan bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini.

"Mereka akan membuat panggilan secara rawak ke atas mangsa dengan memperkenalkan dari institusi perbankan dan memberikan pelbagai helah sebelum mengarahkan mangsa memindahkan wang.

Golongan ini sangat licik, suspek pakar dalam mengalihkan talian telefon dipercayai menggunakan 'Voice Over Internet Protocol (VoIP)' bagi menyakinkan mangsa panggilan yang dibuat itu menerusi talian bank," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Menurutnya mangsa masing-masing menanggung kerugian sehingga RM12,000, RM28,000 dan RM140,000 hasil helah daripada pihak yang tidak bertanggungjawab itu.

Katanya penjenayah tidak mengira mangsa, pangkat dan peringkat umur dan bagi kes di Kemaman melibatkan mangsa yang bekerja dalam sektor swasta dan pesara bank.

Mohd Said berkata sepatutnya penipuan seumpama itu senang dikesan kerana pihak bank tidak akan meminta butiran peribadi menerusi panggilan telefon.

"Jangan mudah percaya dan sesekali memberikan butiran peribadi menerusi panggilan telefon dan jika menerima panggilan yang meminta untuk memindahkan wang semak terlebih dahulu panggilan berkenaan," katanya.

Selain itu beliau juga menasihatkan orang ramai agar tidak terpedaya dengan pembelian dalam talian dan perlu berwaspada agar tidak menjadi mangsa dan tertipu.

--BERNAMA

Monday, April 3, 2017

SULTAN TERENGGANU BERKENAN RASMI PECAH TANAH MAYANG MALL

KUALA TERENGGANU, 3 April (Bernama) -- Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin semalam berkenan merasmikan majlis pecah tanah projek pembangunan pusat beli-belah Mayang Mall di Kampung Ladang, di sini.


 

Keberangkatan baginda diiringi Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) Datuk Kamalul Arifin Othman, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sogo (KL) Department Store Sdn Bhd (Sogo) Toh Peng Koon dan barisan Exco negeri Terengganu.

Projek Mayang Mall di tapak seluas 715,000 kaki persegi membabitkan dua fasa iaitu fasa pertama merangkumi pusat beli-belah enam tingkat dan servis apartmen 15 tingkat manakala fasa kedua pembinaan hotel 16 tingkat.

PHB selaku pemaju utama projek itu turut menandatangani perjanjian dengan syarikat Sogo yang dilantik sebagai penyewa utama pusat beli-belah itu yang dijangka siap pada 2020.

Ahmad Razif dalam ucapannya berkata, pembinaan Mayang Mall bakal memberi manfaat kepada rakyat negeri ini menerusi penyediaan 3,000 peluang kerja apabila pusat beli-belah itu beroperasi.

"Di samping itu, kita turut menjangkakan impak positif bagi para peniaga dan mereka yang menawarkan pelbagai bentuk perkhidmatan hiliran, melalui limpahan aktiviti ekonomi yang dijana melalui projek Mayang Mall," katanya.

-- BERNAMA

Sunday, April 2, 2017

RAJA AFFANDI LEGA RAKYAT MALAYSIA DAPAT KELUAR DARI KOREA UTARA DENGAN SELAMAT

KEMAMAN, 1 April (Bernama) -- Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor memuji kejayaan kerajaan Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dalam misi membawa pulang sembilan rakyat Malaysia yang terkandas di Korea Utara, semalam.

Beliau yang memantau misi tersebut meluahkan rasa lega apabila rundingan yang dijalankan oleh pihak kerajaan dan Korea Utara akhirnya selesai dan rakyat Malaysia dapat keluar dari negara itu dengan selamat.

"Sebagai Pangliman Angkatan Tentera, saya memantau dengan rapat misi tersebut, ia merupakan satu malam yang panjang. Tapi alhamdulillah kerajaan kita telah berjaya melakukan pimpinan yang baik hingga isu ini akhirnya selesai.

"Saya turut berbangga dengan kejayaan juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang membawa pulang semua rakyat kita yang terkandas di negara itu dengan selamat," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan ke-37 Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia Cawangan Kemaman di sini Sabtu.

Turut hadir, Ketua Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia Kemaman, Mejar (B) Datuk Mohamed Awang.

Sembilan rakyat Malaysia yang dihalang keluar dari Korea Utara ekoran krisis diplomatik antara kedua-dua negara itu selamat tiba di tanah air semalam.

Mereka diterbangkan dengan pesawat Bombardier Global Express milik Tentera Udara Diraja Malaysia yang dipandu juruterbang (TUDM), Pegawai Memerintah Dua Skuadron TUDM, Leftenan Kolonel Hasrizan Kamis.

Sebelum ini hubungan Malaysia dan Korea Utara tegang susulan pembunuhan Kim Jong-nam, abang kepada pemimpin negara itu Kim Jong-un, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada 13 Feb lepas.

Susulan itu Pada 7 Mac, Pyongyang menghalang rakyat Malaysia meninggalkan negara itu dan Kuala Lumpur mengambil tindakan sama ke atas warganegara Korea Utara yang berada di negara ini.

Dalam perkembangan lain, Raja Mohamed Affandi menyeru agar lebih banyak majikan di negara ini mengambil pesara tentera bekerja dengan mereka memandangkan kudrat dan tenaga mereka masih diperlukan dalam banyak sektor pekerjaan.

"Mereka adalah pasukan yang tersedia yang mempunyai daya tahan, taat setia dan kudrat untuk menyumbang kepada masyarakat. Ada di antara mereka yang masih boleh membawa kenderaan berat atau pun terlibat dalam sektor keselamatan," katanya.

Katanya mana-mana majikan yang berminat untuk mengambil mereka bekerja boleh menghubungi Jabatan Hal Ehwal Veteran.



-- BERNAMA

Saturday, April 1, 2017

TBW BERJAYA PERKENALKAN TERENGGANU SEBAGAI DESTINASI PELANCONGAN

KUALA NERUS, 1 April (Bernama) -- Kejayaan Program Konvoi Muhibbah Terengganu Bike Week 2017 dilihat sebagai perintis kepada lebih banyak aktiviti permotoran seterusnya menjadikan Terengganu sebagai hub sukan itu di negara ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata sejak dianjurkan pada 2012, jumlah penyertaannya sentiasa bertambah dan secara tidak langsung berjaya memperkenalkan Terengganu sebagai destinasi pelancongan.


"Kerajaan negeri ucapkan terima kasih kepada pihak penganjur khususnya buat Yang Amat Mulia Tengku Sri Temenggung Raja untuk program ini. Ia merupakan antara program himpunan permotoran terbesar di negeri ini.

"Tahun ini adalah paling tinggi penyertaannya iaitu seramai 3,000 orang dan telah menjayakan Visit Beautiful Terengganu 2017.

"Kita harap ia akan diteruskan lagi pada masa akan datang kerana impaknya sangat tinggi, sangat positif kepada rakyat terutama yang terlibat dalam perniagaan dan industri pelancongan," katanya.

Beliau ditemui pemberita pada program tersebut di Dataran Permata Seberang Takir, Kuala Nerus, Rabu.

Turut hadir ialah Presiden PGPNT, Tengku Sri Temenggung Raja Datuk Seri Tengku Baharuddin Sultan Mahmud; dan Pengarah Pelancongan Negeri Terengganu, Tun Faisal Tun Abdul Razak.

Terengganu Bike Week 2017 kali keenam itu bermula 27 Mac lalu dan turut menghimpunkan peserta dari luar negara termasuk Brunei, Singapura dan Thailand.

Ia dianjurkan Persatuan Gabungan Permotoran Negeri Terengganu (PGPNT).

Ahmad Razif berkata kerajaan negeri juga bersedia menaiktaraf kemudahan litar sedia ada di Gong Badak ketika ini.

Friday, March 31, 2017

RATING TERTINGGI BAGI BULAN MAC 2017

Posting "Setiap  DUN akan dibina gelanggang silat" yang disiarkan dalam blog ini pada 25 mac lalu mendapat rating tertinggi sebanayk 555 hits. 10 posting tertinggi ialah:-

1. Setiap DUN akan dibina gelanggang silat (25 mac)
2.Ahmad Said mahu tanding parlimen? (14 mac)
3.Kejuaraan gendang silat Melayu sempena Pesta Pantai (13 mac)
4. Mat Dan nikah orang Terengganu (12 mac)
5.Umno Terengganu adakan simulasi PRU bulan depan (17 mac)
6. Terengganu's silat princess scores 8As for SPM exam (10 mac)
7.Jangan keruhkan hubungan Malaysia dengan Korea Utara (10 mac)
8. Polis kesan berita palsu kes rogol di Pulau Perhentian (26 mac)
9. Ampicoach tiba pertengahan tahun ini (2 mac)
10.Awas 'bom jangka' di rumah (23 mac)

Thursday, March 30, 2017

SELEPAS 12 TAHUN KERAJAAN PERSEKUTUAN BARU BAYAR RM10 JUTA PAMPASAN KUSZA

KUALA TERENGGANU, 30 Mac (Bernama) -- Jumlah tuntutan pampasan dari kerajaan Persekutuan susulan penyerahan Kolej Universiti Sultan Zainal Abidin (KUSZA) kepada Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) ialah sebanyak RM183,102,298.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur & Kemudahan Awam, Tenaga dan Teknologi Hijau Negeri, Ir Rosli Othman berkata setakat ini, kerajaan negeri sudah menerima bayaran sebanyak RM10 juta.

"Memang ada jadual pembayaran itu di mana kerajaan negeri dijangka menerima RM61 juta pada tahun ini manakala bakinya sebanyak RM112, 02,298 lagi akan diterima pada 2018," katanya.

Ir Rosli (BN-Kemasik) berkata demikian ketika menjawab soalan Ridzuan Hashim (PAS-Teluk Pasu) dalam sesi soal jawab di persidangan Dewan Undangan Negeri DUN) Terengganu semalam.

Terdahulu, menjawab soalan Hanafiah Mat (PAS-Chukai) berkenaan status terkini projek pembinaan pasar dan Terminal Bas Chukai, Rosli berkata Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) telah membuat permohonan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 melalui Rolling Plan Kedua.

Beliau berkata pelan asal projek pembinaan pasar dan terminal bas itu pada tahun 2004 ialah sebanyak RM50 juta dan pengambilan balik tanah juga telah selesai dilakukan pada waktu itu.

"Namun berlaku sedikit pertukaran di antara Kementerian Pengangkutan kepada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) selepas itu... disebabkan permohonan terlalu besar (RM50 juta), reka bentuk saiz projek itu terpaksa diminimumkan.

"Saya tegaskan di sini projek itu tetap menjadi keutamaan kerajaan selaras dengan status Chukai sebagai pusat bandar di Kemaman yang berkembang pesat, menjadi tumpuan pelabur dalam banyak industri," katanya.

Menjawab soalan tambahan Hanafiah sama ada kerajaan negeri tahu terdapat pembangunan perumahan berhampiran tapak projek seluas 5.2 hektar itu, Rosli berkata ia dalam pengetahuan MPK.

"Jadi sekarang kita menunggu peruntukan KPKT dan pemaju yang mahu membangunkan projek perniagaan komersial kelas A berhampiran tapak pasar dan terminal bas Chukai itu," katanya.

-- BERNAMA